Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim EAE bantu 2 individu kejar impian kerjaya mereka

Tangan yang diberi lebih mulia daripada yang menerima. Prinsip sebegitulah sudah lama ditanamkan ke dalam diri Nurul Taiyibah Abutalib, 23 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tangan yang diberi lebih mulia daripada yang menerima.

Prinsip sebegitulah sudah lama ditanamkan ke dalam diri Nurul Taiyibah Abutalib, 23 tahun.

Sejak kecil, beliau banyak menemani ibu bapanya melakukan kerja-kerja kesukarelawan.

"Walaupun kami tidak dibesarkan di dalam keluarga yang berada, ibu bapa saya tetap akan cuba untuk menolong orang-orang lain. Sebelum ini mereka sering membawa saya ke Indonesia semasa saya kecil untuk memberi barangan keperluan seharian di rumah-rumah anak yatim," kongsi Cik Nurul kepada wartawan Syawal Yusoff.

"Walaupun kami dibesarkan dalam keluarga yang tidak begitu istimewa, selalu ada orang lain yang bergelut dan kurang bernasib baik daripada kami, itulah yang mendorong saya untuk meneruskan perkhidmatan sosial."

MULA LAKUKAN KERJA KEMASYARAKATAN SEJAK KECIL

Meskipun ibunya sudah meninggal dunia, pengajaran yang ditinggalkan ibunya itu sudah tersemat dalam dirinya.

Itu yang mendorong dirinya untuk melakar kerjaya dalam sektor kebajikan.

Di NITEC, Nurul mengambil kursus dalam Penjagaan Masyarakat dan Khidmat Sosial di Kolej Timur ITE.

Selepas tamat pengajiannya, Nurul terus bekerja untuk bantu menyara keluarga.

Sepanjang empat tahun, beliau menggalas pelbagai jawatan untuk berkhidmat kepada golongan berkeperluan khas di MINDS, AWWA dan Pusat Rainbow.

Namun, masih tersirat hasrat di hatinya untuk melanjutkan pengajian secara sepenuh masa di peringkat diploma.

"Dunia sekarang semakin pantas dan sesetengah syarikat mereka menuntut lebih dari segi pendidikan. Jadi apabila saya seperti mencari pekerjaan hanya dengan sijil ITE saya, pekerjaan itu agak terhad. Saya fikir adalah sangat penting untuk terus meningkatkan kemahiran anda," ujar Nurul.

(Gambar: Syawal Yusoff)

DAPAT MASUK POLITEKNIK MENERUSI EAE UNTUK ORANG DEWASA YANG BEKERJA

Justeru apabila beliau mendapat tahu tentang skim Kemasukan Awal (EAE) yang dikhususkan untuk golongan dewasa yang bekerja, Nurul tidak teragak-agak untuk merebut peluang tersebut.

Di bawah skim itu para pemohon perlukan pengalaman kerja yang relevan sekurang-kurangnya dua tahun untuk memohon dan menerima tawaran bersyarat bagi kursus-kursus tersebut.

"Ia juga menumpukan kepada kerja yang anda lakukan beberapa tahun lalu bukan sahaja pada keputusan akademik anda. Semua pengalaman saya dari tempat kerja saya, sukarela saya, saya masukkan ke dalam portfolio saya dan menggunakannya untuk permohonan itu. Selepas itu saya telah terpilih untuk temuduga. Temuduga itu berjalan lancar, pada asasnya semasa temu duga, mereka akan memberi anda senario tentang cara bagaimana anda menyelesaikan masalah atau isu dalam masyarakat atau isu-isu sosial dan akan ada sekumpulan pemohon EAE lain juga. Anda akan bekerjasama sebagai satu kumpulan dan menyelesaikan isu-isu tertentu," kongsi Nurul.

Nurul kini dalam tahun kedua pengajian diploma dalam jurusan Pembangunan Masyarakat di Politeknik Ngee Ann (NP).

LEBIH MUDAH MEMAHAMI MODUL

Sebagai antara pelajar yang lebih matang dalam kohortnya, Nurul dapat berkongsi pengalaman kerjanya dengan penuntut lain untuk mereka dapat lebih memahami apa yang diajar dalam konteks realiti di luar.

"Dengan pengalaman saya dari tempat kerja saya sebelum ini, saya rasa ia membantu dalam memahami modul dengan lebih lanjut kerana kami juga melakukan banyak kerja sukarela dan projek.

"Dari segi projek atau tugasan, saya benar-benar boleh menggunakan kemahiran dan pengalaman yang saya peroleh dan mengaplikasikannya dalam pelajaran," kata Nurul.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Beliau berharap dapat terus melanjutkan pengajiannya ke peringkat ijazah dan akan terus menyumbang dan berbakti kepada masyarakat.

Selepas menamatkan pengajiannya di NP, Nurul berazam untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat ijazah di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) untuk meluaskan lagi kemahirannya dalam sektor kemasyarakatan.

DIDORONG AZAM UNTUK DALAMI SISTEM KERETA API

Seorang lagi individu yang cekal mengejar impiannya menerusi EAE ialah Muhammad Izuddin Zainudin, 21 tahun.

Sebagai seorang teknisyen di depot SBS Transit, beliau antara mereka yang bertanggungjawab memastikan setiap kereta api laluan Downtown diperiksa demi keselamatan ribuan penumpang setiap hari.

"Kita selalu buat pemeriksaan dalam kita punya kereta api, tepi dia, bawah dia, dalam dia ini semua. Sekiranya kalau kita ada nampak apa-apa yang ada masalah atau rosak, itulah yang kita selesaikan masalahnya," jelas Izuddin yang sudah lebih dua tahun setengah bekerja dengan syarikat itu.

Minatnya dalam bidang pengangkutan sebenarnya sudah berputik sejak berusia sekecil lima tahun lagi.

"Saya sering menonton 'Thomas & Friends', 'Chuggington', video kereta api semasa zaman kanak-kanak. Jadi saya juga membesar bermain dengan 'Lego'. Saya akan mencipta kereta api dengan pakai 'blok-blok' Lego. Dulu pun saya ada buat kajian tentang macam laluan kereta api," katanya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Di peringkat ITE, beliau memilih kursus NITEC dalam Teknologi Transit Cepat di Kolej Barat ITE.

Dengan Gred Purata (GPA) 3.0 mata, Izuddin cuba untuk lanjutkan pengajiannya^ ke NITEC Lanjutan menerusi Kemasukan Awal (EAE).

Ini membolehkannya menghabiskan pengajian dalam masa setahun sahaja.

"Satu perkara dia boleh saya dapat langkau satu tahun dalam NITEC Lanjutan jadi maksudnya daripada saya masuk tahun pertama NITEC Lanjutan, saya masuk terus ke tahun kedua. Saya mahu belajar lebih banyak ilmu dalam ini sektor kereta api. Jadi itu pasal saya pilih EAE. Jika di NITEC Lanjutan, saya belajar tentang sistem rangkaian MRT, 'otak' rangkaian MRT," ujarnya.

AMBIL WSDIP UNTUK TERUS RAIH KEMAHIRAN BAHARU

Keinginannya untuk menimba ilmu tidak terhenti di situ sahaja, Izuddin kini sedang mengikuti program diploma (WSDip) dalam Kejuruteraan Pengangkutan Darat untuk terus mempertingkatkan dirinya.

Beliau bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera, suatu hari nanti.

Beliau menambah: "Sekiranya saya mahu memohon pekerjaan, kadang-kadang para majikan perlukan beberapa tahun pengalaman bekerja. Sebab itulah saya pilih WSDip ini."

(Gambar: Syawal Yusoff)

Buat masa ini beliau perlu mengimbangi kedua-dua kerjaya sepenuh masa dan juga pelajarannya.

Beliau hanya perlu ke sekolah dua kali seminggu.

Izuddin juga bersyukur, penyelia serta rakan-rakan sekerjanya juga memahami dan menyokong pengajiannya itu.

Selepas menamatkan program WSDip itu pada Oktober nanti, Izuddin akan mula menjalani perkhidmatan negara (NS).

"Saya akan teruskan dengan pelajaran saya tapi mudah-mudahan dapat seperti ini (WSDip) juga. Saya mahu cuba yang program bekerja sambil bekerja dalam peringkat ijazah pula. Masih dalam ini industri kereta api," jelasnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

LEBIH 6,500 PENUNTUT RAIH MANFAAT SKIM EAE DARI 2021

Menjawab pertanyaan BERITA Mediacorp, Kementerian Pendidikan (MOE) mendedahkan bahawa seramai 4,300 pelajar sudahpun diterima masuk ke politeknik dan 2,300 pelajar ke ITE menerusi EAE di antara 2021 hingga 2023.

Bagi golongan dewasa pula, sekitar 40 orang dapat melanjutkan pengajian di ITE dan politeknik melalui EAE, berdasarkan pengalaman kerja mereka.

Mereka yang berminat untuk membuat permohonan bagi EAE di peringat ITE, boleh melakukannya dari 21 hingga 28 Mei.

Maklumat lanjut boleh didapatkan di: www.ite.edu.sg/apply-eae.

Untuk pendaftaran bagi EAE di peringkat politeknik bagi orang dewasa pula, ia akan dibuka dari 3 hingga 30 Jun.

Maklumat lanjut boleh didapatkan di: eae.polytechnic.edu.sg/

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan