Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim baru galak penduduk kawasan Timur Laut jalani pemeriksaan awal barah payudara

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah skim baru dilancarkan hari ini (28 Mei) bagi membantu golongan wanita berpendapatan rendah yang menetap di kawasan Timur Laut untuk jalani rawatan bagi penyakit barah payudara.

Ia antaranya menyediakan pemeriksaan mamogram percuma serta bantuan kewangan sehingga S$10,000 akan diberikan kepada mereka yang dikesan positif menghidap penyakit barah payudara.

Sehingga S$5,000 daripadanya boleh digunakan untuk menampung kos perubatan yang perlu dibayar selepas menolak subsidi-subsidi seperti MediShield, MediFund dan Pemeriksaan Kesihatan Demi Kehidupan serta kos tambahan jika keputusan mamogram menandakan sebarang keadaan yang tidak normal.

Gambar: NE CDC

Lagi $5,000 akan diberikan secara tunai bagi membantu penerima bantuan tangani kebimbangan tentang kos kehidupan mereka.

Untuk layak bagi skim tersebut, mereka mesti berusia 50 tahun dan ke atas dan meraih pendapatan per kapita keluarga $1,200 dan ke bawah atau pemegang kad biru CHAS.

Skim Sokongan Pejuang Barah Timur Laut itu dilancarkan semasa acara "She Matters: Action for Women's Health" oleh Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Timur Laut, dalam kerjasama bersama SingHealth dan program Pemeriksaan Kesihatan Demi Kehidupan oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).

CARA BARU GALAK WANITA KESAN AWAL BARAH PAYUDARA

Gambar: NE CDC

Menurut Datuk Bandar kawasan itu, Desmond Choo, skim tersebut merupakan "cara baru" dalam menggalak dan meningkatkan kadar pemeriksaan bagi barah payudara.

Selain beban kewangan, skim itu juga diharap dapat menyokong para penghidap barah payudara dari segi emosi dan mental.

"Ini agar wanita dapat minda yang lebih tenteram untuk menjalani program ini dan memastikan mereka lebih sihat. Tumpuan yang kedua, kami sedang bekerjasama dengan rakan-rakan lain untuk membantu mereka pada setiap perjalanan mereka agar adanya sokongan psikologi dan kaunseling supaya mereka rasa yakin untuk menanganinya," kongsi Encik Choo.

Sekitar 1,000 penduduk Timur Laut akan didampingi bagi program rintis itu.

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Dalam acara itu yang juga diadakan sempena Hari Tindakan Antarabangsa untuk Kesihatan Wanita, sekitar 400 penduduk berpeluang belajar lebih lanjut tentang kepentingan pengesanan awal penyakit itu serta cara untuk amalkan gaya hidup sihat.

Selain melakukan senaman ringan, para hadirin juga dapat menyaksikan demonstrasi masakan oleh Cef Bob serta mengambil bahagian dalam gerai-gerai interaktif yang disediakan.

Untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan, mereka juga berpeluang untuk mengikuti perbincangan oleh ahli panel tentang penyakit barah antaranya dianggotai pakar barah, Dr Veronique Tan yang juga Ketua Pusat Payudara Duke-NUS SingHealth, dan para selebriti seperti Koh Chieng Mun, Sue Kassim dan Sharon Ismail.

PELUANG PULIH LEBIH BAIK JIKA DIKESAN AWAL

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Antara topik yang dibincangkan adalah simptom-simptom barah itu dan tindakan yang wajar diambil.

"Mengesan barah payudara pada tahap awal adalah kritikal kerana ia bermakna peluang untuk pulih adalah lebih tinggi dan ia juga bermakna bahawa jumlah rawatan atau jenis rawatan yang diperlukan untuk memulihkan seorang wanita itu kurang toksik," ujar Dr Tan.

"Jadi untuk ada peluang yang lebih baik untuk pulih dan yang memerlukan rawatan yang berkurangan, saya rasa sangat penting untuk wanita kesan awal menerusi pemeriksaan mamogram," tambah beliau.

Ini lebih-lebih lagi memandangkan barah payudara merupakan jenis barah yang sering menjejas wanita.

Di Singapura misalnya, 30 peratus daripada kes-kes barah yang didiagnos pada wanita, merupakan jenis barah payudara.Para selebriti seperti Koh Chieng Mun dan Sue Kassim juga berkongsi tentang pengalaman mereka sendiri sebagai pejuang penyakit barah payudara.

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Bagi Sharon Ismail pula, beliau berkongsi perspektif sebagai seorang penjaga pesakit iaitu ibunya sendiri, yang pernah menghidap penyakit itu sebanyak dua kali.

"Perjalanan kami sudah 12 tahun lamanya dan perjalanan ini memang agak apa orang kata, memang memenatkan, merisaukan tapi juga kita dapat rasakan sebagai satu keluarga bagaimana kita boleh menyokong seorang yang begitu memerlukan perhatian dalam hidup kita," kongsi Sharon.

"Bila kita dapati kenalan kita, keluarga kita ataupun kawan-kawan kita mendapat penyakit ini, saya harap kita boleh beri sokongan yang sejagat. Jadi sokongan moral itu penting kalau ada topik yang perlu dibincangkan, kita bincangkan dengan secara terbuka jadi jangan kita rahsiakan penyakit ini ataupun kita buat orang itu rasa macam terpinggir," tambah beliau.

MASYARAKAT MELAYU/ISLAM DIGALAK JALANI PEMERIKSAAN AWAL

Gambar: NE CDC

Hadir untuk melancarkan acara itu dan bertemu ramah dengan para penduduk ialah Menteri Kedua Kesihatan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, menekankan kepentingan pemeriksaan awal sebagai "intervensi yang tepat" agar kesihatan yang lebih baik dapat dicapai.

"Kalau kita lihat daripada kesan pengesanan barah payudara antara wanita, ia adalah kerana lebih ramai mereka datang awal untuk mendapat pemeriksaan hingga kita dapat tahu bahawa mereka menghidapi barah tersebut tetapi malangnya di kalangan masyarakat Melayu/Islam kita, masih ramai yang belum ke depan untuk mendapat pemeriksaan tersebut hingga apabila kita dapat tahu mereka menghidapi barah tersebut, ia sudah mencapai tahap yang agak lewat dan susah untuk diubati," kongsi Encik Masagos.

"Ini apatah lagi dengan mereka juga yang tidak menjalani susulan daripada perubatan yang diperlukan jadi saya harap masyarakat kita boleh mengatasi masalah ini," tambah beliau.

Menurut Laporan Tinjauan Kesihatan Nasional 2020, kadar wanita Melayu yang melakukan ujian mamogram hanya 17.6 peratus.

Ini berbanding 41.3 peratus bagi kaum Cina dan 43.2 peratus untuk kaum India.

MAMOGRAM TIDAK SAKIT SEPERTI YANG DISANGKAKAN - CIK NURUL AYSHA
Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Antara yang terawal dapat menjalani pemeriksaan mamogam secara percuma di acara tersebut hari ini ialah Cik Nurul Aysha, 52 tahun.

"Saya mempunyai pandangan bahawa ia (proses) sangat menyakitkan kerana kali terakhir yang saya melakukannya, ia amat menyakitkan. Jadi kali ini ia kurang sakit dan saya rasa sangat baik untuk ada mamogram sebegini," kongsi Cik Aysha yang menjalani pemeriksaan mamogram pertamanya pada 2017.

"Kami kadangkala takut apabila melihat orang lain menjalani proses sebegini. Jadi dengan melalukan (pemeriksaan) sebegini, ia menyenangkan anda. Ini agar kita tidak menjadi beban kepada anak-anak kita dan kita menjaga kesihatan kita," tambah beliau.

Skim itu diharap dapat menggalak lebih ramai wanita seperti Cik Nurul Aysha untuk mengutamakan kesihatan mereka dan meningkatkan kesedaran mengenai pengesanan awal barah payudara.

Orang ramai boleh mendapatkan lebih banyak maklumat serta kriteria lain bagi skim itu di laman ini.

Anda boleh mendaftar secara online melalui laman ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan