Sistem undi ganti tender bagi peruntukan tanah tempat ibadat
SINGAPURA: Tanah untuk tempat ibadah akan diperuntukkan melalui sistem undian dan bukannya lagi melalui bidaan pada masa akan datang.
Perubahan itu bagi menangani kebimbangan badan-badan keagamaan mengenai kenaikan harga tanah yang digunakan untuk tempat ibadat selama ini, kata Kementerian Pembangunan Negara (MND) dalam satu kenyataan media pada Ahad (28 Mei)
Tapak tanah akan dibahagikan mengikut jenis tempat ibadat, seperti kuil Cina, kuil Hindu, kuil Sikh atau gereja Kristian.
Sebelum ini, tanah yang diperuntukkan untuk tempat ibadat ditawarkan kepada pembida tertinggi di bawah sistem tender tanah.
Tanah untuk membina masjid tidak termasuk dalam sistem ini kerana ia dikendalikan secara langsung oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang menyelaraskan pembangunan masjid.
Pada 2018, rangka kerja itu diubah suai untuk memperkenalkan syarat selain harga, supaya hanya badan-badan agama yang menyumbang kepada masyarakat dan memerlukan ruang layak untuk membida tanah tersebut.
Tanah itu kemudiannya akan diberikan kepada pembida tertinggi.
Sistem baru itu akan mengekalkan kriteria kelayakan sedia ada. Bagaimanapun, tanah itu akan diperuntukkan melalui sistem undi dan bukannya melalui tender kompetitif.
“Rangka kerja yang disemak itu bagi menangani harga tanah bagi tempat ibadat yang meningkat saban tahun serta memastikan semua badan keagamaan dapat peluang sama rata” kata MND.
Melalui sistem baru itu juga akan ada "kepastian harga pendahuluan" kerana badan keagamaan akan membayar harga yang telah ditetapkan dahulu, mencerminkan "nilai pasaran saksama" seperti yang ditentukan oleh Ketua Penilai.
Harga dijangka lebih rendah daripada harga sedia ada, kata MND.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong ketika mengumumkan perubahan itu di satu acara sempena Hari Vesak berkata Ketua Penilai akan menggunakan sebagai rujukan harga tanah tempat ibadat yang belum ditender sebelum ini.
Harga juga bergantung pada lokasi tapak, tempoh pajakan dan ciri khusus lain berkaitan dengan tapak yang ditawarkan.
Meskipun proses pembaharuan tempoh pajakan tidak akan diubah, hargnya akan mengikut rangka kerja penetapan harga baru dan dijangka lebih rendah daripada premium sedia ada, tambah beliau.
"Kami berharap rangka kerja baru itu akan memberi keyakinan lebih besar kepada badan agama, supaya mereka dapat memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan menjalankan kegiatan keagamaan, dan tidak perlu terlalu bimbang tentang harga tanah," kata Encik Tong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.