Skip to main content

Singapura

Sistem rating awam bagi rumah jagaan di SG 'wajar dipertimbangkan': MOH

Satu sistem rating awam bagi rumah jagaan di Singapura wajar dipertimbangkan, tetapi sebarang rangka kerja sedemikian harus disesuaikan mengikut konteks jagaan kesihatan di Singapura, kata Dr Raymond Chua, timbalan ketua pengarah (kawal selia kesihatan) di Kementerian Kesihatan (MOH).

Anggaran Waktu Membaca:
Sistem rating awam bagi rumah jagaan di SG 'wajar dipertimbangkan': MOH

Windsor Convalescent Home (kiri) dan LC Nursing Home (kanan), dua rumah jagaan yang dibatalkan lesen baru-baru ini. (Imej: Google Street View, Instagram/LC Nursing Home)

Diterbitkan : 09 Jul 2026 07:03PM Dikemas Kini : 09 Jul 2026 07:48PM
SINGAPURA: Satu sistem rating awam bagi rumah jagaan di Singapura wajar dipertimbangkan, tetapi sebarang rangka kerja sedemikian harus disesuaikan mengikut konteks jagaan kesihatan di Singapura, kata Dr Raymond Chua, timbalan ketua pengarah (kawal selia kesihatan) di Kementerian Kesihatan (MOH).

"Ini adalah sesuatu yang wajar dikaji... jika kita mahu menyesuaikannya mengikut konteks tempatan di Singapura, bagaimana harus kita melakukannya dengan cara yang wajar," katanya semasa sesi podcast Deep Dive CNA pada Khamis (9 Jul).

"Ia bukan sekadar mengenai penyedia perkhidmatan, malah turut melibatkan usaha meningkatkan tahap literasi pengguna dalam memahami bagaimana sistem rating berfungsi.":

Komennya itu dibuat setelah lesen Windsor Convalescent Home dan LC Nursing Home dibatalkan dalam tempoh beberapa minggu antara satu sama lain, selepas pemeriksaan menemui beberapa kelemahan kawal selia yang serius.

Pembatalan lesen rumah-rumah jagaan itu mencetuskan persoalan tentang sama ada pihak keluarga patut mendapat akses yang lebih mudah kepada maklumat mengenai mutu dan keselamatan rumah jagaan warga emas sebelum membuat keputusan mengenai tempat untuk menempatkan anggota keluarga tersayang mereka.

Singapura kini tiada sebarang sistem rating awam atau klasifikasi bintang bagi rumah-rumah jagaan.

Semasa rakaman podcast, Profesor Andy Ho, pengerusi provos dalam psikologi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), menarik perhatian kepada sistem dalam negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Australia, di mana portal kendalian pemerintah menerbitkan prestasi rumah jagaan berhubung langkah-langkah termasuk keselamatan, tahap tenaga kerja, mutu jagaan dan pengalaman penghuni.

Sistem sedemikian memudahkan keluarga-keluarga membuat perbandingan rumah jagaan dan keputusan berhemah, katanya.

Dr Chua berkata MOH terbuka untuk bergerak ke arah itu, tetapi memberi amaran supaya tidak terlalu memudahkan proses tersebut.

"Walaupun kita menyatakan hasrat untuk beralih kepada sistem penarafan bintang, saya berpendapat kita juga perlu sedar bahawa penjagaan kesihatan merupakan satu perkara yang sangat kompleks," katanya.

"Ia sangat sukar untuk membuat penilaian, atau menentukan tahap penjagaan mahupun tahap keselamatan hanya berdasarkan penarafan semata-mata, kerana ia bukan sekadar proses menandakan kotak di mana anda meminta orang ramai memberikan rating lima bintang."

Keluarga-keluarga yang sedang membuat pertimbangan rumah jagaan perlu menimbangkan beberapa faktor selain daripada rating, katanya, termasuk kemampuan, lokasi, program khusus dan sama ada khidmat yang ditawarkan di rumah itu sepadan dengan keperluan jagaan penghuni.

MENGIMBANGI KETELUSAN DAN KEADILAN

Perbincangan itu juga menyentuh tentang sama ada dapatan pemeriksaan itu harus didedahkan kepada umum.

MOH sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa hasil dapatan pemeriksaan audit dikongsi secara langsung bersama pemegang lesen, yang bertanggungjawab melaksanakan langkah-langkah pembetulan dengan segera.

Memandangkan dapatan sedemikian boleh membawa kepada prosiding kawal selia yang dikawal oleh badan berkanun, MOH tidak memaklumkan penghuni dan keluarga mereka sebelum sebarang tindakan kawal selia disahkan, ia menambah.

Dr Chua berkata keluarga-keluarga tentu sekali mahukan jaminan mengenai mutu jagaan yang diberikan kepada anggota keluarga tersayang mereka, tetapi para penyedia khidmat perlu pertama sekali diberikan peluang untuk mengatasi sebarang kekurangan sebelum hasil dapatan didedahkan.

"Untuk bersikap adil kepada mereka, mereka sepatutnya mempunyai pengetahuan secara langsung mengenai apa sebenarnya yang tidak kena, di manakah kelemahan yang wujud, serta bagaimana mereka harus memperbaiki diri; dan kemudian, berikan mereka peluang untuk membetulkan perkara-perkara tersebut terlebih dahulu," katanya.

Jika kelemahan serius itu berlaku secara berterusan atau para penyedia khidmat gagal mengekalkan langkah-langkah penambahbaikan, MOH akan mengambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas, katanya.

Sebilangan besar rumah jagaan, katanya, berjaya memperbetulkan kelemahan yang dikenal pasti semasa pemeriksaan.

"Jika kita perlu memaklumkan dan menghentikan operasi semua pihak disebabkan oleh kekurangan kecil, itu juga tidak akan memberikan hasil yang baik kepada penghuni."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita