Skim NCMP ibarat 'pengimbang' sistem pilihan raya S'pura, kata Goh Chok Tong
Skim Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) adalah 'pengimbang' bagi menstabilkan sistem pilihan raya Singapura, kata mantan Perdana Menteri Goh Chok Tong dalam satu catatan Facebook semalam (4 Jul).

Gambar fail Encik Goh Chok Tong. (Gambar: Kazuhiro Nogi/AFP)
SINGAPURA: Skim Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) adalah 'pengimbang' bagi menstabilkan sistem pilihan raya Singapura, kata mantan Perdana Menteri Goh Chok Tong dalam satu catatan Facebook semalam (4 Jul).
Skim tersebut sengit dibahaskan, dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) menegaskan kepada para pengundi bahawa akan terdapat sekurang-kurangnya 12 suara pembangkang dalam Parlimen tanpa mengira corak mereka mengundi, manakala parti-parti pembangkang pula berpendapat peranan NCMP tidak berkesan jika dibandingkan dengan Anggota Parlimen (AP) yang dipilih untuk mewakili rakyat.
Ini selepas PAP meminta para pengundi supaya memberikan mandat yang kukuh kepada parti tersebut untuk menerajui usaha negara ini mengatasi krisis COVID-19 manakala parti-parti pembangkang pula memberi amaran suara pembangkang akan 'terhakis' dalam Parlimen jika tiada suara-suara alternatif untuk menyemak dan mengimbangi kuasa pemerintah.
Encik Goh yang tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum kali ini turut menerangkan dalam catatan tersebut mengapa beliau dan mantan Perdana Menteri Lee Kuan Yew memulakan skim NCMP.
Skim NCMP terbentuk apabila beliau dan mendiang Encik Lee memerhatikan perbahasan antara AP PAP dengan mantan ketua Parti Pekerja (WP) J B Jeyaretnam selepas beliau memasuki Parlimen menerusi pilihan raya kecil Anson pada 1981.
"(Encik Lee) membuat kesimpulan bahawa perbahasan sihat dalam Parlimen mengenai dasar-dasar pemerintah bermanfaat bagi sistem demokrasi negara ini," tulis Encik Goh dalam laman Facebook MParader.
"Dengan adanya AP parti pembangkang, ia membolehkan parti pemerintah untuk membahaskan dan menjelaskan isu-isu tertentu di Parlimen, yang jika tidak, akan dibangkitkan di luar sana. Pembangkang juga perlu disemak dan diimbangi."
Menurut Encik Goh lagi, beliau dan Encik Lee tidak gentar sama sekali terhadap semakan dan imbangan mahupun suara-suara alternatif dalam Parlimen dan hasrat itulah yang mendorong mereka berdua untuk mewujudkan skim NCMP.
Salah satu sebabnya adalah dengan perumahan awam dibangunkan di merata Singapura, kawasan-kawasan undi negara ini kelihatan agak sama semuanya. Oleh itu, jika sesebuah parti mencatat prestasi baik dalam Pilihan Raya Umum, ia mungkin akan menang majoriti bahkan kesemua kerusi.
"Hakikatnya, hampir 17 tahun selepas kita merdeka, Singapura tidak mempunyai seorang pun AP pembangkang. Disebabkan tiada langsung suara pembangkang di Parlimen, Encik Lee dan saya membuat keputusan untuk memperkenalkan skim NCMP," jelas Encik Goh.
Selepas mengkaji sistem-sistem parlimen negara lain, mereka mendapati bahawa Mauritius mempunyai sistem yang unik di mana para calon pembangkang yang kalah tetapi meraih kutipan undi yang paling tinggi akan dipilih untuk memastikan kaum minoriti dapat diwakili dengan adil dan saksama.
Encik Goh menambah bahawa skim NCMP memastikan terdapat suara pembangkang di Parlimen tanpa melemahkan mandat parti pemerintah, ataupun diundi keluar kerana itu bukanlah yang diinginkan oleh para pengundi.
"Katakan jumlah pengundi parti pemerintah dan parti pembangkang masing-masing adalah 60/40. Ia hanya memerlukan 10 peratusan mata untuk mengubah pemerintah, secara sengaja atau sebaliknya," kata beliau.
"Jika rakyat Singapura dengan sengaja mengundi untuk menyingkirkan parti pemerintah, itu adalah hak mereka. Tetapi jika mereka mengundi untuk memastikan ada semakan dan imbangan dalam Parlimen sungguhpun mereka masih mahukan parti (pemerintah) untuk membentuk pemerintah, maka itu, keputusan pilihan raya yang tidak dijangkakan boleh berlaku."
Encik Goh menambah bahawa tiada skim NCMP yang mampu mencegah "parti berkuasa yang tidak cekap, tidak popular dan menyeleweng daripada disingkirkan - dan memang sepatutnya begitu."
Namun, yang menjadi keprihatinan beliau dan Encik Lee sebaliknya adalah kestabilan negara.
"Saiz Singapura ibarat sebuah sampan"... Oleh itu, kami memutuskan untuk mengukuhkan sampan tersebut dengan lunjuran. Selepas itu barulah anda boleh pasang layar dan belayar mengikut angin selaju-lajunya tanpa rasa takut akan terbalik dan karam," terang beliau. "Skim NCMP adalah satu lunjuran penting bagi sistem politik kita."
PM LEE MENDENGAR KEPRIHATINAN YANG MAHUKAN LEBIH BANYAK SUARA PEMBANGKANG
Skim NCMP kini memastikan terdapat sekurang-kurangnya 12 AP pembangkang di Parlimen, iaitu jumlah yang dinaikkan secara bertahap-tahap sejak beberapa tahun kebelakangan ini setelah skim itu diperkenalkan pada 1984 dengan hanya tiga kerusi NCMP.
Dalam Parlimen lalu sebelum ia dibubarkan, terdapat enam AP pembangkang dan tiga kerusi NCMP.
Menurut Encik Goh, beliau menyokong keputusan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 2016 untuk menambah kerusi NCMP berbanding maksimum sembilan sebelum itu dan juga memberikan hak mengundi yang sama dengan para AP lain.
"Beliau telah mendengar dengan teliti keprihatinan rakyat Singapura untuk lebih banyak suara pembangkang dalam Parlimen. Menambah lagi tiga kerusi NCMP dan memberikan hak mengundi yang sama dengan AP lain adalah pindaan yang sangat ketara pada perlembagaan negara," tulis Encik Goh.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa para pengundi bukan saja memilih calon yang bakal mewakili mereka di Parlimen dan mentadbir majlis bandaran mereka tapi juga parti yang akan memimpin dan memerintah Singapura.
"Bagi Pilihan Raya Umum kali ini, anda akan memilih parti yang akan mengemudi sampan kita di tengah-tengah pandemik COVID-19 dan pelbagai lagi cabaran baik di dalam mahupun luar negara," kata beliau.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.