Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SkillsFuture Singapore dalam proses dapatkan semula lebihan bayaran geran

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: SkillsFuture Singapore (SSG) pada Rabu (20 Jul) menyatakan ia dalam proses untuk memperolehi semula lebihan bayaran yang diagihkan kepada para pemohon geran dan penyedia latihan setelah laporan oleh Pejabat Juruaudit Negara (AGO) menarik perhatian kepada kelemahan tersebut.

Laporan yang dikeluarkan pada Rabu (20 Jul) mendedahkan bahawa SSG telah membuat lebihan bayaran dianggarkan sebanyak S$4.22 juta.

Kelemahan-kelemahan itu berlaku antara 1 April 2018 hingga 30 Jun 2021 apabila SSG mengagihkan geran berjumlah S$1.93 bilion.

AGO menarik perhatian kepada kelemahan-kelemahan yang termasuk pemeriksaan tidak mencukupi bagi kelayakan geran, pemeriksaan tidak mencukupi oleh penyedia khidmat SSG mengenai tuntutan geran oleh penyedia latihan serta pengagihan geran kepada individu dan syarikat yang tidak dibenarkan pembiayaan dana.

SSG juga mengagihkan geran kepada pelatih yang mempunyai rekod kehadiran bertindih bagi kursus yang diadakan pada tempoh waktu yang sama. AGO menyatakan terdapat pemeriksaan atau dokumen relevan yang tidak mencukupi bagi pembiayaan gaji tidak hadir.

Ia menarik perhatian bahawa sebanyak S$2.59 juta geran diagihkan kepada 1,342 individu dan 282 syarikat yang tidak menepati syarat-syarat kelayakan bagi skim-skim geran yang dikelolakan SSG.

Ini termasuk Skim Subsidi Pertengahan Kerjaya Dipertingkat serta Program Kemahiran SGUnited serta Program Laluan Pertengahan Kerjaya SGUnited - Latihan Syarikat.

Sesetengah individu dan syarikat tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan seperti usia, kewarganegaraan jumlah pengambilan pekerja dan pusing ganti penjualan tahunan.

Sesetengah daripada mereka juga mengisytiharkan secara salah kepada SSG bahawa mereka memenuhi syarat-syarat kelayakan dan geran itu diagihkan kerana kurangnya pengesahan bebas, pemantauan tidak mencukupi atau kelemahan dalam peperiksaan oleh SSG serta penyedia khidmat sumber luarnya, menurut AGO.

Syarat-syarat kelayakan itu ditentukan dan pembayaran dibuat berdasarkan sebahagian maklumat yang diisytiharkan oleh pemohon geran dan penyedia latihan, kata seorang jurucakap SSG.

Beberapa pengisytiharan itu adalah salah atau tidak tepat dan tidak semua dikesan semasa pemeriksaan dalaman, tambah jurucakap tersebut.

SSG menyatakan ia sudah mengambil "tindakan pembetulan serta-merta" dan semua kes yang dibangkitkan oleh AGO sudahpun ditangani.

Bagi 93 peratus jumlah lebihan bayaran yang dikenal pasti oleh AGO, SSG sudahpun menghubungi penyedia latihan, syarikat dan individu yang terjejas bagi memulakan proses menghuraikan perbezaan dan mendapatkan semula lebihan bayaran.

"Sementara menanti pemeriksaan dalaman, kami akan menghubungi entiti-entiti lain menjelang hujung bulan ini.

"Semua entiti akan diberikan cukup masa untuk memeriksa rekod masing-masing dan memulangkan sebarang lebihan bayaran yang disahkan," menurut SSG.

Agensi tersebut turut menyatakan ia akan mengambil lebih banyak langkah pencegahan untuk mengelak sebarang kelemahan pada masa akan datang.

Jurucakap berkenaan menambah SSG juga sudah memperkukuhkan proses dan kawalan pengagihannya.

LEVI PEMBANGUNAN KEMAHIRAN

AGO turut menarik perhatian terdapat "kelemahan" dalam penguatkuasaan SSG bagi kutipan Levi Pembangunan Kemahiran (SDL) yang tertunggak dan jumlah levi yang tertunggak antara 2015 hingga 2020 dianggarkan berjumlah S$43 juta, setakat April 2022.

Semua majikan dikehendaki membayar levi setiap bulan bagi pekerja tempatan dan pekerja asing yang bekerja di Singapura. Dana itu disalurkan kepada Dana Pembangunan Kemahiran untuk menyokong program-program peningkatan tenaga kerja.

Jumlah SDL yang dikumpulkan antara 2015 hingga 2020 adalah S$1.51 bilion.

"SSG lambat dalam mengambil tindakan penguatkuasaannya dan tidak melakukan usaha yang mencukupi untuk menjalankan audit terhadap majikan yang berpotensi berhutang jumlah SDL yang besar," kata jurucakap tersebut.

Apabila majikan tidak membayar levi, SSG akan menghantar surat peringatan kepada mereka dan melakukan audit, bergantung kepada jumlah levi tertunggak yang dianggarkan.

AGO menarik perhatian bahawa penghantaran surat tidak berkesan dalam mengutip levi yang belum dilunaskan.

Bagi majikan yang mempunyai levi tertunggak melebihi jumlah tertentu dan tidak membalas kiriman surat, SSG sepatutnya menghantarkan surat peringatan dan membuat panggilan kepada mereka.

Namun, AGO mendapati terdapat "jurang masa yang lama", sepanjang 17 bulan, antara surat pertama, surat peringatan dan panggilan susulan sedangkan setiap tindakan sepatutnya diambil dalam tempoh masa 35 hari, berdasarkan prosedur operasi standard SSG.

SSG tidak melakukan usaha mencukupi untuk melakukan audit terhadap majikan yang berpotensi berhutang jumlah levi yang besar, menurut AGO.

SSG sepatutnya memilih kes baru untuk diaudit setiap minggu. Namun, dari November 2016 hingga Mac 2020, selama tempoh sekitar empat tahun, ia hanya memilih lima majikan untuk diaudit.

Menurut SSG, ini kerana ia ingin memberi tumpuan kepada menyelesaikan tunggakan auditnya terhadap 55 majikan lain.

Menjelang Januari 2022, SSG menyelesaikan audit bagi 37 daripada 60 majikan dan mengumpul sebanyak S$1.11 juta. Baki majikan akhirnya tidak diaudit atas pelbagai sebab seperti dibatalkan pendaftarannya atau sudah jatuh muflis.

AGO turut menarik perhatian bahawa SSG tidak mengambil kira majikan sektor awam dalam tindakan penguatkuasannya, iaitu satu legasi SSG sejak ia berada di bawah naungan Agensi Pembangunan Tenaga Kerja Singapura.

Namun, AGO mendapati bahawa setakat April 2022, jumlah levi tertunggak bagi majikan sektor awam untuk tempoh antara 2015 hingga 2020 dianggarkan berjumlah S$3 juta.

Sedari itu, SSG sudah memaklumkan kepada AGO bahawa ia kini melakukan audit ke atas majikan sektor awam dan sudahpun mengetatkan penguatkuasaan terhadap mereka. Jurucakap SSG pada Rabu (20 Jul) berkata semua agensi sektor awam sudah membayar sepenuhnya kurangan bayaran yang dianggarkan.

Perbezaan antara anggaran SDL yang perlu dibayar dengan pembayaran sebenar jatuh dari 18 peratus levi yang dikumpul pada 2008 kepada sekitar 3 hingga 4 peratus sekarang, menurut SSG.

Ia menambah perbezaan itu bukan sepenuhnya disebabkan oleh kurangan bayaran sebenar oleh majikan.

Ia juga mungkin kerana majikan menggunakan senarai data pekerja yang dikemas kini pada waktu pembayaran SDL dibuat.

Ia menggariskan peningkatan dalam prosesnya, termasuk peringatan pembayaran lebih tepat pada masanya kepada majikan dan tindakan punitif lebih tegas terhadap "segelintir majikan yang ingkar yang tidak membayar levi tertunggak."
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan