Skip to main content

Singapura

Skim baru bantu pekerja bebas buat sumbangan Medisave menerusi pindaan akta CPF

Sebahagian upah pekerja bebas yang menawarkan khidmat kepada Pemerintah atau agensi awam, akan disalurkan ke akaun Medisave masing-masing di bawah skim perintis 'CAYE'.

Anggaran Waktu Membaca:
Skim baru bantu pekerja bebas buat sumbangan Medisave menerusi pindaan akta CPF

(Gambar hiasan: Jeremy Long)

Diterbitkan : 05 Nov 2019 12:23AM Dikemas Kini : 05 Nov 2019 12:29AM

SINGAPURA: Pekerja bebas yang menawarkan khidmat kepada Pemerintah dan agensi sektor awam akan mempunyai sebahagian pembayaran mereka disalurkan ke akaun MediSave di bawah satu skim perintis. Ini setelah Parlimen meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Tabung Simpanan Pekerja (CPF) pada Isnin (4 Nov).

Skim Mencarum-Sambil-Peroleh-Pendapatan (Contribute-As-You-Earn atau CAYE) pertama kali diusulkan kumpulan kerja tiga pihak dan diterima Pemerintah pada Mac 2018. Ia bertujuan membantu mereka yang bekerja sendiri (SEP) "menyumbang kepada MediSave secara tetap (dan) memperkukuh perlindugan mereka terhadap "kejutan kesihatan", kata Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo semasa membentangkan Rang Undang-Undang itu bagi bacaan kedua.

Sekitar 6,000 SEP yang diupah Pemerintah akan menyertai program rintis itu bermula 1 Jan 2020.

CABARAN DIHADAPI SEP BUAT SUMBANGAN MEDISAVE

Buat masa ini, pekerja sendirian membuat sumbangan tahunan ke akaun MediSave masing-masing jika meraih pendapatan perniagaan bersih (net trade income) tahunan melebihi S$6,000, menurut laman CPF.

Bergantung pada usia dan pendapatan tahunan seorang pekerja, kadar sumbangan adalah dalam lingkungan 4 hingga 10.5 peratus.

Bagaimanapun pendekatan membuat sumbangan tahunan itu boleh diperbaiki, kata Cik Teo. Ini memandangkan sebilangan besar "SEP yang mengalami masalah aliran wang tunai" menghadapi masalah membuat sumbangan.

Sekitar 130,000, atau 60 peratus mereka yang bekerja sendiri "tidak membuat sumbangan Medisave sepenuhnya" pada setiap tahun, tambah menteri itu.

Di bawah program rintis, para pekerja bebas ini dapat membuat "sumbangan kecil dan tetap" kepada akaun MediSave masing-masing tiap kali mereka diupah bekerja.

Skim CAYE ini akan membantu mereka mengembangkan wang Medisave mereka hasil faedah yang diraih oleh sumbangan lebih awal.

BANYAK LAGI BOLEH DILAKUKAN?

Menerusi rundingan kementerian dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan pemimpin persatuan-persatuan SEP, Cik Teo mendapati mereka secara amnya mengalu-alukan skim tersebut dan akur akan faedahnya.

Bagaimanapun terdapat keprihatinan berhubung sebilangan SEP yang masih berhutang dalam pembayaran sumbangan.

Anggota Parlimen (AP) Ang Hin Kee dan beberapa pemimpin persatuan menyarankan Pemerintah menawarkan padanan sumbangan di bawah CAYE.

Cik Teo menyifatkan saranan itu sebagai baik dan berkata Pemerintah akan "mengkaji cara menyokong SEP yang menyertai program perintis CAYE".

AP Tanpa Kawasan Undi Dr Daniel Goh pula berkata Pemerintah boleh memanfaatkan CAYE untuk menggalak pekerja bebas membuat sumbangan kerap menerusi insentif yang wajar.

PINDAAN LAIN TERHADAP AKTA CPF

Akta CPF juga dipinda untuk menangani keperluan berubah pihak majikan dan untuk memperjelas dan perhalusi pentadbiran Akta CPF.

Pertama, Lembaga CPF akan membenarkan bayaran semula bagi situasi yang terbit daripada amalan pengambilan kerja yang berubah-rubah.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) memberi contoh bagaimana majikan mungkin menyusun komponen gaji berdasarkan syarat-syarat kontrak, di mana sebahagian gaji seperti bonus dikembalikan pekerjanya bila gagal memenuhi syarat itu.

Pindaan Akta CPF kini membolehkan Lembaga CPF membenarkan pembayaran semula komponen CPF apabila berlakunya situasi sedemikian. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita