Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SkillsFuture Singapore sudah hubungi semua pihak untuk dapatkan semula lebihan bayaran geran S$4.22 juta: MOE

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Aug 2022 04:54PM Dikemas Kini : 02 Aug 2022 12:02AM
SINGAPURA: SkillsFuture Singapore (SSG) sudah menghubungi semua penyedia latihan, syarikat dan individu yang terjejas untuk mendapatkan semula berjuta-juta dalam lebihan bayaran yang dibuat kerana kelemahan dalam pengurusan gerannya, kata Menteri Negara Pendidikan Gan Siow Huang pada Isnin (1 Ogos).

Mereka "akan diberi masa untuk menyemak rekod mereka sendiri dan memulangkan sebarang lebihan bayaran yang disahkan", kata Cik Gan kepada Parlimen.

Laporan tahunan oleh Pejabat Juruaudit Negara (AGO), yang dikeluarkan bulan lalu, mendapati SSG telah terlebih bayar sekitar S$4.22 juta kepada pemohon geran dan penyedia latihan.

Ini disebabkan oleh pengisytiharan yang tidak tepat atau salah oleh pemohon geran dan penyedia latihan yang tidak dikesan oleh semakan dalaman agensi itu, kata Cik Gan dalam menjawab soalan Anggota Parlimen.

Sebahagian besar kesilapan itu berlaku sebelum November 2020 apabila sistem IT SSG bagi pentadbiran geran menggunakan pendekatan berasaskan pengisytiharan, tambahnya.

Kesilapan lain juga berlaku semasa memproses geran secara manual, termasuk kesilapan manusia yang dibuat oleh penyedia khidmat yang diambil SG untuk melaksanakan fungsi pentadbiran geran.

Cik Gan berkata untuk mengurangkan penggantungan pada pengisytiharan dan proses secara manual, agensi itu sejak November 2020 telah menyediakan sistem IT baru yang menggunakan data pentadbiran dalam pangkalan data pemerintah untuk menentukan dan mengesahkan kelayakan pemohon geran.

SSG juga memperkemas peraturan perniagaannya untuk kurang bergantung pada maklumat yang diisytiharkan dan pengesahan manual.

"Dalam keadaan di mana ia tidak dapat dielakkan, SSG akan mengetatkan auditnya ke atas pembayaran yang dikeluarkan dan hasil kerja penyedia khidmat," tambah Cik Gan.

Menjawab pertanyaan AP Sylvia Lim (WP-Aljunied) sama ada kementerian sedang mempertimbangkan sebarang tindakan terhadap penyedia khidmat atas kesilapannya itu, Cik Gan menjawab: “Terdapat terma kontrak dan KPI yang ditetapkan bagi penyedia khidmat dan SSG akan menyemaknya.”

Namun tambah beliau punca kelemahan yang dikenal pasti adalah jumlah besar permohonan yang perlu diproses secara manual, menyukarkan semua pengesahan dilakukan sepenuhnya. “Oleh itu, perlu ada lebih banyak perubahan dalam dasar dan peraturan perniagaan,” tambahnya.

Cik Lim juga ingin tahu tuntutan palsu atau jumlah yang terlebih bayar sejak inisiatif SkillsFuture dimulakan, serta berapa banyak yang terlebih bayar setakat ini.

Menjawab, Cik Gan berkata belum dapat dipastikan jika lebihan bayaran sebanyak S$4.22 juta harus dikategorikan sebagai penipuan memandangkan proses pengesahan "panjang" dengan pihak terbabit.

Bagaimanapun kes tuntutan palsu telah dikesan sejak SSG ditubuhkan, katanya, sambil memberi contoh kes pada 2017 di mana sebuah sindiket didapati melakukan penipuan berjumlah S$40 juta.

Mengenai usaha memperoleh semula lebihan bayaran yang dikeluarkan, Cik Gan berkata agensi itu akan "memerlukan sedikit masa" untuk mengesahkan dan membuat tindakan susulan dengan syarikat dan individu yang terjejas.

SSG juga akan bekerjasama lebih rapat dengan Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) berhubung sistem IT baru yang boleh membuat anggaran dana Levi Pembangunan Kemahiran (SDL) lebih tepat dan menjejaki majikan dalam pembayaran ini.

Pihak berkuasa berharap untuk melancarkan sistem itu pada pertengahan tahun depan, kata Cik Gan sebagai menjawab soalan tambahan daripada AP Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang).

Agensi itu tegas beliau memandang "serius" laporan AGO dan akan "melakukan lebih banyak lagi" untuk menyemak dan meningkatkan dasar, proses dan sistemnya untuk mengelakkan kesilapan.
Sumber : CNA/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan