Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SkillsFuture perkenal langkah bagi kesan tuntutan palsu dengan lebih baik

SkillsFuture Singapore (SSG) sudah melakukan perubahan pada sistem dan prosesnya supaya ia boleh mengesan tuntutan palsu dengan lebih baik, dedah lembaga berkanun itu dalam satu kenyataan media hari ini (29 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Nov 2018 07:16PM Dikemas Kini : 29 Nov 2018 09:28PM

SINGAPURA: SkillsFuture Singapore (SSG) sudah melakukan perubahan pada sistem dan prosesnya supaya ia boleh mengesan tuntutan palsu dengan lebih baik, dedah lembaga berkanun itu dalam satu kenyataan media hari ini (29 Nov).

Langkah tersebut diambil menyusuli saranan yang dibuat oleh sebuah pasukan bertindak silang agensi, yang ditubuhkan pada tahun lalu untuk menyemak proses-prosesnya selepas SSG membayar berjuta-juta dolar bagi tuntutan-tuntutan palsu SkillsFuture.

Langkah-langkah yang dilaksanakan oleh SSG termasuk membentuk sebuah divisyen khas bagi memantau dan mengesan sebarang tuntutan yang mencurigakan, serta menyiasat pihak terbabit dan mengambil tindakan-tindakan penguatkuasaan yang wajar.

SSG juga sudah bekerjasama dengan GovTech dan para perunding dari sektor privet untuk menggabungkan analitik data dalam sistem pengesanan kepalsuan.

"Menggunakan sejarah corak-corak tuntutan, mesin-mesin yang meneliti algoritma dibangunkan untuk mengesan sebarang kejanggalan dalam permohonan-permohonan tuntutan, serta menarik perhatian tentang tuntutan-tuntutan yang memerlukan siasatan lanjut," menurut SSG.

SSG menyatakan selepas kes-kes kepalsuan dikesan, ia akan melakukan siasatan atau lawatan serta mengambil langkah untuk segera menghentikan pembayaran sementara siasatan dijalankan.

Di bawah gerakan nasional SkillsFuture yang diumumkan pada 2015, rakyat Singapura berusia 25 tahun dan ke atas menerima kredit bernilai S$500 daripada Pemerintah untuk menyertai kursus-kursus yang diluluskan oleh para penyedia latihan. Skim itu diselia oleh SSG.

Pada awal minggu ini, anggota pertama sebuah sindiket, yang terdiri daripada lima anggota yang menipu SSG hampir S$40 juta, dijatuhi hukuman penjara lebih lima tahun.

Lee Chi Wai, 32 tahun, membantu untuk menyorokkan hasil kutipan jenayah sebanyak S$6.7 juta dalam bentuk wang tunai dan 11 kilogram emas di rumahnya.

"Dengan golongan penipu kini semakin merancang kegiatan penipuan dengan teliti, sistem pengurusan risiko kepalsuan kami juga berubah-ubah untuk melindungi dana bagi pembangunan kemahiran tenaga kerja kami dengan lebih baik," kata ketua eksekutif SSG, Ng Cher Pong.

"Khususnya, kami sedang menggunakan teknologi dan data dengan lebih baik untuk meningkatkan keupayaan kami. Dengan pendirian penguatkuasaan yang lebih tegas, langkah-langkah itu akan menjadi pencegahan lebih teguh terhadap penyalahgunaan," kata beliau.

"Kami tidak akan membiarkan individu-individu atau syarikat-syarikat untuk menyalahgunakan sistem itu dan mereka akan menerima hukuman berat sekiranya berbuat demikian." 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan