Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Siti Zarina Samsudin kembali ke bangku sekolah pada usia 43 tahun; kini bertekad bantu warga senja

Dahulu beliau merupakan seorang penerima bantuan tetapi kini giliran Cik Siti Zarina Samsudin pula yang memperkasa mereka yang memerlukan.

Anggaran Waktu Membaca:
Siti Zarina Samsudin kembali ke bangku sekolah pada usia 43 tahun; kini bertekad bantu warga senja

Siti Zarina Samsudin puas hati membantu warga senja. (Petikan skrin video)

SINGAPURA: Dahulu beliau merupakan seorang penerima bantuan tetapi kini giliran Cik Siti Zarina Samsudin pula yang memperkasa mereka yang memerlukan.

Sepanjang 15 tahun, suri rumah itu mendapat banyak sokongan daripada pusat khidmat keluarga berdekatan rumahnya sehingga beliau sendiri rasa terangsang untuk membantu orang lain pula.

Maka itu, pada usia 43 tahun, Cik Zarina kembali ke sekolah dengan satu tujuan - untuk menolong warga senja.

Berkat ketekunannya, individu berusia 52 tahun itu kini merupakan seorang penolong terapi di Home Nursing Foundation di mana beliau membantu warga senja meningkatkan mobiliti mereka melalui terapi fizikal.

"Setiap hari, saya dapat bertemu dengan orang-orang kegemaran saya - warga senja. Ia menceriakan hari saya," kongsi Cik Zarina dalam satu video yang dimuat naik oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli dalam satu catatan Facebook pada Sabtu (7 Ogos).

Tegas beliau lagi, Singapura memerlukan lebih ramai individu seperti Cik Zarina untuk tampil mendampingi warga senja kita dengan menyertai sektor jagaan masyarakat sedang penduduk negara ini semakin menua.

"Kami sedang meningkatkan usaha mengambil rakyat Singapura bekerja dalam sektor tersebut menerusi pameran kerjaya, latihan dan insentif untuk terus kekal bekerja," menurut Encik Masagos.

Dalam pada itu, beliau menambah bahawa Singapura juga sedang bekerjasama dengan penyedia khidmat jagaan masyarakat untuk membentuk semula pekerjaan bagi menawarkan aturan kerja lebih fleksibel kepada para penduduk.

Encik Masagos turut mengalu-alukan orang ramai mengikuti jejak Cik Zarina menyertai khidmat jagaan masyarakat yang "membawa kepuasan."

Mereka yang berminat boleh melungsuri laman https://vcf.mycareersfuture.gov.sg/.../community-care-jobs.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan