Siti Zubaidah terima pengiktirafan tertinggi Anugerah Kejururawatan Tan Chin Tuan atas empati, bakti melangkaui tugas
Anugerah Kejururawatan Tan Chin Tuan 2026 menjadi pengiktirafan keenam buat Jururawat Terlatih Utama Hospital Besar Changi (CGH), Cik Siti Zubaidah Mohd Ibrahim, 41 tahun, sepanjang 21 tahun beliau menabur bakti dalam bidang kejururawatan. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
- Principal Enrolled Nurse Siti Zubaidah Mohd Ibrahim from Changi General Hospital won the 2026 Tan Chin Tuan Nursing Award, which recognised 11 other recipients, for her dedication over 21 years of service.
- She prioritises patients’ feelings and comfort by providing emotional support, explaining procedures and using music to reduce anxiety; a quality improvement project on music was conducted in 2022.
- After joining SSMC@HPSI in 2024, her duties expanded to include concussion assessments and medical preparations, including support for nearly 1,000 athletes and more than 400 officials for the 2025 SEA Games.
- Presented on 17 November at the Ng Teng Fong Healthcare Innovation Centre, the award recognises nurses’ contributions. Siti Zubaidah received $3,500 and hopes the recognition will encourage nurses to keep learning and improve patient care.
- Jururawat Terlatih Utama Siti Zubaidah Mohd Ibrahim dari Hospital Besar Changi memenangi Anugerah Kejururawatan Tan Chin Tuan 2026, yang meraikan 11 penerima lain, atas dedikasi sepanjang 21 tahun berkhidmat.
- Beliau mengutamakan perasaan dan keselesaan pesakit melalui sokongan emosi, penerangan prosedur serta muzik bagi mengurangkan keresahan; projek peningkatan mutu tentang muzik dijalankan pada 2022.
- Selepas menyertai SSMC@HPSI pada 2024, tugasnya berkembang kepada penilaian gegaran otak dan persediaan perubatan, termasuk sokongan bagi hampir 1,000 atlet dan lebih 400 pegawai untuk Sukan SEA 2025.
- Disampaikan pada 17 November di Pusat Inovasi Penjagaan Kesihatan Ng Teng Fong, anugerah itu mengiktiraf sumbangan jururawat; Siti Zubaidah menerima $3,500 dan berharap pengiktirafan mendorong jururawat terus belajar serta memperbaik penjagaan pesakit.
SINGAPURA: Bagi pesakit yang dibelenggu ketakutan sebelum menjalani rawatan, atau prosedur biasa seperti suntikan, kata-kata semangat dan kesediaan untuk mendengar adakalanya membawa makna yang cukup besar.
Itulah yang menjadi pegangan Jururawat Terlatih Utama Hospital Besar Changi (CGH), Siti Zubaidah Mohd Ibrahim, 41 tahun, yang percaya bahawa tugas seorang jururawat bukan sekadar merawat, tetapi juga memahami perasaan dan keresahan pesakit.
Kini, sumbangan beliau mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai pemenang utama Anugerah Kejururawatan Tan Chin Tuan 2026, yang turut meraikan 11 penerima lain.
Anugerah tersebut mengiktiraf jururawat terlatih atas kecemerlangan, dedikasi dan sumbangan mereka dalam memberikan penjagaan kepada pesakit serta masyarakat.
Diadakan di Pusat Inovasi Penjagaan Kesihatan Ng Teng Fong pada 17 November, majlis penyampaian anugerah itu dihadiri Menteri Negara Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital Rahayu Mahzam sebagai tetamu terhormat.
Semasa ditemui BERITA Mediacorp di Pusat Perubatan Sukan dan Senaman Singapura@Institut Sukan Berprestasi Tinggi (SSMC@HPSI) yang terletak di Stadium Negara, Cik Siti Zubaidah berkata: “Bagi saya, kejururawatan bukan sekadar merawat penyakit atau kecederaan, tetapi juga memahami insan dengan perasaan, kebimbangan dan harapan tersendiri.
"Saya mahu setiap pesakit berasa dihormati, didengari, selamat dan yakin sepanjang rawatan. Inilah nilai yang saya pegang dalam setiap tugasan."
Pegangan itu bukan sekadar prinsip yang diungkapkan, sebaliknya diterjemahkan menerusi pengalaman dan tindakannya sepanjang 21 tahun berkhidmat dalam bidang kejururawatan.
Antara yang masih segar dalam ingatannya ialah pertemuan dengan seorang pesakit yang begitu takut dan cemas sebelum menjalani prosedur suntikan.
"Saya sedar bahawa pada ketika itu, pesakit bukan sahaja memerlukan bantuan dari segi klinikal, tetapi juga sokongan emosi.
"Saya mengambil masa untuk mendengar kebimbangannya, memberikan penerangan secara ringkas dan meyakinkan pesakit bahawa kami akan membimbingnya sepanjang prosedur tersebut," kongsi beliau.
Pengalaman seperti itu meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya, sekali gus mengukuhkan keyakinan bahawa perhatian kecil mampu membawa perubahan besar kepada pengalaman seseorang pesakit.
MUZIK SEBAGAI PENENANG, INOVASI DEMI KESELESAAN PESAKIT
Sifat penyayang dan keprihatinan itu terserlah menerusi pendekatannya yang sentiasa mengutamakan keselesaan pesakit, termasuk mencari pendekatan baharu seperti muzik untuk meredakan kebimbangan mereka.
Bahkan beliau terlibat dalam projek peningkatan mutu pada 2022 yang meneliti kesan terapeutik muzik semasa rawatan gelombang kejutan ekstrakorporeal (Extracorporeal Shockwave Therapy).
"Bagi saya, inovasi tidak semestinya besar atau memerlukan kos yang tinggi. Perubahan kecil boleh memberi kesan besar kepada pengalaman pesakit, selaras dengan peranan jururawat yang semakin luas dalam memperbaiki amalan penjagaan," jelas beliau.
Semangat untuk mengambil inisiatif dan mencari pendekatan baharu dalam penjagaan pesakit itu turut ditekankan Cik Rahayu dalam ucapannya.
"Pemerkasaan bermula dengan memiliki kemahiran dan pengetahuan yang sewajarnya, serta keyakinan untuk mengaplikasikannya, sama ada dengan mengambil inisiatif, menyuarakan pandangan atau mencari cara yang lebih baik untuk menjaga pesakit," ujar beliau.
PERANAN JURURAWAT TERLATIH SEMAKIN MELUAS
Cik Rahayu turut menyorot perkembangan peranan jururawat terlatih yang kini memikul tanggungjawab lebih luas, seiring dengan keperluan penjagaan kesihatan yang semakin kompleks.
"Mereka turut memainkan peranan dalam perancangan dan kesinambungan penjagaan pesakit, membimbing rakan sekerja baharu serta menambah baik amalan penjagaan," tambahnya.
Antara yang beliau ketengahkan ialah sumbangan Cik Siti Zubaidah.
Sebagai Jururawat Terlatih Utama, tugas harian beliau merangkumi pemeriksaan tanda-tanda vital pesakit, rawatan luka, membantu doktor semasa prosedur perubatan serta mengendalikan panggilan pesakit.
Pada 2024, pengalaman beliau dalam bidang kejururawatan membuka lembaran baharu apabila menyertai Pusat Perubatan Sukan dan Senaman di Institut Sukan Berprestasi Tinggi (SSMC@HPSI).
Skop tugasnya turut berkembang kepada penilaian gegaran otak, dispensari ubat-ubatan serta penyediaan beg perubatan bagi temasya sukan utama.
Peranan itu turut membawanya terlibat dalam persiapan logistik perubatan bagi Sukan SEA 2025, yang menyokong hampir 1,000 atlet dan lebih 400 pegawai.
ANUGERAH KEENAM BUKAN NOKTAH PERJALANAN
Anugerah Kejururawatan Tan Chin Tuan tahun ini menjadi satu lagi pencapaian bermakna, sekali gus melengkapkan enam pengiktirafan yang diterimanya sepanjang kerjaya.
Namun, di sebalik deretan penghargaan itu, beliau melihat setiap anugerah bukan sebagai kemuncak kejayaan, sebaliknya sebagai dorongan untuk terus melangkah lebih jauh dalam memberikan penjagaan terbaik kepada pesakit.
"Anugerah Tan Chin Tuan ini amat istimewa kerana ia bukan sekadar mengiktiraf perjalanan saya selama 21 tahun dalam bidang kejururawatan, tetapi juga menjadi pembakar semangat untuk saya terus belajar, berkembang dan menyumbang kepada kerjaya ini," katanya.
Beliau membawa pulang hadiah wang tunai $3,500, pingat emas serta trofi cabaran.
Sementara itu, naib juara pertama dan kedua masing-masing menerima hadiah wang tunai bernilai $3,000 dan $2,500 di samping pingat emas.
Sempena ulang tahun ke-20 penganjurannya, hadiah wang tunai bagi penerima Anugerah Merit turut dinaikkan daripada $800 kepada $900 tahun ini.
Selain pihak pengurusan, doktor serta rakan sekerja, ibu kepada dua cahaya mata itu turut menghargai peranan ibu bapa dan keluarganya yang selama ini menjadi tonggak sokongan sepanjang perjalanan kerjayanya.
Beliau juga berharap pengiktirafan itu dapat menyuntik semangat kepada jururawat terlatih lain untuk terus mengembangkan potensi dan memperluas sumbangan mereka dalam bidang penjagaan kesihatan.
"Bagi saya, perjalanan ini masih belum berakhir. Selagi saya mampu menyumbang, saya akan terus memberikan yang terbaik kepada pesakit, pasukan dan kerjaya kejururawatan.
“Saya mahu terus belajar dan mencari cara meningkatkan mutu perkhidmatan, dengan manfaat kepada pesakit sebagai keutamaan,” ujar Cik Siti Zubaidah.
Anugerah Kejururawatan Tan Chin Tuan mengiktiraf Jururawat Terlatih yang berpotensi dan berbakat serta berdedikasi untuk memajukan kerjaya kejururawatan di Singapura.
Diasaskan oleh Yayasan DS Lee pada 2006, anugerah tersebut terbuka kepada Jururawat Terlatih yang bekerja di semua institusi jagaan kesihatan awam dan swasta, serta perkhidmatan jagaan pertengahan dan jangka panjang (ILTC) di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.