Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim Bantuan Pencari Kerja agih bayaran berperingkat, boleh dimanfaat pekerja dengan gaji sehingga S$5,000 sebulan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Aug 2024 07:01PM Dikemas Kini : 27 Aug 2024 08:52PM
SINGAPURA: Satu skim yang pertama seumpamanya di Singapura akan mengagihkan sehingga S$6,000 dalam tempoh enam bulan kepada mereka yang diberhentikan kerja, dengan bayaran maksimum sebanyak S$1,500 diberikan pada bulan pertama.

Jumlah bulanan yang diagihkan pula dikurangkan secara bertahap-tahap pada bulan-bulan seterusnya.

Hanya warga Singapura dan penduduk tetap (PR) berusia 21 tahun ke atas, yang sebelum ini meraih gaji bulanan tidak melebihi S$5,000, layak untuk mendapat bantuan kewangan berkenaan.

Individu tersebut juga perlu memenuhi syarat, yang mana hartanah yang didiami mempunyai nilai tahunan tidak melebihi S$25,000, antara lain.

Dipanggil skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture, bayaran tersebut boleh diterima di samping program bantuan kewangan yang sedia ada.

Demikian menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Tenaga Kerja Singapura (WSG) pada Selasa (27 Ogos).

Skim itu, yang pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan awal bulan ini, dijadual dilancarkan bagi rakyat pada April tahun depan dan bagi PR pada suku pertama 2026.

Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng menyifatkan inisiatif tersebut sebagai "anjakan paradigma" bagi pemerintah, yang telah memperuntukkan sebanyak lebih S$200 juta setahun untuk membiayai skim itu.

Sekalipun skim bantuan sosial wujud, "terdapat penduduk lain yang menghadapi tekanan kewangan terutamanya apabila mereka diberhentikan kerja bukan secara sukarela", katanya semasa berucap di Institut Devan Nair pada Selasa.

"Oleh itu... Buat pertama kalinya, kami akan memberikan bantuan kewangan sementara kepada individu yang diberhentikan kerja bukan secara sukarela, tetapi sudah tentu, syarat yang ditetapkan ialah mereka mesti menjalani kegiatan yang menjadikan mereka lebih berkemungkinan untuk mendapatkan pekerjaan yang baik."

Kira-kira 60,000 penduduk Singapura dianggarkan layak bagi skim tersebut setiap tahun, yang akan mengambil kira lebih 60 peratus individu yang diberhentikan kerja bukan secara sukarela.

KRITERIA, SYARAT KELAYAKAN


Dr Tan menarik perhatian bahawa skim tersebut menyasarkan untuk mencapai "keseimbangan yang teliti dan rapi" dalam menyokong mereka yang berkemungkinan dibelenggu tekanan kewangan dan mungkin tergesa-gesa bekerja dalam bidang yang tidak sesuai dengan mereka.

"Tetapi pada masa yang sama, kami juga tidak mahu pencari kerja kami berlengah daripada kembali ke dunia pekerjaan tanpa sebarang alasan munasabah, kerana ini akan mengurangkan daya bekerja mereka," jelasnya.

Skim tersebut disasarkan kepada pekerja berpendapatan rendah dan pertengahan, dan bersandar pada gaji yang sedikit melebihi pendapatan median di Singapura sebanyak S$4,550.

Pemohon mesti dalam keadaan menganggur atas sebab-sebab bukan sukarela seperti pemberhentian kerja, penutupan perniagaan, pemecatan atau penamatan perkhidmatan disebabkan sakit, kecederaan atau kemalangan.

Mereka yang telah menerima bayaran Bantuan Pencari Kerja sejak tiga tahun lalu, tidak layak.

Pemohon harus sudah bekerja sekurang-kurangnya enam bulan dalam tempoh 12 bulan sebelum permohonannya dibuat.

"Individu yang telah menganggur bukan secara sukarela selama lebih daripada enam bulan dalam tempoh 12 bulan yang lalu biasanya tidak layak, kerana skim (bantuan pencari kerja) bertujuan untuk menggalakkan mereka yang menghadapi rintangan dalam pekerjaan untuk mengambil tindakan segera untuk menyertai semula tenaga kerja dan tidak menangguhkan pencarian pekerjaan mereka," nyata MOM dan WSG.

Namun, apabila skim itu dilancarkan pada April tahun depan, "konsesi sekali sahaja" akan diberikan kepada warga Singapura yang diberhentikan kerja secara bukan sukarela pada atau selepas 1 April 2024, dan kekal menganggur.

BAYARAN BERPERINGKAT

Mereka yang layak akan menerima sehingga S$1,500 pada bulan pertama, S$1,250 pada bulan kedua, S$1,000 pada bulan ketiga dan S$750 bagi setiap baki tiga bulan.

Tidak semua yang layak akan menerima jumlah S$6,000 dalam tempoh enam bulan.

Bayaran bulanan sebaliknya dihadkan mengikut gaji bulanan yang diterima individu sebelum itu.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan