Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim perintis pelayaran selamat diteruskan susuli respons 'pantas dan menyeluruh' kepada kes disyaki COVID-19: STB

Tidak lama selepas hasil ujian seorang penumpang kapal persiaran disahkan negatif dan beliau sebenarnya tidak dijangkiti COVID-19, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada Khamis (10 Dis) menyatakan bahawa skim perintis bagi pelayaran yang selamat akan diteruskan mengikut jadual.

Anggaran Waktu Membaca:
Skim perintis pelayaran selamat diteruskan susuli respons 'pantas dan menyeluruh' kepada kes disyaki COVID-19: STB

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 10 Dec 2020 09:49PM Dikemas Kini : 10 Dec 2020 10:03PM

SINGAPURA: Tidak lama selepas hasil ujian seorang penumpang kapal persiaran disahkan negatif dan beliau sebenarnya tidak dijangkiti COVID-19, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada Khamis (10 Dis) menyatakan bahawa skim perintis bagi pelayaran yang selamat akan diteruskan mengikut jadual.

Ini disebabkan oleh respons "pantas dan menyeluruh" kepada kes disyaki COVID-19 itu di atas kapal Quantum of the Seas kendalian Royal Caribbean International pada Rabu (9 Dis), tambahnya.

Ketua pegawai eksekutif (CEO) STB Keith Tan memuji syarikat kapal persiaran itu dan pengendali terminal Sats-Creuers kerana melaksanakan protokol kecemasan tepat pada waktunya.

Dalam satu kenyataan media, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pengendali kapal persiaran Genting Cruise Lines, yang menyokong operasi tersebut dengan menurunkan penumpang kapal itu lebih awal.

Ini bagi mencegah sebarang pergaulan antara mana-mana penumpang atau anak kapal dari kedua-dua kapal yang berlabuh di Pusat Persiaran Marina Bay.

"Tahap profesionalisme itu memberi kami keyakinan bahawa skim perintis ini akan terus diadakan secara selamat berpanjangan, sedang kami bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi dan syarikat-syarikat kapal persiaran untuk melakarkan laluan baru bagi pelayaran secara selamat," kata Encik Tan.

Royal Caribbean pada petang Rabu (9 Dis) memutuskan untuk membatalkan pelayaran Quantum of the Seas pada Khamis "sebagai langkah berhati-hati" dan menyatakan ia akan meneruskan pelayaran pada 14 Dis.

Syarikat itu menambah bahawa ia akan memulangkan bayaran secara penuh kepada pelanggan, serta memberi mereka kredit sebanyak 25 peratus untuk digunakan dalam pelayaran di masa hadapan.

Genting Cruise Lines dan Royal Caribbean International juga diberi lampu hijau untuk menawarkan pelayaran ulang-alik tanpa singgah di pelabuhan sebagai sebahagian daripada skim perintis yang diumumkan oleh STB pada Oktober.

Encik Tan berkata keselamatan terus diutamakan dan kejadian pada Rabu memberi pengajaran berharga bagi pelayaran di masa hadapan, seperti peri pentingnya menggunakan sistem digital TraceTogether untuk menjejak kontak secara berkesan.

"Ia juga memberi kami keyakinan bahawa respons yang kami tetapkan dalam menghadapi sebarang kes COVID-19 adalah pantas dan berkesan," katanya.

Dalam responsnya kepada penyambungan semula skim perintis itu, seorang jurucakap Royal Caribbean berkata: "Kami mengalu-alukan berita ini dan berharap semoga penumpang itu cepat sembuh.

"Kami menghargai bimbingan daripada Pemerintah dan akan terus bekerjasama dengan mereka untuk memperhalusi protokol kami, yang direka untuk melindungi kesihatan dan keselamatan para penumpang, anak kapal dan masyarakat Singapura."

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan