Skim SBB Penuh dirintis di 28 sekolah menengah mulai 2020
28 sekolah menengah menjadi kumpulan sekolah pertama yang membolehkan para pelajar mereka mengambil lebih banyak mata pelajaran di peringkat lebih tinggi di bawah Skim Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB Penuh) yang diperkenalkan secara berperingkat bermula tahun depan.
SINGAPURA: 28 sekolah menengah menjadi kumpulan sekolah pertama yang membolehkan para pelajar mereka mengambil lebih banyak mata pelajaran di peringkat lebih tinggi di bawah Skim Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB Penuh) yang diperkenalkan secara berperingkat bermula tahun depan.
Skim tersebut menggantikan sistem penyaluran pelajar di sekolah menengah atau streaming bagi aliran Normal (Teknikal), Normal (Akademik) dan Ekspres yang dihentikan menjelang 2024.
Kementerian Pendidikan (MOE) hari ini (3 Sep) mengumumkan buat pertama kalinya nama kesemua 28 sekolah yang akan merintis SBB Penuh di mana pelajar boleh mengambil subjek di peringkat lebih tinggi atau rendah, berdasarkan keupayaan mereka.
SUBJEK-SUBJEK KEMANUSIAAN DITAWARKAN PADA PERINGKAT LEBIH TINGGI
Para pelajar di sekolah-sekolah tersebut boleh memilih untuk mengambil mata pelajaran kemanusiaan seperti sejarah, geografi dan kesusasteraan dalam bahasa Inggeris di peringkat lebih tinggi bermula Menengah 2, berdasarkan keupayaan dan kekuatan mereka.
Sekarang ini, mereka diberi pilihan mengambil empat subjek - Bahasa Inggeris, Bahasa Ibunda, Matematik dan Sains.
KONSEP KELAS 'FORM' KEUPAYAAN BERCAMPUR DIPERKENALKAN
Kesemua 28 sekolah perintis itu juga akan mencuba aturan kelas baru di mana para pelajar tidak dikumpulkan berdasarkan cara tradisional mengikut aliran Normal (Teknikal), Normal (Akademik) dan Ekspres.
Sebaliknya, para pelajar dari aliran berbeza akan dimasukkan ke dalam satu kelas 'form' yang sama dan mengambil mata pelajaran pada peringkat yang sama bagi sepertiga masa kurikulum mereka.
Ini termasuk kelas seni dan muzik, pendidikan kewarganegaraan, reka bentuk dan teknologi serta pendidikan jasmani.
Guru-guru juga akan menyesuaikan cara pengajaran bagi memenuhi keperluan pembelajaran yang berbeza untuk para pelajar di dalam kelas yang sama itu.
Bagi subjek-subjek yang lain, para pelajar akan mengikuti kelas berdasarkan peringkat masing-masing; serupa dengan skim SBB sekarang.
Tujuan bagi pengendalian kelas-kelas 'form' yang berbeza adalah untuk mewujudkan lebih banyak peluang bagi para pelajar aliran berbeza belajar bersama dan berinteraksi.
SKIM SBB PENUH DIALU-ALUKAN
Sebagai salah sebuah sekolah prototaip skim SBB, Sekolah Menengah Queenstown telah melihat banyak manfaat daripada skim itu dari segi pencapaian para pelajar.
Secara purata 25 peratus pelajar Normal (Akademik) sekolah itu mengambil sekurang-kurangnya satu subjek di peringkat lebih tinggi manakala 62 peratus pelajar Normal (Teknikal) melakukan serupa.
Jumlah itu satu pertambahan 8 peratus dan 12 peratus berbanding 2014 apabila ia mula memperkenalkan SBB di kedua-dua aliran.
Oleh itu, langkah Kementerian Pendidikan (MOE) memilihnya untuk melaksanakan skim SBB Penuh amat dialu-alukan oleh sekolah itu.
"Ramai pelajar SBB kami meneruskan untuk mengambil subjek di peringkat lebih tinggi ketika mereka melangkah kaki ke Menengah 3. Ini adalah kerana mereka mempunyai asas yang kukuh dalam subjek tersebut melalui pengalaman mereka mengambil SBB di peringkat menengah rendah.
"Dengan SBB Penuh, dengan penambahan subjek seperti geografi, sejarah dan sastera yang boleh diambil pelajar aliran Normal di peringkat tinggi, pastinya lebih banyak manfaat yang boleh diraih oleh para pelajar kami," kongsi Pengetua Sekolah Menengah Queenstown, Rasidah Rahim.
Bagi pelajar Menengah Satu, Mohd Danial Mohamad Rizuan, skim tersebut memberinya peluang untuk mencabar potensi diri dari segi keupayaan pembelajaran.
"Ini satu peluang bagi saya untuk mencabar diri saya dengan mengambil subjek di peringkat tinggi. Saya juga dapat bergaul bersama rakan-rakan daripada aliran lain," kata Mohd Danial.
Menurut MOE lebih banyak sekolah menengah akan memperkenalkan SBB Penuh dari 2022 hingga 2024 dan menimba pengalaman daripada 28 sekolah perintis berkenaan.
Berikut adalah senarai penuh sekolah-sekolah perintis skim SBB Penuh:
1. Sekolah Menengah Ang Mo Kio
2. Assumption English School
3. Sekolah Menengah Bedok Green
4. Sekolah Menengah Bowen
5. Sekolah Menengah Clementi Town
6. Sekolah Menengah Deyi
7. Sekolah Menengah Edgefield
8. Sekolah Menengah Evergreen
9. Sekolah Menengah Gan Eng Seng
10. Sekolah Menengah Greendale
11. Sekolah Menengah Jurong
12. Sekolah Menengah Jurong West
13. Sekolah Menengah Mayflower
14. Sekolah Menengah Monfort
15. Sekolah Perempuan Methodist Paya Lebar (Menengah)
16. Sekolah Menengah Pei Hwa
17. Sekolah Menengah Ping Yi
18. Sekolah Menengah Queenstown
19. Sekolah Menengah Riverside
20. Sekolah Menengah St Andrew's
21. Sekolah Menengah St Anthony's Canossian
22. Sekolah St. Patrick's
23. Sekolah Menengah Swiss Cottage
24. Sekolah Menengah Temasek
25. Sekolah Menengah West Spring
26. Sekolah Menengah Whitley
27. Sekolah Menengah Yuying
28. Sekolah Menengah Zhenghua
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.