Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim Badan Pengiktirafan Halal Luar Negara dipertingkat; MUIS semak piawai bagi pertingkat ketelusan

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan mempertingkatkan skim Badan Pengiktirafan Halal Asing (FHCB) bagi mengukuhkan lagi piawaiannya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan mempertingkatkan skim Badan Pengiktirafan Halal Luar Negara (FHCB) bagi mengukuhkan lagi piawaiannya.

Demikian menurut MUIS dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan pada Selasa (8 Feb).

Menurut MUIS, beberapa prosedur baru sudah dilakar hasil semakan terhadap rangka kerja FHCB yang dijalankan oleh syarikat runding cara profesional, PricewaterhouseCoopers Management Services Pte Ltd.

PROSEDUR BARU DILAKAR HASIL SEMAKAN RANGKA KERJA FHCB

Menurut MUIS, semakan itu mengenal pasti beberapa bidang yang berjaya mencapai sasarannya dan beberapa saranan penambahbaikan juga diberikan untuk memperbaiki sistem tersebut.

Hasil semakan itu, MUIS berhasil melakar beberapa prosedur baru yang akan dilaksanakan bersama dengan beberapa semakan lain bagi mengukuhkan lagi pentadbiran MUIS terhadap skim yang dipertingkat itu.

DUA FASA PELAKSANAAN SKIM DIPERTINGKAT

MUIS akan melaksanakan skim yang dipertingkatkan itu menerusi dua fasa, dengan fasa peralihan dari 31 Januari 2022 sehingga 30 Jun 2022.

Sepanjang tempoh itu, permohonan bagi pengiktirafan MUIS dibuka kepada semua FHCB di bawah FHCB sedia ada yang diiktiraf oleh MUIS serta FHCB yang tidak mendapat pengiktirafan daripada MUIS.

Badan-badan yang menerima kelulusan sepanjang tempoh peralihan akan diberikan pengiktirafan sementara selama setahun sehingga skim yang dipertingkatkan itu dilaksanakan sepenuhnya pada 2023.

LEBIH TELUS TERHADAP MAKLUMAT BADAN PENGIKTIRAFAN HALAL ASING

Skim yang dipertingkatkan itu, antara lain, akan menyediakan lebih ketelusan terhadap maklumat badan-badan pengiktirafan halal asing dalam senarai pengiktirafan MUIS.

Maklumat itu juga akan disediakan di laman web MUIS bagi memudahkan rujukan.

Sehubungan itu, ia akan memberi lebih jaminan kepada mutu FHCB yang menawarkan khidmat pensijilan halal di luar negara dengan adanya kriteria yang ditetapkan dan prosedur penilaian yang lebih menyeluruh.

Akhir sekali, ia juga akan memperluaskan tawaran produk-produk makanan bersijil Halal yang diimport dari luar negara dengan menyelaraskannya bersama keperluan makanan halal di Singapura.

BANTU JIMATKAN MASA

Peningkatan terhadap skim FHCB itu dialu-alukan oleh beberapa syarikat pembekal makanan Halal di Singapura.

Khususnya, skim yang dipertingkatkan itu dapat membantu mereka menjimatkan masa mengenal pasti sumber-sumber makanan yang diiktiraf Halal.

"Skim ini akan membantu kami untuk mengenal pasti sumber-sumber yang diiktiraf Halal oleh agensi-agensi yang diberikan pentauliahan oleh MUIS dalam format yang dapat menjimatkan masa.

"Sebelum ini, ia mengambil masa untuk mengesahkan butiran sedemikian kerana kami perlu menghubungi setiap pembekal satu persatu," kata Eksekutif Kanan Pembangunan Perniagaan Pondok Abang, Habib Mansoor.

Selain membantu menjimatkan masa, ia juga dapat meningkatkan daya persaingan syarikat-syarikat dengan menawarkan kepelbagaian pada sumber-sumber bekalan makanan yang diperolehi.

"Skim ini juga akan membantu kami untuk mempelbagaikan sumber-sumber makanan Halal kami, yang bermakna produk-produk pada harga lebih dimampui dan berdaya saing untuk para pelanggan kami," ujar Encik Habib.

"Kini kami mendapat bekalan daripada beribu-ribu pembekal di seluruh dunia bagi kilang-kilang kami di Singapura.

"Ia juga dapat membantu kami secara lebih berkesan untuk melayakkan para pembekal kami dan mempertingkatkan daya persaingan kami sebagai lokasi pengeluaran makanan Halal yang diyakini di seluruh dunia," kata Pengerusi Jawatankuasa Halal Symrise Asia Pasific Pte Ltd, Encik Ng Kim Keat.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan