Sistem pengiktirafan baru dilancarkan bagi hotel, perniagaan makanan guna hasil tempatan
(Gambar: SFA)
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) memperkenalkan sistem label baru dari Ladang-ke-Meja.
Ia mengiktiraf hotel, restoran dan penyedia makanan yang mendapatkan sekurang-kurangnya 15 peratus bahan makanan hasil tempatan seperti sayur-sayuran, telur dan ikan.
Dilancarkan di Resorts World Sentosa (RWS), ia adalah langkah untuk menggalakkan lebih ramai orang untuk makan hidangan yang disediakan menggunakan bahan makanan hasil tempatan.
Sebanyak 11 hotel, restoran dan penyedia makanan diiktiraf pada Isnin (27 Mac) kerana mendapatkan sebahagian bahan makanan mereka daripada ladang tempatan, sekali gus adalah kumpulan perintis perniagaan makanan di bawah Program Pengiktirafan Ladang-ke-Meja (FTT) yang baru. Program itu hasil kerjasama SFA dengan pertubuhan-pertubuhan setempat untuk mendorong lebih banyak restoran dan kedai makanan untuk mendapatkan sayur-sayuran, ikan dan telur tempatan.
Di bawah program baru itu, syarikat-syarikat yang memperolehi sekurang-kurangnya 15 peratus bahan segar mereka yang dihasilkan dalam negeri akan menerima salah satu daripada tiga label.
Lebih banyak jenis hasil tempatan yang mereka perolehi daripada ladang tempatan, lebih tinggi rating mereka.
RWS menerima logo Program Pengiktirafan FTT pada Isnin.
Resort itu memperolehi lebih 95 peratus telur, sayur-sayuran dan ikan mereka dari ladang tempatan.
Menggunakan bahan makanan hasil tempatan membantunya menangani gangguan rantaian bekalan sewaktu pandemik.
Namun, sedang pengeluar tempatan menjadi lebih inovatif dengan hasil tanaman mereka, permintaan perlu meningkat sebelum mereka boleh meningkatkan penghasilan.
"Ini kerana untuk menghasilkan lebih banyak, harus ada yang membeli lebih banyak juga. Bahan-bahan yang cepat rosak tidak boleh dihasilkan dan dibiarkan di rak selama berbulan-bulan, harus ada yang makan produk-produk itu.
"Ia juga lebih munasabah dari segi kewangan bagi pekebun untuk meningkatkan penghasilan apabila mereka tahu terdapat isyarat di pasaran daripada pembeli kami bahawa mereka ingin lebih hasil tempatan," kata Dr Koh Poh Koon, Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran.
Membeli bahan makanan hasil tempatan dilihat sebagai salah satu cara untuk memastikan bekalan makanan lebih berdaya tahan dan negara ini bergerak ke arah ekonomi lebih menghijau.
Konsep label Ladang-ke-Meja satu cara untuk berbuat sedemikian dengan membantu pembeli membuat keputusan bijak mengenai apa yang mereka makan dan di mana ia diperolehi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.