Skip to main content

Singapura

Skim presiden dipilih, GRC, NCMP terbukti berkesan bagi SG: SM Lee

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Aug 2026 07:39PM Dikemas Kini : 30 Aug 2026 09:57PM
  • Lee Hsien Loong menegaskan keberkesanan sistem presiden dipilih, NCMP dan GRC dalam mengekalkan kestabilan politik Singapura.
  • Beliau menyatakan institusi ini diuji sepanjang masa dan penting untuk kepentingan jangka panjang negara.
  • GRC memastikan perwakilan kaum minoriti dalam Parlimen, manakala NCMP memberi ruang kepada suara pembangkang.
  • Lee menekankan keperluan pemahaman mendalam masyarakat dan pengalaman politik dalam menggubal undang-undang yang sesuai.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sistem presiden dipilih, Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) sudah diuji dan terbukti berkesan bagi Singapura, kata Menteri Kanan Lee Hsien Loong pada Rabu (12 Ogos).

"Ujian sebenar ketiga-tiga institusi ini adalah bagaimana ia akan berfungsi selama bertahun-tahun dan di bawah pemerintah seterusnya secara berturut-turut," kata SM Lee semasa pelancaran buku baharu oleh mantan Timbalan Perdana Menteri S Jayakumar di ibu pejabat Kementerian Ehwal Luar (MFA) di Tanglin.

SM Lee berkata pertimbangan utama dalam menilai ketiga-tiga institusi itu mestilah kepentingan jangka panjang Singapura serta perkara yang dapat mengekalkan sistem politik yang stabil dan berfungsi dengan baik.

SEMAK DAN IMBANG

Sejak sistem presiden dipilih diperkenalkan pada 1991, pemerintah dan presiden berturut-turut sudah “bekerjasama untuk mengendalikan sistem semak dan imbang ini”.

“Namun, konsep teras - bahawa setiap pemerintah yang dipilih harus berbelanja mengikut kemampuannya, dan hanya menggunakan rizab terdahulu dengan persetujuan presiden yang dipilih - kekal tidak berubah,” kata SM Lee.

"Dalam keadaan darurat seperti krisis kewangan global dan pandemik COVID-19, pemerintah dapat, dengan kelulusan presiden yang dipilih, menggunakan rizab terdahulu untuk membiayai pakej darurat yang besar.

“Namun secara keseluruhannya, sistem politik dan kestabilan jangka panjang Singapura lebih terpelihara dengan semak dan imbang yang disediakan presiden dipilih berbanding tanpa sistem tersebut,” kata SM Lee.

SKIM GRC DAN NCMP

SM Lee juga menyentuh tentang kesan skim NCMP dan GRC.

Kini, GRC merangkumi majoriti Anggota Parlimen.

“Tidak lagi diragui secara serius bahawa GRC diperlukan untuk memastikan kaum minoriti sentiasa diwakili secukupnya dalam Parlimen,” katanya.

“Yang penting, skim GRC juga tidak menggalakkan politik berasaskan kaum.”

Mengenai skim NCMP, SM Lee berkata tujuan utamanya ketika mula diperkenalkan adalah untuk mengelakkan suara pembangkang disisihkan sepenuhnya daripada Parlimen.

Empat dekad kemudian, Anggota Parlimen (AP) pembangkang lazimnya dipilih dalam pilihan raya umum.

SM Lee menambah bahawa jumlah minimum anggota pembangkang yang dijamin di bawah skim NCMP sudah meningkat daripada tiga pada asalnya kepada 12 sekarang ini.

MELANGKAH KE HADAPAN

SM Lee berkata menggubal perlembagaan dan undang-undang yang sesuai dengan keperluan serta keadaan khusus sesebuah negara bukanlah proses yang bersifat perundangan semata-mata.

“Ia memerlukan pemahaman mendalam tentang masyarakat kita - kelemahannya, masalah yang mungkin timbul serta huraian kepada masalah tersebut yang mempunyai peluang terbaik untuk berjaya. Ini memerlukan pengalaman dan pertimbangan politik,” katanya.

Beliau menambah bahawa perdana menteri pengasas dan menteri-menteri muda turut berpandangan jauh melangkaui keadaan semasa negara.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita