Skip to main content

Singapura

Skim bantu pesalah keganasan keluarga diluaskan kepada anggota keluarga terdekat

Satu skim untuk membantu pesalah keganasan keluarga menangani punca asas sosial jenayah mereka akan diperluas kepada anggota keluarga terdekat mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Skim bantu pesalah keganasan keluarga diluaskan kepada anggota keluarga terdekat

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 22 Jan 2021 10:26AM Dikemas Kini : 22 Jan 2021 11:33AM

SINGAPURA: Satu skim untuk membantu pesalah keganasan keluarga menangani punca asas sosial jenayah mereka akan diperluas kepada anggota keluarga terdekat mereka.

Demikian menurut Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Muhammad Faishal Ibrahim pada Khamis (21 Jan).

Ia juga akan dilaksanakan di semua divisyen darat polis di Singapura, selain di lokasi sedia ada di Divisyen Polis Bedok.

Di bawah Skim Bantuan Masyarakat dan Rujukan Home Team (HT CARES), polis akan merujuk keluarga pesalah keganasan kepada para pekerja khidmat sosial yang dikenali sebagai pegawai CARES, yang akan menilai sama ada campur tangan sosial diperlukan.

"Para pegawai CARES akan menemu bual pesalah untuk menentukan keadaan sosioekonomi mereka yang mungkin menyebabkan mereka berkelakuan ganas dan akan merujuk mereka kepada agensi khidmat sosial yang sesuai untuk mendapatkan bantuan."

Polis dijangka selesai melaksanakan usaha memperluas skim tersebut tahun ini.

HT CARES diperkenalkan pada bulan Januari 2019 selepas rundingan dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF). Sejauh ini polis sudah merujuk 218 pesalah kepada para pegawai CARES untuk mendapatkan campur tangan sosial.

Pada bulan Mei tahun lalu, polis menyatakan aduan berkaitan keganasan keluarga meningkat 22 peratus sejak permulaan tempoh pemutus rantaian dalam bulan April.

Bercakap kepada para wartawan semasa mengadakan lawatan ke Divisyen Polis Bedok, Dr Faishal berkata jumlah aduan keganasan keluarga setiap bulan telah meningkat sekitar 10 peratus.

"Jika dilihat daripada jumlah keganasan keluarga sejak April hingga Disember, kami menyaksikan kenaikan 10 peratus sebulan dan saya rasa ini sesuatu yang kami jangkakan.

"Seperti yang boleh anda lihat, di peringkat antarabangsa, kita juga menyaksikan kenaikan insiden daripada laporan-laporan yang dikongsi di merata dunia," kata beliau.

Menurut polis, pihaknya menerima 5,135 aduan bagi kesalahan berkaitan keganasan keluarga dan merujuk 1,115 kes kepada Pusat Khidmat Keluarga (FSC) atau Pusat Pakar Keganasan Keluarga (FVSC) tahun lalu.

Ini kali pertama mereka mengeluarkan perangkaan tahunan jumlah aduan bagi kesalahan-kesalahan berkaitan keganasan keluarga.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita