Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Siswa NUS mengaku bersalah rakam video gadis mandi di asrama, bawah skirt rakan kerja

Seorang mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) merakam video bawah skirt seorang rakan kerja di tempat di mana dia menjalani latihan amalinya, sebelum menceroboh tandas asrama NUS untuk merakam para gadis yang sedang mandi.

Anggaran Waktu Membaca:
Siswa NUS mengaku bersalah rakam video gadis mandi di asrama, bawah skirt rakan kerja

Joel Rasis Ismail. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 11 Sep 2020 11:17PM Dikemas Kini : 11 Sep 2020 11:18PM

SINGAPURA: Seorang mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) merakam video bawah skirt seorang rakan kerja di tempat di mana dia menjalani latihan amalinya, sebelum menceroboh tandas asrama NUS untuk merakam para gadis yang sedang mandi.

Apabila salah seorang mangsanya menangkapnya berbuat demikian, dia melarikan diri lalu menukar pakaiannya tetapi akhirnya berjaya diberkas oleh pihak polis.

Joel Rasis Ismail mengaku bersalah pada Jumaat (11 Sep) atas tiga tuduhan menghina kehormatan seorang gadis dan satu tuduhan menceroboh, dengan tujuh lagi tuduhan diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Buat masa ini, lelaki berusia 27 tahun itu digantung selama tiga penggal oleh NUS dan tidak dibenarkan menjejakkan kaki di kampus.

Meskipun pihak media melaporkan mengenai insiden pengintai di NUS pada 2018 yang melibatkan Cik Monica Bary sekitar masa yang sama, Joel melakukan kesalahan-kesalahan itu pada Mac dan Mei tahun lalu, menurut pihak pendakwa raya.

DIA MULA RAKAM WANITA DI TEMPAT KERJA LATIHAN AMALI

Mahkamah diberitahu bahawa Joel berusia antara 23 dengan 26 tahun semasa melakukan kesalahan-kesalahan itu antara 2016 dengan 2019, dan pengajian mahasiswa tahun kelima itu kini digantung oleh NUS.

Semasa melakukan kesalahan-kesalahan itu, dia tinggal di sebuah asrama di NUS. Kesalahan-kesalahan pertama dilakukan pada Jun 2016 semasa Joel sedang menjalani latihan amali di sebuah syarikat yang tidak didedahkan namanya.

Dia merakam dua video bawah skirt seorang rakan kerja wanita ketika wanita berkenaan sedang berbual dengan orang lain.

Joel mula menjadikan gadis-gadis yang tinggal di kampus NUS sebagai sasarannya pada Mac 2019. Dia mengunjungi seorang gadis di asramanya, meskipun menyedari bahawa asrama tersebut hanya untuk para mahasiswi saja.

Dia dengan sengaja memasuki tandas wanita dan terdengar seorang gadis memasuki bilik mandi yang terletak bersebelahan.

Apabila dia terdengar bunyi air mengalir, dia meletakkan telefon bimbitnya di celah antara sesekat (partition) bilik mandi dengan lantai tandas, dan merakam gadis yang sedang mandi itu.

Dia melakukan kesalahan itu meskipun tahu tentang insiden pengintai di Asrama Eusoff pada 2018.

Bagi setiap tuduhan menghina kehormatan wanita, Joel boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga setahun dan didenda.

Atas kesalahan menceroboh, dia boleh dijel sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$500, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan