Skip to main content

Singapura

SkillsFuture ketatkan syarat kelulusan & pembaharuan pembiayaan bagi sekitar 9,500 kursus

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Jan 2026 01:47PM Dikemas Kini : 15 Feb 2026 10:47AM
SINGAPURA: SkillsFuture Singapura (SSG) memperketatkan garis panduan bagi penyedia latihan yang memohon kelulusan kursus dan pembiayaan, seperti yang diumumkan oleh badan berkanun tersebut pada Selasa (27 Jan).

Sejak 31 Disember tahun lalu, kursus baharu dinilai melalui dua laluan kelulusan, dan syarat pembaharuan pembiayaan yang lebih ketat dikenakan kepada kursus sedia ada.

Garis panduan baharu ini hanya dikenakan kepada kursus yang membina kemahiran untuk pekerjaan atau kerjaya seseorang buat masa sekarang. Kursus yang menumpukan kepada kemahiran baharu atau kursus yang melatih individu untuk pekerjaan yang "jauh berbeza" tidak terjejas.

SSC menyatakan bahawa perubahan itu bertujuan untuk menggalakkan penyedia latihan bekerjasama lebih rapat dengan perusahaan dan membangunkan latihan yang selaras dengan keperluan industri.

Syarat baharu itu akan dikenakan kepada sekitar 9,500 kursus di kalangan 500 penyedia latihan, menurut SSG.

Setakat ini, kursus-kursus yang disokong oleh SSG dibiayai dalam dua peringkat. Kursus-kursus yang menyokong kemahiran baru muncul atau pertukaran kerjaya menerima pembiayaan sehingga 90 peratus, manakala yang memberi tumpuan pada kemahiran yang diperlukan untuk peranan sedia ada menerima sehingga 70 peratus, bergantung pada umur pemohon kursus.

DUA LALUAN KELULUSAN

Kursus baru boleh diluluskan melalui dua laluan. Yang pertama adalah berdasarkan senarai kemahiran yang dikenal pasti oleh SSG sebagai menyokong "pekerjaan pertumbuhan baik" dan penting untuk ekonomi Singapura. Sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kemahiran yang disampaikan oleh kursus tersebut mesti muncul dalam senarai tersebut.

Sebagai alternatif, kursus boleh diiktiraf di bawah rangka kerja pengawalseliaan atau pembangunan profesional yang disahkan oleh badan-badan pengesahan kursus yang ditetapkan. Badan-badan ini menyokong latihan berasaskan kemahiran wajib atau program yang ditauliah Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) yang diperlukan oleh agensi-agensi pemerintah atau entiti yang dilantik.

Penyedia latihan yang memohon pembaharuan pembiayaan untuk kursus sedia ada mesti memenuhi penanda aras baharu yang berkaitan dengan kerelevanan dan mutu kursus.

Untuk kursus-kursus yang layak untuk pembaharuan pembiayaan dari 31 Disember 2025, sekurang-kurangnya 40 peratus daripada peserta kursus mesti ditaja oleh majikan.

"Ini berfungsi sebagai petunjuk kerelevanan industri kerana kursus-kursus sedemikian diminta dan diperlukan oleh majikan dan syarikat," menurut SSG.

Selain itu, mulai 1 Jun tahun ini, kursus-kursus mesti mencapai kadar respons minimum 75 peratus dalam tinjauan Pengukuran Mutu dan Hasil Latihan (TRAQOM) dan tidak boleh jatuh ke dalam kuantil lebih rendah penilaian mutu TRAQOM.

Syarat-syarat kelayakan pembaharuan kursus itu bertujuan untuk mengekalkan mutu kursus yang berterusan, tambah SSG.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita