Sistem pendidikan S'pura hadapi 'cabaran terbesar' pembelajaran berterusan, kata PM Lee
"Cabaran terbesar" yang dihadapi landskap pendidikan Singapura hari ini adalah membangunkan sebuah sistem yang dapat disesuaikan dengan pembelajaran berterusan, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Rabu (4 Sep).

SINGAPURA: "Cabaran terbesar" yang dihadapi landskap pendidikan Singapura hari ini adalah membangunkan sebuah sistem yang dapat disesuaikan dengan pembelajaran berterusan, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Rabu (4 Sep).
Berucap di sesi dialog Forum Menteri Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Encik Lee berkata bahawa Singapura mempunyai keupayaan melaksanakan satu sistem bagi para pelajar sebelum mereka memasuki alam pekerjajan, sama ada menerusi politeknik, universiti atau Institusi Pendidikan Teknikal (ITE).
Bagaimanapun, untuk membangunkan satu sistem yang berkesan untuk mendidik orang dewasa, Generasi X dan mereka yang lebih tua daripada Generasi X adalah satu cabaran, katanya, sebagai respons kepada satu soalan daripada peserta.
Encik Lee berkata bahawa ini "bukanlah mudah". Ia bukan mengenai isu wang atau mengendalikan kursus-kursus tetapi untuk memastikan ia dapat dikendalikan oleh orang-orang berpengalaman serta menyediakan sistem sokongan untuk para pekerja lebih berusia apabila mereka mengambil keputusan untuk kembali ke sekolah.
"Saya mesti mempunyai sistem sokongan menyeluruh untuk mereka supaya apabila mereka masuk, para majikan mereka memahami dan mereka boleh fokus pada pekerjaan dan juga pelajaran serta mengekalkan keseimbangan," menurut Perdana Menteri itu.
"Para majikan akan perlu membuat penyesuaian kerana semua kakitangan perlu melalui perkara ini dalam kehidupan mereka," tambahnya.
Beliau yakin bahawa Singapura akan mempunyai sistem sedemikian.
"Kami akan melakukannya, kami mempunyai (SkillsFuture) SG. Tetapi kami masih lagi di peringkat awal perjalanan ini," menurut Encik Lee.
Perdana Menteri juga menggesa rakyat Singapura untuk memiliki semangat kuat seperti negara-negara Asia lain yang mungkin dianggap "lapar" dan lebih bersedia menerima gaji lebih rendah untuk mendapatkan pekerjaan di sini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.