Skip to main content

Singapura

Sistem tempat letak kereta bebas hadangan diperluas ke Old Airport Road

Anda yang menggunakan tempat-tempat letak kereta berhampiran Old Airport Road kini dapat menikmati pengalaman meletak kereta lebih lancar dengan pelancaran sistem tanpa hadangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Sistem tempat letak kereta bebas hadangan diperluas ke Old Airport Road

Tempat-tempat letak kereta di Old Airport Road. (Gambar: HDB)

SINGAPURA: Para pemandu yang menggunakan tempat-tempat letak kereta berhampiran Old Airport Road kini dapat menikmati pengalaman meletak kereta lebih lancar menyusuli pelancaran sistem bijak yang bebas hadangan.

Dikenali sebagai Parking@HDB, ia dipasang di tempat letak kereta terbuka (K7) dan tempat letak kereta bertingkat (KM4) di Old Airport Road pada awal minggu ini, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dalam kenyataan medianya pada Jumaat (16 Sep).

Kedua-dua tempat letak kereta itu adalah tempat letak kereta ketujuh dan kelapan di mana Parking@HDB diuji cuba selepas sistem itu diperkenalkan di enam tempat letak kereta di Punggol sejak Januari 2021.

Sistem tersebut pertama kali diperkenalkan di Northshore Residences I dan II di Punggol.

PEMANDU KELUAR MASUK DENGAN LANCAR

Empat ciri akan diuji cuba di tempat-tempat letak kereta Old Airport Road.

Dengan sistem tempat letak kereta bijak, penghadang gantri tidak lagi akan dipasang di laluan keluar masuk tempat letak kereta, memandangkan plat-plat kenderaan didaftar melalui rakaman kamera.

Lebih banyak pilihan bayaran juga akan disediakan bagi caj bayaran jangka pendek.

Para pemandu boleh memuat turun aplikasi Parking@HDB dari Apple App Store atau Google Play Store, yang akan membolehkan mereka untuk membayar caj bayaran melalui kad kredit atau debit menerusi aplikasi itu.

Sistem tempat letak kereta itu berupaya mengesan sesebuah kenderaan apabila ia memasuki tempat letak kereta dan mengaktifkan sesi meletak kereta melalui aplikasi tersebut secara automatik.

Yuran meletak kereta akan dikenakan secara automatik apabila para pemandu memandu keluar dari tempat letak kereta itu dan para pemandu tidak perlu mengaktifkan aplikasi itu secara manual.

Para pemandu yang tidak mempunyai aplikasi Parking@HDB masih boleh terus dicaj dari kad tunai dalam Unit Dalam Kenderaan (IU).
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita