Skip to main content

Singapura

Skim penipuan kod QR berleluasa; bagaimana untuk elak jatuh mangsa?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Beberapa skim penipuan berkaitan kod respons pantas (QR) timbul baru-baru ini, dengan seorang mangsa menanggung kerugian sehingga S$20,000. 

Seorang wanita berusia 60 tahun berada di sebuah kedai 'bubble tea' apabila beliau terlihat pelekat yang seolah-olah mengundang pelanggan untuk mengisi satu borang online bagi mendapatkan secawan minuman 'milk tea' secara percuma. Setelah mengimbas kod QR yang dipaparkan dengan telefon bimbitnya, wanita itu didorong untuk memuat turun aplikasi pihak ketiga. 

Aplikasi itu dipercayai mengandungi perisian hasad, yang digunakan untuk memindahkan S$20,000 daripada akaunnya, lapor akhbar The Straits Times pada Ahad lalu (7 Mei). 

Pada hari berkenaan juga, seorang penduduk Ang Mo Kio yang berusia 50-an tahun, hilang S$53 setelah beliau menggunakan sebuah aplikasi pihak ketiga untuk mengimbas kod QR semasa cuba mengitar semula pakaiannya di mesin SG Kitar Semula berdekatan rumahnya, lapor akhbar Lianhe Zaobao Jumaat lalu. (12 Mei). 

Lelaki itu menggunakan aplikasi pihak ketiga dan mengimbas kod QR yang dipaparkan pada mesin tersebut tetapi menekan iklan sebuah iklan yang membawanya kepada satu laman web di mana beliau disuruh untuk mengisi maklumat kad kreditnya. Beliau menyangkakan bahawa ganjaran kerana mengitar semula pakaiannya akan dimasukkan ke dalam akaun kad kreditnya itu. 

Mediacorp meninjau sebab-sebab mengapa orang ramai jatuh mangsa kepada skim penipuan kod QR dan bagaimana mereka boleh melindungi diri dengan lebih baik daripada skim-skim sedemikian. 

PUNCA ORANG RAMAI JATUH MANGSA

Ia sudah menjadi satu kebiasaan untuk mendengar berita tentang orang ramai terpedaya dengan penipuan kod QR kerana peningkatan pada penggunaannya dalam kehidupan seharian.

Profesor Madya Jiow Hee Jhee, 51 tahun, daripada Institut Teknologi Singapura (SIT) dengan minat penyelidikan dalam jenayah siber, berkata: "Sedang masyarakat semakin pantas memanfaatkan kaedah pembayaran dan urus niaga kewangan elektronik, penipu akan sentiasa mencari jalan untuk memperdaya orang. Kod QR, yang digunakan secara luas, membuka ruang untuk diekploitasikan oleh penipu." 

Encik Kenny Yeo, 47 tahun, Pengarah dan Ketua amalan keselamatan siber bahagian Asia Pasifik bersama Frost & Sullivan, sebuah firma runding cara, juga mengaitkan peningkatan skim penipuan kod QR dengan evolusi perhubungan dan urus niaga digital. 

Skim penipuan berkaitan kod QR sama seperti kebanyakan skim penipuan lain. Ia menyasarkan individu yang mencari tawaran baik atau produk percuma atau cenderung untuk mendapatkan wang mengikut jalan pintas.

Encik Ali Fazeli, 42, seorang perunding kanan di syarikat keselamatan siber Infinity Forensics, berkata skim penipuan berkaitan kod QR cenderung memikat mangsa dengan harga perkhidmatan dan produk yang sangat rendah. 

"Apabila tawarannya terlalu baik sehingga sukar untuk dipercayai, ia mungkin satu penipuan." 

"Kita harus memahami bahawa terdapat kelemahan pada kod QR. Pada dasarnya, ia hanya sekadar gambar hitam dan putih. Pengguna sama sekali tidak tahu ke mana kod itu akan membawa mereka sebelum mengimbasnya. Penjenayah bermatlamat untuk mengambil kesempatan ke atas kelemahan ini," jelas Encik Ali. 

CARA ELAK TERPEDAYA

Jenayah siber biasa berlaku dalam masyarakat hari ini yang bergantung kepada teknologi dan terdapat banyak amaran daripada polis agar orang ramai tidak menekan pautan mencurigakan untuk elak daripada terpedaya oleh skim penipuan. 

Menyentuh tentang soal tanggungjawab peribadi, Encik Yeo menasihatkan orang ramai supaya membaca lebih tentang cara-cara untuk mengelakkan skim penipuan dan berfikir dua kali sebelum bertindak atas keinginan untuk mendapatkan tawaran yang baik. 

"Walaupun teknologi dan peralatan memainkan peranan penting dalam mengesan serta mencegah skim penipuan, perlindungan paling penting bermula daripada kesedaran, kemudian latihan. 

"Anda dan saya perlu sedar tentang seteru ini serta motifnya, kemudian tahu apa yang harus diabaikan dan dipadamkan, bukannya mengimbas dan membalas secara membabi buta tanpa berfikir lanjut," tambahnya. 

Encik Ali daripada Infinity Forensics turut memberi amaran terhadap kod QR yang mengarah pengguna untuk memuat turun lebih banyak bahan dan memberi kebenaran pada telefon bimbit mereka. 

"Ia adalah satu amaran besar sekiranya kod QR itu membawa anda ke wadah pembayaran yang tidak diluluskan atau menyuruh anda untuk melakukan tindakan mencurigakan seperti memuat turun aplikasi atau fail pihak ketiga." 

Bagi pengguna telefon bijak yang tidak begitu celik media, beliau menyarankan untuk menyemak dengan orang lain sama ada mereka patut benar-benar mengimbas kod itu atau mendapatkan tawaran tersebut. Beliau menasihatkan agar cuba menggunakan kaedah pembayaran alternatif jika berasa ragu-ragu. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita