SIT umum inisiatif baharu bantu siswa atur hala tuju kerjaya, bersedia hadapi pasaran kerja tidak menentu
SINGAPURA: Institut Teknologi Singapura (SIT) mengumumkan inisiatif baharu, iaitu menggunakan satu pendekatan dipanggil Program Reka Masa Depan Anda (DYF) dalam pelbagai program dan sokongan sepanjang pengajian yang akan membantu para penuntut merancang hala tuju kerjaya mereka.
Rangka kerja itu antara lain akan diterapkan dalam Minggu Orientasi, di mana para mahasiswa diajak mengenal pasti nilai, minat serta matlamat kerjaya masing-masing.
Begitu juga dalam dua modul yang perlu diambil mahasiswa - Inovasi Reka Bentuk dan Projek Inovasi Sosial - yang mencabar mereka untuk menghuraikan masalah-masalah nyata.
Sokongan sebegini sememangnya penting apatah lagi kerana pasaran kerja semakin sengit. Sekalipun kadar pekerjaan bagi graduan baharu tahun ini bertambah baik, hanya 52 peratus lulusan kohort 2025 sudah bekerja setakat Jun.
Kursus itu akan terdiri daripada satu bengkel intensif 2 hari dan tiga sesi susulan enam bulan kemudian, bagi membantu mereka dalam peralihan kerjaya mahupun pembangunan profesional.
2 GRADUAN DAPAT KERJA SEBELUM GENGGAM IJAZAH
SIT tahun ini meraikan graduan kohort perintis tujuh program baharu yang memenuhi keperluan industri, termasuk Program Sarjana Muda dengan Kepujian dalam Sistem Robotik.
Muhammad Syafiq Idros salah seorang daripada 27 graduan pertama program itu.
Syafiq ditawarkan kerja selepas membuktikan kebolehannya semasa mengikuti Program Kajian Kerja Bersepadu (IWSP), di mana beliau membantu melaksanakan penggunaan robot untuk menghantar selimut, ubat dan makanan ke wad pesakit.
"Robot yang mengambil alih tugas penghantaran ini, menjimatkan masa dan tenaga, serta membolehkan staf memberi lebih tumpuan kepada penjagaan pesakit," jelas Syafiq.
DYF juga akan diterapkan dalam IWSP yang disertai Syafiq. Program tersebut sudah ditawarkan sebelum ini dan ia bertujuan menggalak mahasiswa merenung dan mengatur semula pelan kerjaya mereka selepas menjalani pengalaman industri.
MADINAH RAMLI MULA KERJAYA DALAM BIDANG DIDOMINASI LELAKI
Sama seperti Syafiq, seorang lagi graduan SIT kohort 2025, Madinah Ramli, turut menjalani IWSP semasa pengajian.
"Untuk mahasiswa Kejuruteraan Sistem Pesawat (ASE), IWSP kami diatur mengikut laluan kerjaya seorang jurutera pesawat berlesen. Jadi kita ada Latihan Sambil Bekerja (OJT), latihan amali dan kelas teori. Ini membantu merapatkan jurang antara pengetahuan saya dengan pemerhatian praktikal," kongsi Madinah.
Projek Akhir Tahun Madinah pula tertumpu kepada pembangunan kaedah untuk menilai tahap kemampanan dalam tugas penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat. Projek itu bertujuan meningkatkan kecekapan penggunaan sumber serta memperbaik persekitaran kerja juruteknik di sektor penerbangan.
"SIT ada pembimbing kerjaya dan kami diberitahu tentang syarikat-syarikat yang menerima graduan baharu. Rakan-rakan saya diterima syarikat dalam 'senarai'. Pembimbing kerjaya saya juga periksa resume kami. Beliau bersedia beri sokongan jika kami memerlukannya," ulas Madinah lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.