Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SIT pertingkat langkah berjaga-jaga setelah penuntut diuji positif COVID-19

Institut Teknologi Singapura (SIT) meningkatkan langkah berjaga-jaga terhadap COVID-19 setelah salah seorang pelajarnya diuji positif penyakit tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
SIT pertingkat langkah berjaga-jaga setelah penuntut diuji positif COVID-19

Pembersihan menyeluruh di kampus SIT di tengah penularan virus korona COVID-19 (Gambar: SIT)

Diterbitkan : 22 Feb 2020 08:28AM Dikemas Kini : 22 Feb 2020 08:33AM

SINGAPURA: Institut Teknologi Singapura (SIT) meningkatkan langkah berjaga-jaga terhadap COVID-19 setelah salah seorang pelajarnya diuji positif penyakit tersebut.

Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (21 Feb) mengumumkan bahawa pelajar SIT itu adalah kes ke-86 jangkitan virus tersebut di Singapura.

Penuntut berusia 24 tahun itu, seorang pelajar Tahun 3 Telematik di kampus Dover, terakhir berada di kampus pada lewat petang 14 Feb, menurut satu kenyataan SIT.

"Beliau sedang dirawat di Hospital Besar Ng Teng Fong dan dalam keadaan stabil," menurut institut itu, sambil menambah pihaknya akan terus berhubung dengan pelajar tersebut.

Pelajar itu tidak berhubung rapat dengan sebarang pelajar atau kakitangan SIT yang lain sejak mula menunjukkan simptom, menurut SIT, sambil menjelaskan bahawa para pelajar sedang bercuti.

CUTI KETIDAKHADIRAN DILAKSANAKAN

Sebagai langkah berjaga-jaga, para pelajar dan kakitangan yang berhubung rapat dengan pelajar tersebut sebelum beliau mula menunjukkan simptom akan dikenakan Cuti Ketidakhadiran (LOA) selama 14 hari, menurut SIT.

Institut itu menyatakan ia akan memantau kesihatan dan kesejahteraan mereka setiap hari.

Para pelajar yang dikenakan LOA akan dapat meneruskan pelajaran mereka melalui e-pembelajaran.

Terdahulu pada Jumaat, semua dewan kuliah, bilik seminar dan makmal yang digunakan oleh para pelajar Tahun 3 Telematik dibersihkan dengan menyeluruh dan dibasmi dari kuman, dedah SIT.

"Sejak DORSCON Jingga dilaksanakan, kami membersihkan semua kawasan dan kemudahan kampus lebih kerap sehingga tiga kali sehari, dan ini akan diteruskan," katanya.

Langkah-langkah lain yang dilaksanakan adalah imbasan suhu badan di kampus utama dan politeknik-politeknik tempat ia beroperasi.

Semua kakitangan dan pelajar dikehendaki memeriksa suhu badan mereka dua kali sehari dan mengisytiharkannya secara online jika mereka berada di kampus, dan aktiviti berkumpulan yang tidak penting sudah dibatalkan, digantung atau "disesuaikan untuk mengurangkan risiko".

Institut tersebut akan memulakan e-pembelajaran bagi kelas-kelas yang mempunyai lebih 50 pelajar mulai 24 Feb.

Kelas-kelas yang tidak boleh dijalankan secara online - contohnya, sesi makmal - akan dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan yang lebih kecil.

Sehingga Jumaat, Singapura telah mengesahkan 86 kes COVID-19.

Seramai 47 orang sudah sembuh dari penyakit tersebut, manakala lagi 39 masih berada di hospital.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan