Skim baucar CDC beralih ke digital; peniaga, penjaja diajak muat turun app
Agihan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) yang akan datang akan diedarkan secara digital, menurut kelima-lima CDC dalam satu kenyataan bersama dengan Persatuan Rakyat (PA) pada Isnin (18 Okt).
Gambar fail DPM Heng Swee Keat mengunjungi gerai yang ambil bahagian dalam skim baucar CDC pada 25 Jan 2021 (Gambar: CDC)
SINGAPURA: Agihan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) yang akan datang akan diedarkan secara digital, menurut kelima-lima CDC dalam satu kenyataan bersama dengan Persatuan Rakyat (PA) pada Isnin (18 Okt).
Selama beberapa bulan akan datang, duta baucar dari CDC dan Pejabat SG Digital akan ditugaskan untuk menjemput dan memberi panduan kepada peniaga dan penjaja di kawasan kejiranan untuk memuat turun dan menggunakan aplikasi RedeemSG Merchant.
Aplikasi tersebut akan membolehkan mereka menerima baucar digital diberi Pemerintah dan menjejak urus niaga baucar dengan mudah, menurut kenyataan itu.
"Ini juga sebagai respons kepada cadangan peniaga dan penjaja bagi pembayaran lebih pantas, dan mengurangkan keperluan bagi mereka mengumpul, mengira dan menyerahkan baucar kertas," tambahnya.
Ini adalah kali pertama baucar diedarkan secara digital, berbanding baucar fizikal yang digunakan sebelum ini.
Skim berjumlah S$130 juta itu, diumumkan semasa Belanjawan tahun ini, sebagai tanda penghargaan kepada semua keluarga warga Singapura atas "semangat daya tahan mereka selama pandemik COVID-19", dan juga untuk menyokong peniaga dan penjaja di kawasan perumahan.
Sebanyak 1.3 juta isi rumah Singapura akan masing-masing menerima baucar CDC bernilai S$100 dalam beberapa bulan mendatang.
Pelancaran akan bermula dengan merekrut dan mendampingi peniaga dan penjaja di kawasan perumahan, yang dijemput untuk mengambil bahagian bermula Isnin.
Mereka boleh mendaftarkan minat mereka secara online dan seorang duta Baucar CDC akan menghubungi mereka dalam tempoh dua minggu akan datang untuk memberi panduan bagaimana untuk menggunakan aplikasi RedeemSG Merchant.
Video dan infografik cara menggunakannya juga akan disediakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.