Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sistem tempahan golf SICC 'diceroboh'; kelab fail aduan polis

Singapore Island Country Club (SICC) menyatakan sistem tempahan online bagi sesi golf "diceroboh" dengan sebilangan akaun anggota menggunakan 'bot' atau program berskrip untuk menempah slot-slot masa yang popular. 

Anggaran Waktu Membaca:
Sistem tempahan golf SICC 'diceroboh'; kelab fail aduan polis

Lakaran artis bagi Singapore Island Country Club. (Gambar: SICC)

Diterbitkan : 10 Sep 2020 11:16PM Dikemas Kini : 10 Sep 2020 11:33PM

SINGAPURA: Singapore Island Country Club (SICC) menyatakan sistem tempahan online bagi sesi golf "diceroboh" dengan sebilangan akaun anggota menggunakan 'bot' atau program berskrip untuk menempah slot-slot masa yang popular.

Sistem itu menerima "jutaan" permintaan tempahan setiap hari daripada bot automatik dan program berskrip, tambahnya.

"Pihak kelab mendapati sistem tempahan itu dikompromi berkali-kali untuk membuat tempahan sebelum jadual tempahan dibuka," menurut SICC dalam satu notis kepada para anggotanya pada Khamis (10 Sep).

"Insiden ini (serupa dengan penggodaman) yang mungkin meliputi pelanggaran Akta Penyalahgunaan Komputer dan Keselamatan Siber," menurut kelab tersebut sambil menambah bahawa aduan sudah dibuat kepada pihak polis.

Kelab itu sedang menyiasat perkara itu selepas para anggota memaklumkan bahawa mereka tidak dapat menempah padang golf yang habis ditempah dalam masa beberapa minit saja. Pada permulaan setiap masa tempahan online, terdapat 2,000 percubaan untuk menempah slot, menurut SICC.

SICC mendapati lebih 50 peratus tempahan golf online diselesaikan dalam tempoh beberapa saat selepas tempahan dibuka, dengan yang terpantas diisikan dalam masa dua saat sahaja.

"Adalah mustahil bagi manusia untuk menyelesaikan proses tempahan iaitu memilih waktu bermain golf dan memasukkan nama-nama para pemain serta ID keanggotaan dalam tempoh yang singkat. Kelab pasti sesetengah akaun anggota digunakan oleh bot automatik atau program berskrip untuk mengambil kesempatan daripada slot-slot yang popular," jelas SICC.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, akaun para anggota itu sudahpun digantung dan menanti siasatan lanjut."

SICC menyatakan tiada data peribadi terjejas dan ia sedang bekerjasama dengan pihak penyedia khidmat tempahan untuk memperkukuhkan sistem itu.

Sementara itu, kelab tersebut sudah melaksanakan langkah-langkah seperti membenarkan anggota untuk menempah masa bermain golf dengan menggunakan hanya satu sesi tempahan aktif pada satu-satu masa. Sebelum ini, mereka boleh membuat beberapa sesi tempahan.

Mediacorp sudahpun menghubungi SICC dan polis untuk mendapatkan komen.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan