Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim bersih rumah sambilan diluaskan kepada khidmat jaga anak, warga tua

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Mar 2023 06:41PM Dikemas Kini : 14 Mar 2023 11:37PM
SINGAPURA: Skim yang membenarkan syarikat menggajikan pekerja hijrahan untuk menyediakan khidmat membersihkan rumah dan mencuci kereta secara sambilan diperluaskan untuk merangkumi penjagaan asas kanak-kanak dan warga tua.

Mulai Rabu (15 Mac), Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan melancarkan satu program perintis dua tahun untuk meluaskan skop Skim Perkhidmatan Isi Rumah (HSS). Skim itu dilancarkan sebagai satu program perintis pada 2017 sebelum ia dirasmikan pada 2021 dan dijadikan program tetap.

Syarikat di bawah program perintis itu boleh menggajikan lebih ramai pekerja hijrahan untuk menyediakan khidmat sedemikian kepada isi rumah, kata MOM dalam satu kenyataan media pada Selasa.

"Ini akan memberi manfaat terutamanya kepada keluarga yang memerlukan bantuan menjaga anak dan warga tua hanya untuk beberapa jam sehari atau minggu dan memberi mereka lebih banyak pilihan untuk memenuhi keperluan keluarga mereka."

Menurut MOM, pekerja syarikat di bawah HSS itu boleh bekerja di beberapa rumah secara sambilan untuk menyediakan khidmat kepada isi rumah tertentu. Tidak seperti pembantu rumah asing yang tinggal bersama majikan dan hanya boleh bekerja untuk mereka, pekerja dari syarikat HSS tidak tinggal di rumah tempat mereka bekerja.

Sebanyak 25 syarikat telah dipilih untuk menyertai program perintis itu, berdasarkan rekod prestasi dan pengalaman berkaitan dalam khidmat pembersihan atau penjagaan, kata MOM.

Isi rumah boleh mendapatkan khidmat syarikat sedemikian untuk melakukan tugas menjaga anak berusia lebih 18 bulan dan warga emas.

Namun, pekerja hijrahan itu mesti sudah menjalani latihan sebelum boleh dihantar ke rumah-rumah bagi membantu menjalankan tugas seperti memandi dan memakaikan pakaian, mengawas serta memberi ubat.

MOM mengingatkan bahawa keluarga yang memerlukan tahap penjagaan yang lebih tinggi harus mendapatkan khidmat syarikat penjagaan khusus, seperti khidmat perubatan atau rawatan di rumah.

Isi rumah juga dinasihatkan supaya ada anggota keluarga yang hadir terutama ketika menggunakan khidmat itu buat kali pertama, kata MOM.

Buat masa ini, terdapat kira-kira 140 syarikat HSS yang menyediakan khidmat sambilan kepada lebih 21,000 rumah, kata Menteri Negara Tenaga Manusia Gan Siow Huang.

Dengan skop yang diperluaskan, syarikat di bawah skim itu akan mempunyai tenaga kerja tambahan untuk menawarkan khidmat penjagaan asas sambilan.

"Ini akan memberi lebih banyak pilihan kepada isi rumah. Kami berharap ini akan membantu rakyat Singapura mengimbangi komitmen kerja dan keluarga dengan lebih baik," kata Cik Gan.

"Kami akan memantau program perintis itu, dengan mengambil kira maklum balas daripada isi rumah dan syarikat perintis, untuk menilai keberkesanannya dan memutuskan sama ada penyesuaian lanjut diperlukan."
Sumber : CNA/SU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan