Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim lantik 'timbalan' dan 'penerima kuasa' atau PDD dilancarkan

Golongan yang tidak mempunyai ahli keluarga atau kenalan yang dekat, kini boleh mula mendapatkan khidmat timbalan atau penerima kuasa profesional yang boleh bertindak bagi pihak mereka sekiranya mereka hilang keupayaan mental. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Golongan yang tidak mempunyai ahli keluarga atau kenalan yang dekat, kini boleh mula mendapatkan khidmat timbalan atau penerima kuasa profesional yang boleh bertindak bagi pihak mereka sekiranya mereka hilang keupayaan mental.

Ini boleh dilakukan menerusi skim dipanggil Timbalan dan Penerima Kuasa Profesional atau PDD (Professional Deputies and Donees). Ia dilancarkan hari ini (21 Sep) oleh Pejabat Penjaga Awam (OPG) di mana ia juga akan melatih para karyawan dalam bidang-bidang relevan bagi menawarkan khidmat sedemikian.

Seorang 'Deputy' atau timbalan dalam hal ini adalah individu atau wakil dari syarikat amanah berlesen yang dilantik mahkamah untuk membuat keputusan atau bertindak bagi seseorang yang hilang kapasiti mental.

Sebagai permulaan, 24 karyawan DPP sudah mendapat pentauliahan. Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menyatakan ia akan memantau permintaan bagi khidmat DPP dalam tempoh beberapa tahun akan datang dan menyesuaikan bilangan DPP terlatih untuk memenuhi permintaan.

MENGAPA SKIM DPP DILANCARKAN?

Skim ini dilancarkan menyusuli pindaan kepada Akta Keupayaan Mental pada 2016 yang membolehkan khidmat berbayar seperti itu ditawarkan. Ini memandangkan bilangan golongan tua yang bujang dan yang tiada zuriat semakin meningkat.
OPG menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat dengan keadaan penduduk yang semakin menua.

"Pada 2007, jumlah warga emas di Singapura hanya 9 peratus tetapi pada 2017, angka ini telah meningkat kepada 14 peratus. Kami menjangka pada 2030, angka ini akan menjangkau 25 peratus atau 900,000 penduduk Singapura," kongsi Cik Shazana Anuar, Penolong Pengarah (Perundangan dan Dasar) di OPG.

BAGAIMANA BAYARAN BAGI KHIDMAT 'TIMBALAN' DITENTUKAN?

Tahun lalu, 95 peratus daripada penerima kuasa yang dilantik merupakan ahli keluarga atau saudara mara kepada pemberi kuasa yang membuat Surat Kuasa Berkekalan (LPA).

Mereka yang hilang keupayaan mental sebelum membuat LPA pula akan diberikan khidmat timbalan profesional yang dilantik Mahkamah seperti sekarang.

Namun di bawah skim baru itu, seorang timbalan yang berdaftar juga boleh dilantik oleh orang-orang yang tidak mempunyai kenalan rapat, untuk dijadikan penerima kuasa profesional mereka.

Bayaran bagi khidmat mereka akan ditentukan berdasarkan persetujuan antara pemberi kuasa dengan penerima kuasa itu, kerana pengguna khidmat masih waras semasa ketika itu.

Bagi timbalan yang dilantik pula, yurannya akan ditentukan oleh pihak mahkamah.

Cik Shazana menjelaskan bahawa jumlah yang dikenakan itu bergantung kepada kerumitan tugas yang perlu dijalankan. Maka itu, tiada garis panduan akan diberikan buat masa ini dalam menentukan bayaran yang wajar bagi khidmat yang diberikan.

"Kami ingin pasaran berkembang tanpa sekatan," jelas beliau. "Tetapi penjaga awam akan terus meneliti situasi ini pada masa ini," tambahnya lagi.

SIAPA BOLEH JADI 'TIMBALAN' & PENERIMA KUASA?

Pendaftaran bagi timbalan dan penerima kuasa profesional dibuka kepada para karyawan dari pelbagai bidang yang berkaitan. Ini termasuk para peguam, doktor, akauntan dan juga pekerja sosial.

"Hanya individu-individu yang termasuk dalam kelas-kelas profesional tertentu boleh berdaftar seperti peguam dan doktor."

"Mereka juga harus menyertai dan lulus dalam kursus dan memenuhi kriteria lain seperti tiada rekod jenayah, kedudukan kewangan kukuh dan tiada rekod kesalahan profesional," jelas Cik Shazana mengenai antara kriteria ketat yang ditetapkan bagi seseorang penerima kuasa atau timbalan profesional.

Seramai 24 karyawan dari pelbagai bidang sudahpun mengikuti dan lulus dalam kursus yang dikendalikan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) pada Julai lalu. 12 daripada mereka kini tersenarai di laman web OPG sebagai timbalan dan penerima kuasa profesional, sementara yang lain masih dalam proses pendaftaran.

BAGAIMANA UNTUK PASTIKAN KHIDMAT BERJALAN LANCAR?

Untuk memastikan kelancaran khidmat yang ditawarkan, seorang timbalan juga dikehendaki untuk melantik seorang pengganti yang boleh mengambil alih tugas beliau sekiranya beliau tidak dapat menjalankan tugas atas sebab-sebab tertentu.

Seseorang timbalan juga perlu menyerahkan laporan sekurang-kurangnya setahun sekali bagi membutirkan segala perbelanjaan atau keputusan yang dibuatnya, sepanjang beliau menjalankan tugas.

Seseorang penerima kuasa profesional juga dikehendaki menghantarkan laporan apabila ia membabitkan transaksi kewangan yang banyak. Namun kekerapan laporan itu bergantung kepada keadaan.

Pejabat Penjaga Awam menegaskan pihaknya boleh menyiasat dan mengambil tindakan terhadap seseorang timbalan atau penerima kuasa yang dilantik, sekiranya ada aduan mengenai penyalahgunaan kuasa.

Para timbalan dan penerima kuasa juga dikehendaki berdaftar dengan Pejabat Penjaga Awam setiap dua tahun demi memenuhi dan mengekalkan tahap disiplin dan profesionalisme yang tinggi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan