Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Siswa Kolej Tembusu tubuh kumpulan demi 'kembalikan, kukuhkan kepercayaan' susuli pemecatan zamil

Sekumpulan mahasiswa dari Kolej Tembusu menubuhkan Kumpulan Kerja Sokongan Masyarakat (CSWG), ekoran kritikan mengenai respons kolej itu terhadap pemecatan zamilnya, Dr Jeremy Fernando.

Anggaran Waktu Membaca:
Siswa Kolej Tembusu tubuh kumpulan demi 'kembalikan, kukuhkan kepercayaan' susuli pemecatan zamil

Jeremy Fernando (Gambar: NUS)

Diterbitkan : 21 Oct 2020 08:02PM Dikemas Kini : 21 Oct 2020 08:05PM

SINGAPURA: Sekumpulan mahasiswa dari Kolej Tembusu menubuhkan Kumpulan Kerja Sokongan Masyarakat (CSWG), ekoran kritikan mengenai respons kolej itu terhadap pemecatan zamilnya, Dr Jeremy Fernando.

Kolej Tembusu, sebahagian daripada Universiti Nasional Singapura (NUS), memecat Dr Fernando menyusuli siasatan dalaman berhubung dua aduan yang mendakwa bahawa beliau "berkelakuan tidak wajar sebagai tenaga pengajar", kata jurucakap NUS pada Ahad (18 Okt).

Jurucakap itu menambah bahawa tingkah laku Dr Fernando "didapati tidak memenuhi piawai profesionalisme yang diharapkan pihak universiti daripada tenaga pengajar".

Dalam kiriman emel kepada para mahasiswa dan anggota alumni pada Selasa malam (20 Okt), Dr Kuan Yee Han dari jabatan perhubungan alumni di Kolej Tembusu berkata: "Tujuan CSWG adalah untuk mengumpulkan respons berasaskan masyarakat dan rundingan yang berkesan, dengan menyediakan wadah yang sesuai untuk kedua-dua mahasiswa dan alumni Tembusu untuk saling memberi maklum balas atau pandangan mengenai pelbagai isu, untuk membuat perubahan, jika perlu, dalam bidang-bidang itu”.

Kumpulan tersebut akan bekerjasama dengan kepimpinan kolej untuk "menyelaraskan usaha pemulihan pelbagai lapisan" untuk "mengembalikan dan/atau mengukuhkan keyakinan dan kepercayaan" dalam masyarakat kolej, tambahnya.

Emel itu juga mempelawa para mahasiswa untuk memberikan maklum balas dan cadangan mengenai "kehidupan dan keselamatan bersama" dan bagaimana masalah salah laku seksual ditangani di Kolej Tembusu.

"Kami ingin memberi jaminan kepada anda bahawa keselamatan dan kesejahteraan mahasiswa kolej ini adalah, dan sentiasa, menjadi keutamaan dalam apa saja yang kami lakukan," tulis Dr Kuan.

CSWG terdiri daripada sekumpulan mahasiswa Tembusu, termasuk daripada jawatankuasa siswa kolej, pasukan asrama dan LoveTembusu, sebuah kumpulan kesedaran kesihatan mental.

KENYATAAN TERLALU RINGKAS

Dalam kenyataan yang dimuat naik ke Facebook pada Isnin, Kumpulan Mahasiswa bagi NUS Lebih Selamat (SafeNUS) menyatakan bahawa komen awal universiti tersebut mengenai pemecatan Dr Fernando begitu "ringkas" dan menggesa pihak universiti supaya mengambil "langkah proaktif" terhadap kes itu.

"Kenyataan pertama daripada mana-mana wakil kakitangan dikeluarkan sekitar dua minggu selepas pemecatannya," menurut kumpulan itu.

"Ia memberikan maklumat yang terlalu ringkas berhubung tindakan susulan, dan dikeluarkan hanya setelah sesetengah individu di media sosial mendedahkan insiden tersebut.

Menambah bahawa ia "kecewa dengan penjelasan yang terlalu ringkas dan sikap kurang bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh Kolej Tembusu menyusuli pemecatan Jeremy Fernando", SafeNUS menekankan: "Kami menyeru semua siswa NUS supaya menuntut ketelusan dan kebertanggungjawapan daripada pihak universiti."

Kolej Tembusu adalah salah satu daripada empat kolej kediaman di University Town, yang merupakan satu peluasan kepada kampus utama NUS di Kent Ridge. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan