Siswa NUS Terence Siow dihukum penjara bukan probesyen susuli rayuan pendakwa
Hukuman probesyen ke atas seorang mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) kerana mencabuli kehormatan seorang wanita ditarik balik oleh Hakim Besar pada Isnin (27 Apr) setelah pihak pendakwa mengemukakan rayuan.
Penuntut NUS Terrence Siow dilihat di luar Mahkamah Negara pada 4 Okt 2019. (Gambar fail: Hanidah Amin)
SINGAPURA: Hukuman probesyen ke atas seorang mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) kerana mencabuli kehormatan seorang wanita ditarik balik oleh Hakim Besar pada Isnin (27 Apr) setelah pihak pendakwa mengemukakan rayuan.
Terence Siow Kai Yuan, 24 tahun, kini perlu menjalani hukuman penjara dua minggu kerana mencabuli kehormatan seorang wanita berusia 28 tahun dalam kereta api pada September 2018.
Ketika menyampaikan dapatannya menerusi sidang video, Hakim Besar Sundaresh Menon berkata Siow tidak menunjukkan kecenderungan yang sangat kuat sehingga pemulihan menggantikan pencegahan sebagai faktor utama semasa menjatuhkan hukuman.
Beliau menegaskan bahawa adalah "penting bagi responden dan pesalah yang berfikiran serupa memahami tingkah laku seperti itu, yang menyinggung perasaan atau menjatuhkan maruah mangsa - tidak kira seberapa kecil kesalahan itu - akan selalu mengundang tindak balas hukuman yang tegas".
Siow, seorang mahasiswa Matematik, digantung oleh NUS setelah lembaga disiplin universiti pada Oktober 2018 menilai kelakuannya.
Siow dikenakan hukuman probesyen 21 bulan pada September tahun lalu atas kesalahannya itu tetapi dia tidak menjalani hukuman tersebut setelah ia ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.
Kes Siow mencetuskan perbahasan awam setelah dia dikenakan probesyen September lalu. Laporan probesyen yang diserahkan kepada mahkamah daerah menilai Siow sebagai layak bagi probesyen atas keputusan akademiknya yang menunjukkan dia "berpotensi berjaya dalam hidup".
Bagi mengenakan probesyen ke atas pesalah berusia 21 tahun ke atas pada waktu dia melakukan kesalahan dan ketika menjatuhkan hukuman, individu tersebut mesti menunjukkan kecenderungan yang sangat kuat untuk berubah atau jika ada keadaan luar biasa.
PRESTASI AKADEMIK
Berhubung isu prestasi akademik Siow di universiti, pendakwa menyatakan kaitan antara prestasi akademik yang baik dengan hidup yang bebas jenayah adalah "lemah terutama sekali apabila jenayah itu dilakukan atas rangsangan seksual".
"Prestasi akademik yang baik di sekolah boleh menjadi kejayaan dalam mencari pekerjaan dan menjadi anggota masyarakat yang berguna tetapi ini adalah pendapat umum," menurut pihak pendakwa.
"Ciri ini juga tidak terlalu menyerlah atau unik bagi (Siow) kerana semua mahasiswa universiti sudah mencapai tahap prestasi akademik masa lalu yang memenuhi syarat untuk layak ke universiti."
Pendakwa menggesa mahkamah supaya "menolak penekanan berlebihan terhadap prestasi akademik responden yang kukuh".
Kes Siow menarik perhatian Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam yang mengatakan beliau terkejut dengan keputusan mahkamah daerah itu tetapi menambah bahawa orang ramai tidak seharusnya "mempertikaikan" hakim.
Satu petisyen online juga dilancarkan di Change.org bertajuk "Say NO to Favorable Sentences for 'Educated' Sex Offenders" (Katakan TIDAK kepada Hukuman Berat Sebelah ke atas Pesalah Seks 'Berpendidikan'). Setakat pagi Isnin, petisyen itu sudahpun menarik hampir 100,000 tandatangan.
Bagi setiap tuduhan mencabuli kehormatan, Siow boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, disebat atau mana-mana gabungan hukuman itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.