Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim NCMP ibarat 'senjata makan tuan' bagi pembangkang, kata calon WP Dennis Tan

Skim Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), yang diperkenalkan untuk memastikan bilangan minimum anggota parlimen pembangkang sekalipun jika mereka tidak dipilih, adalah ibarat "senjata makan tuan" bagi pihak pembangkang, kata calon Parti Pekerja (WP) Dennis Tan pada Rabu (1 Jul). 

Anggaran Waktu Membaca:
Skim NCMP ibarat 'senjata makan tuan' bagi pembangkang, kata calon WP Dennis Tan

Petikan gambar rancangan Hammer Show oleh Parti Pekerja (WP), yang distrimkan secara langsung pada 1 Jul 2020.

Diterbitkan : 02 Jul 2020 10:05AM Dikemas Kini : 02 Jul 2020 10:06AM

SINGAPURA: Skim Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), yang diperkenalkan untuk memastikan bilangan minimum anggota parlimen pembangkang sekalipun jika mereka tidak dipilih, adalah ibarat "senjata makan tuan" bagi pihak pembangkang, kata calon Parti Pekerja (WP) Dennis Tan pada Rabu (1 Jul).

Bercakap semasa sesi online pertama parti itu untuk mendampingi para pengundi semasa tempoh kempen pilihan raya, Encik Tan - seorang bekas NCMP, berkata walaupun ia adalah satu hak istimewa untuk berada dalam Parlimen, tujuan utama skim itu adalah untuk memastikan "tiada parti lain boleh berakar dalam setiap kawasan undi".

Skim NCMP membolehkan "calon yang kalah dengan prestasi terbaik" daripada pihak pembangkang untuk memasuki Parlimen setelah Pilihan Raya Umum.

Para anggota WP sudahpun pada masa lalu bersuara menentang skim itu yang sudah diperkenalkan selama 36 tahun.

"Pembangkang, termasuk NCMP, mempunyai sedikit akses ke tempat di kawasan undi PAP (Parti Tindakan Rakyat), yang biasanya digunakan oleh anggota parlimen PAP untuk menjalankan acara mereka," kata Encik Tan, yang bertanding di kubu kuat WP di SMC Hougang pada pilihan raya kali ini.

Beliau menambah walaupun apabila tokoh politik PAP tewas dalam sesebuah pilihan raya, mereka tetap menjadi penasihat akar umbi, mempunyai akses kepada premis seperti jawatankuasa penduduk dan boleh menjalankan sesi bertemu penduduk.

Menukil mantan ketua WP Low Thia Khiang, yang merujuk kepada NCMP bagai melepaskan batuk di tangga, Encik Tan berkata PAP mahu memastikan anggota politik pembangkang "tidak berakar dalam masyarakat".

"Ini sebenarnya tidak bermanfaat - sistem NCMP. Sebagai mantan NCMP, saya meminta semua pengundi agar tidak terpedaya dengan hasrat PAP untuk NCMP ketika anda keluar mengundi. Pilihlah anggota parlimen kawasan undi pembangkang yang mencukupi," katanya.

"LATIHAN BERBAHAS BAGI MENTERI"

Pengerusi WP Sylvia Lim, salah seorang hos acara siaran langsung itu, berkata pengundi perlu bertanya jika AP pembangkang berada dalam Parlimen semata-mata untuk "menyediakan latihan berbahas" bagi para menteri.

"Jika anda mahu Parlimen menjadi satu pemeriksaan berkesan ke atas Pemerintah, maka pastinya ada tekanan politik dan unsur persaingan politik," kata beliau.

"Apa yang saya fikir adalah PAP tidak mahu mana-mana parti pembangkang mempunyai pangkalan fizikal untuk beroperasi dan mungkin berkembang."

Skim NCMP diperkenalkan pada 1984 setelah beberapa Pilihan Raya Umum berlalu tanpa sebarang perwakilan pembangkang di Parlimen.

Ia menjaminkan bilangan minimum AP pembangkang di Parlimen dan jumlah ini meningkat secara bertahap-tahap sejak beberapa tahun kebelakangan ini dari tiga kepada 12. Hak mengundi NCMP juga sudah ditingkatkan.

Di bawah skim itu, sekiranya jumlah AP pembangkang yang dipilih adalah kurang daripada 12, "calon tewas yang terbaik" dari pihak pembangkang akan diberikan satu kerusi di Parlimen untuk membentuk jumlah tersebut.

Parti Pekerja, yang mempunyai enam AP dipilih dan tiga NCMP dalam Parlimen ke-13, memberi amaran kepada pengundi tentang kemungkinan berlaku "penghapusan pembangkang" dalam pilihan raya kali ini.

"HAK MENGUNDI SEPENUHNYA"

Para pemimpin PAP membidas perkara ini dengan berhujah bahawa skim NCMP akan memastikan terdapat suara pembangkang dan perbahasan di Parlimen.

"Akan ada sekurang-kurangnya 12 AP pembangkang di Parlimen walau apa pun yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum, iaitu enam lebih banyak daripada jumlah AP dipilih," kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa.

Beliau menambah: "NCMP (akan) memiliki hak mengundi serupa dengan AP dipilih. Mereka dapat mengundi bagi Belanjawan, mereka dapat mengundi bagi pindaan perlembagaan, mereka bahkan boleh mengundi untuk usul percaya.. Tidak ada kemungkinan pembangkang dihapuskan dari Parlimen. "

Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah juga mengemukakan perkara sama pada Isnin, menggesa pengundi supaya memberikan PAP "mandat yang kukuh" dalam pilihan raya kali ini.

Para anggota WP lain yang pernah bersuara mengenai perkara itu termasuk mantan NCMP Leon Perera.

"NCMP seperti itu boleh dibenarkan untuk mengutarakan pandangan mereka. Tetapi pandangan itu boleh diabaikan dan Pemerintah boleh melakukan apa saja yang telah dirancang," katanya dalam catatan Facebook pada Rabu.

"Apa yang Singapura perlukan adalah AP pembangkang bertangunggjawab yang suaranya menanggung mandat penuh rakyat."

Episod pertama Hammer Show oleh WP, yang disiarkan secara langsung dari 7.00 malam, juga menampilkan ucapan oleh para calon parti itu - Gerald Giam, Faisal Manap, Nicole Seah dan Dr Jamus Lim. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan