Skim NCMP kini medan latihan untuk muka baharu tingkat prestasi, buktikan keupayaan
Eileen Chong (kiri) dan Andre Low (kanan) dari Parti Pekerja mengisi dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dalam Parlimen ke-15 Singapura. (Gambar: CNA/Ili Mansor, Jeremy Long)
Pemilihan Andre Low dan Eileen Chong mencerminkan strategi pembaharuan WP, dengan kedua-duanya dilihat sebagai pemimpin masa depan yang sedang digarap untuk memikul tanggungjawab lebih besar - satu laluan yang diambil beberapa mantan NCMP WP yang kelihatan membuahkan hasil.
Mereka berdua “bukan sekadar NCMP sementara,” kata Malminderjit Singh, pengarah urusan firma perunding politik Terra Corporate Affairs.
“Mereka adalah pemain utama dalam lembaran seterusnya parti dan sebahagian daripada perancangan penggantian (succession).”
Encik Low, 34 tahun, dan Cik Chong, 33 tahun, juga pantas diserap masuk ke dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti menyusuli Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada Mei lalu.
Encik Low dilantik sebagai timbalan ketua pasukan media WP, manakala Cik Chong dinamakan sebagai presiden sayap belia - peranan penting bagi mendampingi orang awam.
Encik Low kalah tipis kepada Encik Ng Chee Meng dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) di SMC Jalan Kayu.
Pasukan WP yang dianggotai Cik Chong juga kalah tipis di GRC Tampines.
Parti Pekerja (WP) menolak permintaan Mediacorp bagi menemu ramah Encik Low dan Cik Chong bagi artikel ini.
BATU LONCATAN
Walaupun WP secara terbuka menentang skim NCMP, mantan Setiausaha Agungnya Low Thia Khiang pernah berkata bahawa parti itu tidak menghalang anggotanya daripada mengambil peranan tersebut.
Beliau juga berkata WP percaya skim NCMP “bukanlah caranya untuk menjadikan sistem politik kita lebih kukuh”.
Ketika berkempen dalam Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), ketua WP sekarang ini, Pritam Singh, turut menegaskan pendirian partinya.
Mengikut sejarah, WP menggunakan skim ini sebagai medan latihan politik.
Daripada 14 NCMP sejak skim ini diperkenalkan pada 1984, WP paling berjaya dalam usahanya menjadikan mereka AP dipilih - empat daripada lapan NCMP parti itu berjaya dalam pilihan raya seterusnya.
Contoh paling ketara ialah Pengerusi WP Sylvia Lim dan mantan AP GRC Aljunied Leon Perera, yang mengiktiraf pengalaman mereka sebagai NCMP sebagai asas penting dalam kerja perundangan dan program mendekati masyarakat.
Encik Malminderjit Singh berkata penggal Sylvia Lim sebagai NCMP dari 2006 hingga 2011 membolehkannya memperjuangkan isu-isu seperti ujian kelayakan hospital dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), menarik perhatian media dan masyarakat.
Gerald Giam - kini ketua pasukan penyelidikan dasar WP - turut memanfaatkan penggal NCMP dari 2011 hingga 2015 untuk mendalami proses perundangan sebelum dipilih pada 2020.
Encik Leon Perera pula berkata pengalamannya sebagai NCMP dari 2015 hingga 2020 membantunya memahami prosedur parlimen dan berinteraksi secara langsung dengan menteri kabinet.
Namun, beliau memberi amaran bahawa prestasi di parlimen sahaja tidak mencukupi: “Anda perlu meyakinkan pengundi bahawa kerja anda di parlimen melebihi kehadiran di lapangan oleh PAP.”
PELANTIKAN DALAMAN PETUNJUK PEMBAHARUAN
Keputusan WP untuk mengutamakan Encik Low dan Cik Chong berbanding tokoh mapan seperti AP veteran Faisal Manap menunjukkan hasrat parti untuk memberi ruang kepada bakat baharu.
Encik Faisal, 50 tahun, sudah berkhidmat tiga penggal sebagai AP dan dikenali sebagai AP yang berpengalaman dan boleh dipercayai, kata penganalisis bebas Felix Tan, namun parti itu kelihatan mahu memberi pendedahan parlimen kepada generasi baharu.
Masalah kesihatan Encik Faisal pada 2023, apabila beliau dimasukkan ke hospital disebabkan oleh masalah jantung, mungkin turut mempengaruhi keputusan itu, kata Dr Tan.
Peranan NCMP juga memberi ruang pendedahan awam tanpa beban kerja kawasan undi, menjadikannya platform strategik untuk menguji potensi bakat baharu.
Pemilihan Cik Chong juga dilihat sebagai usaha strategik bagi menarik lebih ramai pengundi berbahasa Cina dan kaum wanita.
Dr Tan berkata kemahiran berbahasa Mandarin oleh Cik Chong adalah aset penting, memandangkan hanya beberapa AP WP sahaja yang kini fasih bertutur dalam bahasa itu.
Perwakilan jantina turut menjadi faktor.
Pelantikan Cik Chong berbanding Michael Thng membantu menyeimbangkan barisan yang kini hanya menampilkan dua wanita daripada 10 AP WP.
Hakikatnya, menurut Encik Malminderjit Singh, prestasi dalam parlimen Encik Low dan Cik Chong akan menjadi penanda penting bagi strategi pembaharuan WP - baik dari dalam parti mahupun dari pandangan masyarakat.
DARI NCMP KE PEMIMPIN PARTI?
Walaupun skim NCMP membantu meningkatkan profil politik, ia bukan jaminan kejayaan pilihan raya pada masa akan datang, kata Profesor Madya Undang-Undang di SMU, Eugene Tan.
Malah dalam WP sendiri, hanya Sylvia Lim yang berjaya menang di kawasan undi yang sama selepas menjadi NCMP di situ.
Namun, dalam beberapa kes, NCMP yang tidak menang dalam pilihan raya tetap dilantik ke jawatan tertinggi dalam parti mereka.
Memegang jawatan kepimpinan atau strategik walaupun tanpa kerusi parlimen membolehkan mereka kekal relevan dalam jentera parti dan menjadi calon berpotensi dalam pilihan raya akan datang, kata Encik Malminderjit Singh.
Beberapa NCMP yang tidak menang juga tetap menjadi pemimpin parti.
Setiausaha Agung Parti Rakyat Singapura (SPP), Steve Chia, menjadi NCMP dari 2001 hingga 2006 ketika bersama Perikatan Demokratik Singapura (SDA), manakala Setiausaha Agung Parti Kemajuan Singapura (PSP), Leong Mun Wai, merupakan NCMP penggal lalu dari 2020 hingga awal tahun ini.
KELEMAHAN DAN BATASAN
Sungguhpun begitu, walaupun skim NCMP menyediakan platform penting, ia ada kelemahannya.
Mantan NCMP Encik Chia, Encik Perera dan Encik Leong berkata tanpa tanggungjawab kawasan undi, usaha mereka terbatas untuk berhubung terus dengan pengundi dan mengakses kemudahan majlis bandaran bagi menganjurkan acara.
Ini menyukarkan usaha untuk mengaitkan kerja parlimen dengan sokongan di lapangan.
Encik Perera berkata beliau sedar semasa penggalnya sebagai NCMP bahawa ucapan di parlimen jarang mengubah pendapat umum atau menggubal dasar secara langsung.
Hanya AP yang dipilih mempunyai ruang untuk berinteraksi dengan penduduk, membina hubungan dan memahami sentimen mereka, katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.