Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim Rumah Boleh Dimampui PSP ialah 'skim sewa prabayar' yang jejas rizab: Indranee Rajah

Anggaran Waktu Membaca:
Skim Rumah Boleh Dimampui PSP ialah 'skim sewa prabayar' yang jejas rizab: Indranee Rajah

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai dan Menteri Kedua Pembangunan Negara Indranee Rajah berucap di Parlimen pada 7 Feb 2023.

Diterbitkan : 08 Feb 2023 07:51AM Dikemas Kini : 08 Feb 2023 07:52AM
SINGAPURA: Skim Rumah Boleh Dimampui yang diusulkan oleh Parti Kemajuan Singapura (PSP) pada dasarnya adalah skim sewa prabayar dengan "pilihan untuk membeli".

Demikian menurut Menteri Pembangunan Negara, Indranee Rajah di Parlimen pada Selasa (7 Feb).

Beliau juga berkata bahawa skim tersebut akan menjejas rizab Singapura.

Beliau berkata demikian semasa perbahasan berhubung dua usul mengenai perumahan awam yang difaikan oleh PSP dan Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee.

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai membentangkan usul pertama, dan dalam ucapan pembukaannya mengusulkan Skim Rumah Boleh Dimampui.

Skim tersebut menyarankan agar para pembeli flat tidak perlu membayar kos tanah ketika membeli flat baru daripada HDB. Pembayaran kos tanah akan ditangguhkan dan dibayar hanya jika flat dijual selepas Tempoh Penginapan Minimum, kata Encik Leong.

"Oleh itu, selagi rakyat Singapura memajak flat HDB bagi memiliki rumah sendiri, mereka tidak perlu membayar kos tanah. Mereka hanya perlu membayar kos tanah apabila mereka mengambil flat HDB sebagai pelaburan dan menjualnya untuk keuntungan," jelas Encik Leong.

Cik Indranee berkata bahawa usulan PSP masih melibatkan penjualan tanah negara pada harga murah, kerana pembayar cukai akan menanggung kos tanah sementara "pengguna" tinggal di sana.

Ini akan mengurangkan nilai rizab setiap kali tanah digunakan bagi perumahan awam, dan akan terdapat sumber yang berkurangan dari masa ke masa dalam menangani krisis dan perbelanjaan awam yang lain.

"Walaupun Encik Leong mendakwa bahawa beliau tidak bermaksud menjejas rizab, cadangannya pada dasarnya bermaksud demikian," tegas Cik Indranee.

Encik Lee turut memberi respons terhadap skim yang diusulkan PSP itu semasa menggulung ucapan beliau dalam perbahasan tersebut, dengan berkata bahawa sebilangan orang perlu menjual flat mereka disebabkan perubahan keadaan hidup mereka dan bukan hanya untuk menjana wang.

Encik Leong turut membalas Cik Indranee, dengan mengatakan bahawa tidak semua kos tanah akan hilang dan skim yang diusulkan akan menjadikannya "lebih adil" bagi generasi akan datang, yang boleh "menikmati flat mereka pada harga pengguna dan bukannya harga Bina Ikut Tempahan (BTO)".

LEONG NAFI 'KERAP UBAH PENDIRIAN'

Dalam perbahasan tersebut, sebilangan Anggota Parlimen (AP) menuduh Encik Leong menukar usulannya mengenai perumahan awam beberapa kali dalam bulan-bulan sebelumnya.

Kata Cik Carrie Tan (PAP - Nee Soon): "Sejak Disember tahun lalu, Encik Leong terus mengubah pendiriannya. Beliau berkata bahawa kita tidak sepatutnya memasukkan kos tanah ke dalam harga ...

"Semalam dia juga mengatakan bahawa kita harus menyertakan kos tanah tetapi kita boleh melambatkan dan membayarnya semula selepas pemilik menjual flat itu.

"Dalam tempoh beberapa bulan, beliau mengubah pendiriannya sebanyak tiga kali. Adakah ini boleh dipercayai?

Encik Leong berkeras menafikan bahawa beliau mengubah-ubah pendiriannya mengenai isu kos tanah, sambil menjelaskan bahawa AP yang mengkritik skim itu, sudah salah faham.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan