Skip to main content

Singapura

Sistem tempahan solat Jumaat dipertingkat; lebih ramai dapat tunai solat 17 Jul

Lebih ramai jemaah akan dapat melakukan solat Jumaat pada 17 Julai berbanding sebelumnya apabila langkah-langkah sekatan COVID-19 mula dilonggarkan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih ramai jemaah akan dapat melakukan solat Jumaat pada 17 Julai berbanding sebelumnya, iaitu ketika langkah-langkah sekatan COVID-19 mula-mula dilonggarkan.

Pada tahap awal pembukaan semula masjid, 6,400 tempat disediakan di 64 masjid di merata Singapura. Namun jumlah itu kini ditambah lagi 2,350 tempat.

Ini menyusuli langkah 47 masjid membuka pintunya kepada 150 jemaah berbanding 100 sebelum ini.

Dengan 17 masjid lain turut menerima 100 jemaah, kesemuanya 8,750 penduduk akan dapat mengerjakan solat Jumaat esok (17 Jul). 

Related article image
(Gambar: Al-Muttaqin Mosque/Facebook)

(Gambar: Al-Muttaqin Mosque/Facebook)

Sistem tempahan juga sudah dipertingkat sejak minggu ini dan ia kini lebih mesra pengguna.

BERITAmediacorp menyingkap beberapa langkah pengurusan jemaah yang dilaksanakan masjid-masjid tempatan.

PROSES PENDAFTARAN PANTAS

Jemaah solat Jumaat tidak perlu mendaftar sendiri menerusi kaedah SafeEntry.

Misalnya, di Masjid Al-Muttaqin, sehingga tiga kakitangan masjid akan dikerahkan untuk mempercepat proses pendaftaran bagi ketiga-tiga sesi solat Jumaat. Setiap seorang akan ditugaskan untuk mengimbas kad pengenalan jemaah.

Related article image

Tambahan dua pegawai pula akan terdahulu memastikan setiap jemaah yang masuk ke dalam pekarangan masjid merupakan jemaah yang sah terpilih.

Related article image

"Ini bagi memastikan rancangan mengikut jadual. Seterusnya, ada pengimbas suhu badan yang akan mempercepatkan lagi prosesnya. Ada juga petugas yang akan menunjukkan jemaah arah ke kawasan mana mereka boleh pergi selepas itu," jelas Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Muttaqin, Mohd Fairus Abd Manaf.

LALUAN MASUK & KELUAR BERLAINAN

Satu lagi perkara yang dilakukan Masjid Al-Muttaqin khusus untuk solat Jumaat adalah, pihaknya memastikan laluan masuk dan keluar berlainan bagi para jemaah.

Ini diatur supaya kesesakan dapat dielak dan tiada peluang sama sekali bagi para jemaah untuk satu sesi, bertembung dengan kumpulan jemaah lain.

Sungguhpun demikian, disebabkan jemaah Masjid Al-Mutaqqin tidak dapat kembali ke laluan masuk masjid, kasut mereka perlu dibawa sama dalam beg plastik.

Related article image

Kasut selanjutnya boleh diletakkan di luar dewan solat yang mana ada petak-petak yang sudah ditandakan.

Sesudah mengerjakan solat Jumaat, jemaah boleh meninggalkan pekarangan masjid melalui pintu lain. 

Related article image

JARAK SEJAM ANTARA SETIAP SESI

Dengan tambahan sesi solat Jumaat ketiga, jarak antara setiap sesi adalah sejam.

Sebelum ini, MUIS menyatakan jarak antara dua sesi adalah sekitar setengah jam.

Mengulas tentang perkara ini, Encik Fairus menjelaskan masa diperlukan bagi memastikan ruangan yang selamat dan bersih untuk semua jemaah.

Related article image
(Gambar: Al-Muttaqin Mosque/Facebook)

(Gambar: Al-Muttaqin Mosque/Facebook)

"Kalau kita lihat proses untuk melakukan solat, ia mengambil masa lebih kurang setengah jam. Namun begitu, pihak masjid memerlukan masa yang lebih lama untuk melakukan kerja-kerja basmi kuman. Bukan sahaja di dewan solat tetapi juga tempat wudhu," jelas beliau.

Kerja-kerja pembasmian kuman antara lain memerlukan para kakitangan membersihkan permaidani dewan solat.

Related article image

Mujur, bagi Masjid Al-Muttaqin, ia mempunyai alat canggih untuk memvakum permaidani masjid yang berusia 40 tahun itu.

SISTEM PENDAFTARAN BANTU JEMAAH BUAT PENYESUAIAN

Dalam pada itu, peningkatan sudahpun dijalankan pada sistem tempahan bagi solat Jumaat. Semua peningkatan dilakukan berdasarkan maklum balas orang ramai.

Satu ciri baru yang menjadikan sistem itu lebih mesra pengguna adalah senarai yang membutirkan jumlah tempat kosong bagi setiap masjid.

Sekiranya sesebuah masjid penuh, jemaah boleh melihat sekilas masjid-masjid berdekatan lain yang masih mempunyai tempat.

Di samping itu, pendaftar boleh segera mengesahkan status tempahan mereka menerusi laman sama - yang kini boleh menampung lebih ramai pengguna pada satu-satu masa.

MUIS turut menjelaskan, mereka yang berjaya mendapat tempat dalam tiga minggu lalu, tidak layak mendaftar bagi solat Jumaat minggu ini.

Ini sekali gus meningkatkan peluang bagi lebih ramai orang untuk mengerjakan solat Jumaat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita