Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim baru gesa pemain sektor binaan wujudkan 'perikatan' transformasi

Di bawah skim yang bertujuan untuk merancakkan transformasi dalam rantaian nilai, para pemain dalam sektor binaan perlu bersatu.

Anggaran Waktu Membaca:
Skim baru gesa pemain sektor binaan wujudkan 'perikatan' transformasi

Tapak binaan di Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 04 Mar 2021 08:20PM Dikemas Kini : 04 Mar 2021 08:22PM

SINGAPURA: Di bawah skim yang bertujuan untuk merancakkan transformasi dalam rantaian nilai, para pemain dalam sektor binaan perlu bersatu untuk mewujudkan pelan minimum tiga tahun untuk mencapai matlamat-matlamat khusus.

Demikian menurut Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee hari ini (4 Mac).

Semasa berucap di Parlimen, beliau turut memberikan perincian mengenai Skim Pertumbuhan dan Transformasi (GTS), yang pertama kali diumumkan bulan lalu oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat sebagai sebahagian daripada langkah-langkah Belanjawan 2021.

Selain itu sektor persekitaran terbina juga akan menjadi yang pertama untuk menjalani transformasi di bawah skim itu.

Encik Lee menarik perhatian bahawa sektor persekitaran terbina sangat saling bergantung dengan pihak-pihak berkepentingan dalam rantaian nilai dan itulah sebabnya "sukar untuk satu-satu firma dalam rantaian nilai untuk melalui perubahan secara sendirian".

Pendekatan GTS itu akan merubah seluruh rantaian nilai secara menyeluruh, kata beliau.

Di bawah skim itu juga, para pemaju, pembina dan perunding "progresif" misalnya, akan digalakkan untuk membentuk perikatan dan membangunkan pelan perniagaan dan transformasi sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga tahun.

Pelan itu juga harus menggariskan inisiatif-inisiatif untuk mencapai hasil tertentu, seperti menggunakan teknologi digital binaan untuk meraih penjimatan daya penghasilan.

Perikatan itu juga perlu memenuhi sasaran kemampanan, membina keupayaan lebih baik, membangunkan tenaga kerja dan mempertingkatkan pertumbuhan perniagaan dan kerjasama strategik, kata Encik Lee.

Para anggota perikatan itu akan bersama-sama bertanggungjawab bagi hasil yang dinyatakan dalam pelan perniagaan mereka.

"Dengan cara ini, pendekatan rantaian nilai ini akan membantu para anggota perikatan untuk menjalin kerjasama jangka panjang, meraih manfaat secara bersama dan membina keupayaan menerusi perkongsian dan pemindahan pengetahuan.

"Ini akan membantu membuka laluan bagi perikatan itu untuk menjalankan projek lebih besar atau lebih rumit atau membangunkan kekuatan tukikan pada masa akan datang," kata beliau.

Pendekatan itu juga merupakan satu peralihan daripada skim-skim sokongan berdasarkan projek.

Skim-skim sedemikian boleh menyebabkan para kontraktor "yang beroperasi pada tahap keuntungan yang kecil untuk menepati sasaran jangka pendek, tanpa keupayaan untuk melabur dalam perubahan jangka panjang", kata Encik Lee.

"Sebagai perbandingan, GTS menyokong firma-firma dalam mempertingkat keupayaan mereka bukan hanya dari segi menyelesaikan projek tertentu," kata beliau.

Encik Lee menambah pihak berkuasa akan memulakan GTS dengan "hanya sebilangan" perikatan terlebih dahulu dan akan memperbaiki skim itu secara bertahap-tahap.

Lama kelamaan, harapannya adalah untuk seluruh ekosistem menunjukkan kemajuan, termasuk subkontraktor di bawah rantaian nilai itu, kata beliau, sambil menambah lebih banyak maklumat akan diumumkan pada lewat tahun ini.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan