Sketsa komedi Sinar Lebaran 2024 janjikan kelainan, Liza Hanim teruja buat persembahan di SG
Jika selalunya sketsa komedi dalam Sinar Lebaran berkisarkan tentang cerita keluarga nak berhari raya, tahun ini berbeza pula kisahnya.
SINGAPURA: Jika selalunya sketsa komedi dalam Sinar Lebaran berkisarkan tentang cerita keluarga nak berhari raya, tahun ini berbeza pula kisahnya.
Untuk memikirkan konsep sketsa tersebut, ada sahaja perselisihan pendapat dan idea antara para penerbit rancangan itu.
'Drama' setiap tahun itu dijadikan inspirasi untuk sketsa komedi dalam Sinar Lebaran tahun ini.
Sketsa tiga bahagian itu turut menggabungkan barisan artis lama dan baharu termasuk Suhaimi Yusof, Khairudin Samsudin, Era Farida, Izyan Mellyna serta pempengaruh, Zaki Hussain dan Syafiqa dari SGAG.
(Gambar: Mediacorp)
"Jalan ceritanya mereka mempunyai misi untuk menerbitkan sebuah acara perayaan Hari Raya dan setiap mereka itu mempunyai idea dan ego tersendiri dan persiapan acara menjadi kecoh kerana ada percanggahan pendapat.
"Sebenarnya ini adalah situasi sebalik tabir yang kami hadapi setiap tahun. Jadi mesej dalam sketsa ini adalah kekecohan semasa persiapan Raya harus ada, setiap idea dan saat itu berharga, kepentingan mempelajari dari satu sama lain, yang muda belajar dari yang dewasa dan yang dewasa bersikap terbuka kerana inilah Raya Untukmu," kata Ketua, Eaglevision, Fadila Abdul Wahid.
Edisi konsert tahun ini turut menitikberatkan nilai-nilai kemasyarakatan menerusi lebih 12 persembahan yang ditampilkan oleh artis-artis termasuk Aisyah Aziz, Hyrul Anuar, Zalelo, Shazza serta para finalis pertandingan Berani Nyanyi?.
(Gambar: Mediacorp)
Sajian lagu-lagu lama dan baharu yang dipersembahkan juga mencerminkan kekayaan budaya dan warisan Melayu sepanjang konsert dua jam setengah itu.
"Dengan tema 'Raya Untukmu', Sinar Lebaran akan menampilkan para karyawan seni beraksi di atas satu pentas seperti gabungan tiga Kumpulan tarian tersohor, Sri Wana, Sri Warisan dan Artistari Gentari dalam satu persembahan yang sama. Suara-suara masyarakat, DJ-DJ Warna 942 dan Ria 897 menunjukkan bakat terpendam mereka. Penyanyi-penyanyi yang telah menghiburkan dan membanggakan masyarakat dan memperkenalkan artis-artis muda," ujar Cik Fadila.
(Gambar: Mediacorp)
LIZA HANIM & HAZRUL NIZAM DIGANDINGKAN SEKALI LAGI
Selain para artis tempatan, Sinar Lebaran kali ini juga menampilkan artis jemputan dari seberang iaitu Liza Hanim.
Meskipun pelantun lagu 'Siapa Sangka Siapa Menduga' itu pernah beraksi dalam konsert Hari Raya di sini pada awal-awal kerjayanya, beliau amat teruja untuk kembali menjayakan Sinar Lebaran tahun ini.
"Sudah semestinya ia sangat istimewa kerana di Singapura. Saya selalu sangat ada persembahan di Singapura. Setiap kali saya pulang, kenangan yang sangat-sangat indah," kata Liza Hanim.
(Gambar: Mediacorp)
Selain mengubat rindu peminat dengan nyanyian lagu rayanya sendiri 'Tibanya Syawal Bahagia', beliau juga digandingkan penyanyi tempatan, Hazrul Nizam untuk sebuah persembahan duet.
"Saya pernah buat persembahan bersama dengan Hazrul Nizam jadi ia sesuatu yang sangat-sangat selesa menyanyi bersama Hazrul. Kami akan menyanyikan lagu Halaman Asmara. Sedikit berbeza daripada yang asli," kongsi Liza Hanim.
Untuk Hari Raya ini, beliau akan cuba meneruskan tradisi keluarga dan antara yang wajib adalah sesi menganyam ketupat dengan anak-anaknya.
Menurut ibu kepada lima orang cahaya mata itu, adalah penting untuk berkongsi ilmu dengan anak-anaknya demi mengekalkan tradisi keluarganya untuk Hari Raya.
"Kalau dulu sebelum ini saya belajar dengan mak saya dan kami berdua menganyam (ketupat). Saya ada dua orang anak perempuan dan sekarang saya pula ajar mereka dan mereka pula menganyam ketupat, 200 biji setiap tahun! Itu satu tradisi yang sangat-sangat manis dan saya harap bila mereka ada anak-anak masing-masing, mereka akan turunkan kemahiran itu kepada anak-anak mereka," kata Liza Hanim yang senaraikan Tat Nanas, Biskut Almond London dan Kuih Semperit sebagai antara kuih raya kegemarannya.
FIZA O PERLU 'PADANKAN TENAGA' DENGAN NAJIP ALI
Seorang lagi ibu bekerjaya yang menyerikan lagi konsert tahun ini ialah pengacara, Fiza O.
Selepas lima tahun mengacarakan Sinar Lebaran, Fiza O kembali lagi tahun ini dan sekali lagi digandingkan bersama Najip Ali.
(Gambar: Mediacorp)
"Untuk Sinar Lebaran tentunya lebih lagi menghiburkan, lebih lagi interaktif dengan para penonton yang ada. Lagipun saya bergandingan dengan Najip Ali jadi saya kena padankan dengan tenaga beliau, dengan semangat Najip Ali. Kali ini saya rasa temanya kita harap dekat dengan hati para penonton sebab temanya tahun ini ialah dari masyarakat untuk masyarakat," kata Fiza O.
Sinar Lebaran akan ditayangkan di Mediacorp Suria pada Selasa (9 April) jam 9 malam atau menerusi meWATCH.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.