Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim baru M-SEP pastikan firma ambil atau latih pekerja tempatan, kata Menteri Tan See Leng

Dilancarkan bulan lalu, skim baru itu membolehkan syarikat yang mempunyai rancangan mengembangkan perniagaan supaya mengambil lebih ramai pemegang Pas S dan permit kerja buat sementara waktu, mengikut kuota semasa bagi industri masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:
Skim baru M-SEP pastikan firma ambil atau latih pekerja tempatan, kata Menteri Tan See Leng

Pemandangan latar langit bandar Singapura pada 23 September 2022. (Gambar: Try Sutrisno Foo/CNA)

SINGAPURA: Skim Tenaga Manusia bagi Keutamaan Ekonomi Strategik (M-SEP) direka dengan syarat-syarat yang mengkehendaki firma-firma yang mengambil bahagian supaya mengambil atau melatih pekerja tempatan, kata Menteri Kedua bagi Perdagangan dan Perusahaan Tan See Leng pada Isnin (9 Jan).

“M-SEP melengkapi usaha pemerintah yang sedia ada untuk membangunkan bakat tempatan," kata Dr Tan dalam menjawab beberapa soalan parlimen tentang bagaimana skim baru tersebut akan memberi manfaat kepada pekerja tempatan.

Dilancarkan bulan lalu, skim baru itu membolehkan syarikat yang mempunyai rancangan mengembangkan perniagaan supaya mengambil lebih ramai pemegang Pas S dan permit kerja buat sementara waktu, mengikut kuota semasa bagi industri masing-masing.

Untuk layak bagi skim itu, syarikat perlu memenuhi dua syarat.

Pertama, ia mesti syarikat yang mencetuskan perubahan ketara bagi keutamaan ekonomi Singapura.

Kedua, ia perlu komited untuk mengambil dan melatih pekerja tempatan, sama ada dengan meniambah jumlah tenaga kerja tempatan atau menghantar pekerja mereka ke program latihan yang diluluskan.

Syarikat boleh memilih untuk mengambil pekerja tempatan menerusi salurannya sendiri atau melalui program pemerintah, asalkan pekerja itu dibayar lebih daripada gaji kelayakan tempatan sebanyak S$1,400.

Syarikat tersebut perlu mencapai kenaikan bersih dalam pengambilan pekerja tempatan, kata Dr Tan yang juga Menteri Tenaga Manusia.

Karyawan pertengahan kerjaya, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) yang diambil bekerja menerusi skim-skim kerjaya lain juga akan diambil kira sebagai memenuhi syarat pengambilan lebih ramai bakat tempatan. Demikian kata Dr Tan ketika menjawab soalan tentang sama ada skim M-SEP boleh memberi lebih tumpuan kepada pekerja pertengahan kerjaya.

Namun, pihak berkuasa "sedar bahawa ia tidak realistik" untuk menjangkakan semua syarikat dapat memenuhi kriteria pengambilan pekerja di tengah-tengah pasaran buruh yang ketat, tambah Dr Tan.

Syarikat boleh menghantar pekerja tempatan mereka untuk menghadiri program latihan yang diiktiraf seperti yang ditadbir oleh Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) atau SkillsFuture Singapore.

Syarikat juga mesti mengekalkan bahagian tenaga kerja tempatan sepanjang tempoh dua tahun ia mengambil bahagian dalam skim M-SEP.

Berhubung bagaimana pihak berkuasa akan memastikan komitmen latihan dan pengambilan pekerja dipatuhi, Dr Tan berkata: "Pada akhirnya, ini adalah syarikat-syarikat yang menyokong keutamaan ekonomi strategik kami dan yang kami bekerja rapat dengan."

BANTU FIRMA BERKEMBANG

Dr Tan berkata skim M-SEP direka untuk saling melengkapi program pemerintah lain yang menyokong keutamaan ekonomi.

Dalam respons kepada soalan tentang sama ada skim baru itu memberi isyarat mengenai automasi dan kebergantungan kepada pekerja hijrahan, Dr Tan menarik perhatian bahawa program-program yang disertai syarikat untuk layak bagi skim itu bersangkut-paut "bukan sahaja dengan pertumbuhan tetapi juga membantu syarikat untuk menjadi lebih berdaya hasil pada masa yang sama, menerusi inovasi dan pengantarabangsaan".

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) serta Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) sebelum ini memberi contoh program yang relevan termasuk Insentif Pembangunan dan Perkembangan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) serta program Scale-Up SG oleh Enterprise Singapore.

Program-program itu selaras dengan keutamaan ekonomi penting seperti berlabur dalam strategi, inovasi, kajian dan pengembangan hab Singapura serta menebarkan sayap ke luar negara.

MOM dan MTI menyatakan ketika itu bahawa sekitar 1,000 syarikat iaitu kurang 1 peratus daripada keseluruhan perniagaan yang berdaftar di Singapura, memenuhi syarat tersebut.

Dr Tan berkata M-SEP hanya menyediakan sokongan buat tempoh yang terhad.

Beliau menambah bahawa syarikat kecil dan sederhana (SME) serta syarikat-syarikat lebih kecil layak untuk skim itu selagi ia memenuhi syarat-syarat yang diperlukan.

Bagaimanapun, penyedia khidmat penyumberan luar tidak akan dibenarkan untuk mengambil lebih ramai pekerja hijrahan berdasarkan pelanggan mereka yang layak untuk skim itu, kata Dr Tan.

Beliau menarik perhatian terdapat langkah-langkah lain yang dilaksanakan bagi memastikan syarikat yang menyediakan perkhidmatan penting, seperti dalam jagaan kesihatan atau pembersihan estet perumahan awam, mempunyai akses kepada tenaga manusia asing untuk fungsi-fungsi penting.

Menurut beliau, jumlah Pas S dan permit kerja tambahan yang akan dikeluarkan akan bergantung kepada kadar pengambilan skim M-SEP. Tidak semua daripada sekitar 1,000 syarikat akan memerlukan sokongan M-SEP, katanya.

Menteri itu menekankan pihak berkuasa memandang serius isu-isu keadilan di tempat kerja.

Syarikat yang melanggar Rangka Kerja Pertimbangan Adil atau Garis Panduan Perikatan Tiga Pihak mengenai Amalan Pengambilan Kerja Adil mungkin diharamkan daripada semua hak istimewa pas kerja dan tidak akan dibenarkan layak bagi skim M-SEP yang baru.

Syarikat yang sedang disiasat pula akan dinilai berdasarkan kes.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan