Siswa tersentap dengan laporan salah laku seksual terkait kakitangan NUS; minta lebih maklumat mengenai tindakan disiplin
Seorang ketua jabatan di Universiti Nasional Singapura (NUS) didakwa menghantar pesanan teks berunsur seksual kepada seorang pengadu yang tidak didedahkan identitinya.
SINGAPURA: Seorang ketua jabatan di Universiti Nasional Singapura (NUS) didakwa menghantar pesanan teks berunsur seksual kepada seorang pengadu yang tidak didedahkan identitinya.
Apabila ia menjadi lebih serius dan menunjukkan tanda-tanda akan berlaku hubungan sulit, seorang individu yang tidak mendedahkan identitinya membuat aduan salah laku seksual kepada unit pemberi maklumat di kampus.
Namun, tiada tindakan diambil oleh pihak universiti dan tiada aduan polis dibuat kerana pengadu tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan pengesahan.
Ini merupakan salah satu kes yang menimbulkan keraguan dalam kalangan mahasiswa NUS yang ditemui Mediacorp pada Khamis (7 Jan), sehari selepas NUS mengeluarkan laporan pertama mengenai salah laku seksual.
Antara 2016 dengan 2020, NUS menerima 19 aduan salah laku seksual melibatkan kakitangannya.
Sebilangan besar kes melibatkan sentuhan fizikal atau lisan yang berunsur seksual, atau percubaan yang tidak diingini, atau permintaan untuk mendapatkan layanan berbentuk seks.
Selain itu, terdapat 71 aduan salah laku seksual melibatkan mahasiswa yang dibuat antara 2016 dengan 2020.
Sekitar sepertiga daripada aduan tersebut - atau 24 kejadian - melibatkan sentuhan fizikal atau secara lisan yang berunsur seksual.
NUS menyatakan pada bulan lalu bahawa ia akan mengeluarkan laporan mengenai salah laku seksual setiap enam bulan sebagai sebahagian daripada usahanya untuk meningkatkan kesedaran terhadap kes-kes sedemikian.
Ini selepas kejadian sedemikian kerap berlaku.
RUANG UNTUK PERBAIKI LAPORAN DI MASA HADAPAN
Mahasiswa jurusan perniagaan tahun keempat Kevan Chew, 24 tahun berkata bahawa beliau berasa tidak selamat apabila membaca tentang kes-kes melibatkan para kakitangan universiti dan berasa bimbang bagi teman-teman dan dua adik adiknya yang berusia 21 dan 19 tahun, yang berkemungkinan akan memasuki NUS pada tahun ini dan mungkin kurang tidak maklum akan perkara itu.
Encik Chew berkata beliau terkejut bahawa seperlima daripada kes melibatkan kakitangan universiti.
RESPONS TEPAT PADA WAKTU SEBELUM BERMULA PENGGAL BARU
Dr Mie Hiramoto, seorang profesor madya di jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris, meluahkan rasa gembira apabila laporan itu diterbitkan.
Beliau merupakan anggota Kumpulan Penyelidikan Jantina dan Seksualiti yang baru ditubuhkan, di bawah Fakulti Seni dan Sains Kemasyarakatan.
Ia ditubuhkan pada separuh kedua tahun lalu untuk menyediakan ruang bagi mengadakan perbincangan dan pendampingan mengenai jantina dan seksualiti.
"(Laporan itu) agak terperinci dan terbuka... Ia menunjukkan bahawa (NUS) benar-benar berusaha. Ia mahu memberi respons kepada semua ini sebelum bermula penggal baru," katanya sambil menambah bahawa laporan itu tepat pada waktunya.
Dalam kiriman emel kepada Mediacorp, kumpulan Students for a Safer NUS yang dikendalikan oleh para mahasiswa menyatakan bahawa ia akur pihak universiti sedang berusaha menjadi lebih telus, seperti mendedahkan butiran-butiran bagi proses dan kes penyiasatannya.
Ia menambah bahawa pihak universiti turut memberikan nasihat jelas kepada para mahasiswa yang sedang mencari wadah sokongan dalam institusi tersebut, yang memaklumkan kepada mereka akan prosedur dan proses serta langkah-langkah yang boleh diambil oleh mangsa.
"Ia membolehkan kita melihat bahawa apa yang NUS lakukan bukan sahaja betul, tetapi ia membolehkan kita untuk mengenal pasti dan bekerjasama dengan NUS ke arah menangani kelemahan sistemik."
LAPORAN BERKAITAN: 71 aduan salah laku seksual libatkan siswa NUS sepanjang 5 tahun lalu
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.