Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim galak ambil balik, kitar semula bekas minuman akan dilaksana pada 2023

Satu skim bagi menggalak orang ramai supaya mengitar semula bekas minuman mereka seperti botol plastik dan tin aluminium akan dilaksanakan pada 2023, dengan kerangka perundangan akan diperkenalkan setahun sebelum itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Skim galak ambil balik, kitar semula bekas minuman akan dilaksana pada 2023

Gambar hiasan minuman manis (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 04 Mar 2021 05:40PM Dikemas Kini : 04 Mar 2021 05:41PM

SINGAPURA: Satu skim bagi menggalak orang ramai supaya mengitar semula bekas minuman mereka seperti botol plastik dan tin aluminium akan dilaksanakan pada 2023, dengan kerangka perundangan akan diperkenalkan setahun sebelum itu.

Dikenali di peringkat antarabangsa sebagai Skim Bayaran Balik Deposit (DRS), ia secara amnya melibatkan pihak pengeluar membiayai pengambilan semula bekas minuman terpakai dengan menawarkan bayaran balik kepada pengguna apabila mereka mengembalikannya di tempat-tempat yang disediakan.

Ketika berucap di Parlimen semasa membahaskan peruntukan bagi kementeriannya, Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu berkata "tempoh peralihan" antara permulaan skim berkenaan dengan pelancaran kerangka perundangan akan memberikan masa kepada industri tersebut untuk menyediakan tempat pengumpulan dan prasarana kitar semula.

Dalam satu kenyataan media bersama, Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan sisa bahan bungkusan, termasuk plastik, adalah salah satu "aliran sisa keutamaan" kerana menyumbang kira-kira sepertiga daripada sisa domestik yang dibuang.

"Kami mengalu-alukan pihak-pihak berkepentingan untuk mengongsi pandangan mereka dan bekerjasama dengan kita dalam membentuk kerangka DRS, sedang kami menimbangkan cara terbaik untuk mereka sistem yang menjimatkan kos dan sesuai untuk Singapura," menurut pihak berkuasa.

NEA menarik perhatian tahun lalu bahawa DRS telah dilaksanakan di beberapa negara seperti Norway, Sweden dan Jerman, mencapai kadar kitar semula yang tinggi menjangkaui 80 peratus bagi bekas minuman.

KAJIAN KITAR SEMULA SISA KIMIA

Dalam ucapannya, Cik Fu berkata aspek lain yang penting dalam mengitar semula sisa bahan bungkusan adalah membina keupayaan kitar semula tempatan.

"Lebih separuh sisa bahan bungkusan domestik yang dibuang adalah plastik. Kami sedang mengusahakan huraian kitar semula kaedah mekanikal dan kimia. Kaedah kedua itu boleh memproses plastik tercemar yang tidak sesuai untuk dikitar semula secara mekanikal," kata Cik Fu.

Cik Fu menambah bahawa NEA dan Shell sedang mengkaji secara bersama kemungkinan untuk mengitar semula bahan kimia di Singapura, termasuk potensi penjimatan karbon untuk menyalurkan sisa plastik dari pembakaran untuk menghasilkan minyak pirolisis, atau NEWOil, sebagai bahan mentah bagi loji petrokimia.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan