Siswazah baharu SG mungkin perlu turunkan jangkaan gaji di tengah ketidaktentuan ekonomi global
Para penganalisis berpendapat siswazah baharu mungkin perlu merendahkan jangkaan pendapatan mereka, dengan pertumbuhan gaji pada 2026 dijangka berbeza-beza bagi pelbagai sektor, di tengah-tengah ketidaktentuan global.
Perkembangan tersebut sejajar dengan hasil tinjauan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 2025 yang menunjukkan bahawa para siswazah daripada kebanyakan bidang membawa pulang gaji lebih kecil daripada yang dijangkakan.
Menurut Tinjauan Peralihan Sekolah-ke-Pekerjaan, sekitar 30 peratus lulusan universiti menolak tawaran pekerjaan kerana merasakan bahawa gaji yang ditawarkan terlalu rendah.
Kira-kira 25 peratus pula menantikan tawaran yang lebih baik, manakala ada pula yang memberi alasan lain.
Antara alasan yang diberikan termasuk tawaran pekerjaan yang kurang menarik, persekitaran pekerjaan yang tidak sesuai atau kekurangan peluang untuk maju dalam kerjaya.
"Ia menunjukkan bahawa mereka semua sangat pragmatik, dalam erti kata lain, umumnya agak realistik.
"Ia juga mencerminkan hakikat bahawa kos sara hidup agak tinggi, dan bagi siswazah, penting untuk bermula pada tahap setinggi yang boleh kerana kadangkala, gaji sukar untuk meningkat pada masa hadapan, peluang untuk naik gaji adalah agak sukar.
"Jadi apabila tahap gaji permulaan anda tinggi, adalah lebih mudah untuk maju dalam kerjaya anda," kata seorang profesor dari Jabatan Strategi dan Dasar, Sekolah Perniagaan, Universiti Nasional Singapura (NUS), Lawrence Loh.
Dengan hasil pendapatan mendorong keputusan-keputusan berkenaan, tinjauan tersebut juga mendapati bahawa siswazah daripada kebanyakan bidang sebenarnya menerima gaji lebih rendah daripada yang mereka jangkakan ketika melangkah masuk ke dunia pekerjaan.
Contohnya, dalam bidang sains kejuruteraan atau teknologi maklumat, para siswazah menerima gaji sekitar S$500 hingga S$700 lebih rendah daripada yang dijangkakan.
Jurang itu malah lebih ketara dalam bidang-bidang seperti perniagaan dan pentadbiran serta sains semula jadi dan matematik.
Hanya lulusan bidang undang-undang, pendidikan serta seni halus dan gunaan melaporkan pendapatan yang setara atau melebihi jangkaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.