Skim insentif berkaitan kehadiran pekerja 'tidak harus dilihat sebagai amalan yang adil': MOM
Gambar fail.
SINGAPURA: Skim insentif berkaitan dengan kehadiran pekerja “tidak lagi harus dilihat sebagai amalan yang munasabah atau adil”, kata Menteri Tenaga Manusia, Tan See Leng hari ini (14 Feb).
Pihak berkuasa "akan menjelaskan" bahawa menilai atau memberi ganjaran kepada pekerja dengan cara sedemikian bertentangan dengan Garis Panduan Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil (TGFEP).
"Rakan-rakan perikatan tiga pihak akan menjelaskan perkara ini kepada semua pihak berkepentingan," menurut beliau dalam jawapan bertulis kepada soalan parlimen.
Insentif untuk pekerja yang tidak mengambil cuti sakit menjadi isu baru-baru ini menyusuli kejadian di mana seorang teknisyen kawalan haiwan perosak dipenjarakan kerana dia enggan menjalani ujian swab COVID-19 kerana tidak mahu kehilangan insentif kerja bulanan.
BACA: Teknisyen kawalan haiwan perosak enggan MC, jalani ujian swab kerana mahu insentif kerja $100.
Para pakar memberitahu Mediacorp bahawa skim sedemikian lebih cenderung kepada pekerja bergaji rendah atau pekerja syif.
Dalam respons beliau, Dr Tan menyatakan bahawa pihak berkuasa tidak mengumpul data mengenai skim sedemikian.
Rakan perikatan tiga pihak sudah bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang melaksanakan skim-skim sedemikian untuk "menyusun semula skim itu kepada skim produktiviti dan kebajikan yang tidak mengambil kira cuti sakit", kata Dr Tan.
Syarikat-syarikat sudah mencapai kemajuan kerana sebahagian daripada syarikat-syarikat itu sudah menyesuaikan skim mereka untuk menyediakan faedah kesihatan kepada para pekerja mereka.
Kementerian Tenaga Manusia juga akan bekerjasama dengan persatuan dan dewan perdagangan lain untuk menjelaskan pemahaman garis panduan pekerjaan yang adil.
“Kami akan memberi sedikit masa kepada syarikat untuk menyemak dan membuat penyesuaian jika perlu. Mulai tahun depan, ia jelas bahawa skim sebegini bertentangan dengan garis panduan TGFEP,” kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.