Skim pulangkan bekas minuman berupaya ubah sikap masyarakat terhadap kitar semula
SINGAPURA: Skim memulangkan bekas minuman yang diusulkan pemerintah baru-baru ini berpotensi untuk merubah sikap masyarakat berhubung usaha kitar semula.
Ketua Masyarakat & Program Stridy Yasser Amin berkata demikian sambil menambah pada jangka masa panjang pula, skim berkenaan diharapkan dapat memupuk budaya kitar semula dalam kalangan generasi muda.
Skim disarankan itu menyaksikan para pengguna perlu membayar tambahan lagi hingga 20 sen bagi minuman botol plastik atau tin.
Mereka kemudian boleh mendapat pampasan jika mengitar semula bekas-bekas tersebut di tempat yang dikhusukan.
MANFAAT JIKA SKIM ITU DILULUSKAN
Kumpulan Encik Yasser, Stridy yang memulihara alam sekitar, menyatakan skim mengitar semula bekas minuman dianggap sebagai satu daya usaha penting.
Mentelah lagi, 982,000 tan sisa plastik dijana di Singapura tahun lalu tetapi hanya 6 peratus yang dikitar semula.
Jika keadaan itu berterusan, ia bukan saja gagal mengurangkan kadar pengeluaran karbon malah juga bermakna jangka hayat tapak pelupusan sampah Singapura tidak dapat dilanjutkan melewati 2035.
Encik Yasser berkata: "Saya rasa skim ini penting kerana ia akan membantu mendorong masyarakat untuk lebih berfikir tentang apa yang berlaku kepada barang-barang yang mereka pakai selepas mereka gunanya.
"Ada nilai sekarang pada botol plastik atau tin. Orang ramai boleh kitar semula untuk mendapatkan nilai itu dan kerana sekarang juga ada lebih banyak sebab untuk orang ramai menyimpan botol plastik atau tin mereka."
Beliau menambah skim sedemikian juga berkesan untuk mendampingi golongan lebih dewasa yang mungkin sukar untuk kitar semula.
Dengan adanya insentif kewangan, Encik Yasser percaya mereka bakal menurut serta inisiatif berkenaan dengan adanya nilai pada barangan digunakan.
KESAN JANGKA PANJANG
Ibarat melentur buluh dari rebungnya, dan alah bisa tegal biasa, bagi Encik Yasser, itulah yang diharap dapat dipupuk, dan suatu hari nanti, mengitar semula menjadi suatu budaya di kalangan generasi masa depan.
Memandangkan kebanyakan rakyat Singapura hidup di sekitaran kosmpolitan dan bandar, Encik Yasser merasakan mereka mungkin kurang sedar akan cabaran perubahan iklim.
Melalui skim diusulkan, katanya, barulah golongan muda dari usia kecil lagi boleh menyaksikan sendiri manfaat mengitar semula.
"Apabila anda mula dari usia muda, tabiat-tabiat ini akan mengikut anda. Jika anda lihat ibu bapa anda mengumpul, mengitar semula dan kemudian mendapatkan wang baginya, anak-anak akan melihat dan ia akan memupuk perubahan," kongsi beliau.
ADAKAH SKIM-SKIM LAIN KURANG BERKESAN?
Encik Yasser dan kumpulannya percaya skim memulangkan bekas minuman sebenarnya lebih berkesan dalam mengurangkan sisa plastik berbanding skim lain seperti bayaran tambahan bagi beg plastik.
Ini kerana skim tersebut disasarkan secara langsung kepada barangan yang dijual iaitu lebih meluas dan bukan pelaksanaan yang melibatkan lokasi-lokasi tertentu sahaja.
"Saya rasa skim lain masih mempunyai peranan tetapi mereka tidak mencukupi terutama sekarang perubahan yang lebih besar perlu berlaku lebih cepat. Kita sudah kehabisan ruang di Pulau Semakau menjelang 2035.
"Pulau Semakau kita terdiri daripada dua pulau dan pulau-pulau itu asalnya milik Orang Laut dan ini yang berlaku sekarang. Kadar penggunaan kita terlalu tinggi tetapi kadar kitar semula amat rendah sehingga satu-satunya tapak pelupusan sampah kita dipenuhi," rintih beliau.
Gerakan mengumpulkan maklum balas bagi skim memulangkan bekas minuman berlangsung sehingga 14 Oktober.
Jika diluluskan, ia akan dilaksanakan menjelang 2024.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.