Skip to main content

Singapura

Skim HDB disemak, 'bantuan tambahan' bagi pekerja lanjut usia: PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Aug 2023 07:19PM Dikemas Kini : 08 Aug 2023 11:02PM
SINGAPURA: Singapura sedang memperhalusi skim-skim perumahan awam bagi memastikan flat-flat HDB kekal terjangkau dan dimampui semua.

Mengumumkan demikian dalam Amanat Hari Kebangsaan beliau pada Selasa (8 Ogos), Perdana Menteri Lee Hsien Loong juga berkata, Pemerintah akan membantu pekerja lebih tua agar dapat meningkatkan simpanan CPF mereka bagi persaraan.

Menyentuh mengenai flat HDB, PM Lee berkata memandangkan tapak-tapak untuk membina estet-estet baharu akan semakin berkurangan pada masa depan, lebih banyak flat akan dibina di tapak-tapak sedia ada.

Beliau sedia maklum bahawa estet bukan matang yang sedia ada juga "kian matang" sedang rangkaian pengangkutan dan prasarana diperbaiki.

"Lantaran itu, dalam masa akan datang, semakin banyak flat HDB baharu akan dibina di estet yang sedia ada seperti di sini di Dawson.

"Flat-flat sedemikian tentu sekali akan mendapat permintaan lebih tinggi. Harga pelancaran serta penjualan semula baginya akan mencerminkan hakikat ini. Namun, di tengah-tengah lanskap yang berubah, kami mesti pastikan bahawa perumahan awam berada dalam jangkauan dan kemampuan rakyat Singapura tidak kira pendapatan mereka," kata PM Lee.

Mesej beliau dirakam di SkyOasis@Dawson – sebuah projek dilancarkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini di Queenstown, salah satu daripada bandar tertua di Singapura.

Demi mengekalkan kisah perumahan awam Singapura terus utuh untuk generasi sekarang dan akan datang, PM Lee mengatakan bahawa pemerintah juga harus memastikan skim-skim perumahan yang tersedia, adil dan inklusif untuk semua orang.

PM Lee menambah: "Inilah komitmen pemerintah saya kepada anda, dan kami akan tunaikan. Kami perlu mengubah suai skim-skim perumahan HDB bagi mencapai matlamat ini. Kami ada beberapa idea bagaimana untuk mencapainya, dan akan saya kongsi semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan nanti."
Menyentuh mengenai penduduk Singapura yang semakin menua, PM Lee berkata hampir 1 daripada setiap lima rakyat Singapura kini berusia 65 tahun ke atas.

Menjelang tahun 2030 pula, bilangannya akan bertambah kepada 1 dalam setiap 4 orang.

Demi memastikan mereka mempunyai cukup wang CPF untuk persaraan, lebih banyak bantuan akan dihulurkan kepada mereka, kata PM Lee.

"Kami sudah secara progresif meningkatkan sistem CPF bagi memastikan rakyat mampu menabung secukupnya semasa mereka masih bekerja.
Kami juga menyediakan bantuan khusus kepada para pekerja bergaji rendah, misalnya melalui skim Daya Kerja dan Gaji Progresif," ujar PM Lee.

"Namun, sebilangan pekerja lanjut usia dalam lingkungan 50-an dan awal 60-an masih belum memiliki CPF yang cukup untuk bersara. Mereka perlukan bantuan tambahan."

Beliau menarik perhatian bahawa perkara demikian akan disentuh dengan lebih lanjut semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan, yang akan berlangsung pada 20 Ogos nanti.

PM Lee juga akan menyentuh tentang skandal yang yang melibatkan Parti Tindakan Rakyat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sambil menekankan bahawa mereka akan menanganinya dengan sewajarnya dan dengan tulus.

"Biar tiada keraguan: Pemerintah saya bertekad untuk memastikan sistem kami bebas daripada rasuah dan salah laku. Kami akan memastikan standard tinggi kami dalam soal kejujuran, integriti dan tatasusila. Warga Singapura memang menjangkakan pemerintah mereka seperti itu. Begitu juga dengan jangkaan rakan-rakan antarabangsa Singapura,' ujarnya.

Kepercayaan membolehkan Singapura untuk mengharungi pandemik COVID-19 selama tiga tahun, kata PM Lee.

"Kepercayaan adalah apa yang membenarkan pemimpin politik bekerjasama dengan warga Singapura untuk memberi kehidpan yang lebih baik kepada semua. Dan kepercayaan akan memblolehkan kita untuk maju ke hadapan dengan selamat dalam dunia yang bermasalah.'
Sumber : CNA/IQ/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita