Sistem pendaftaran Darjah 1 meletakkan lebih banyak tumpuan kepada ibu bapa dan bukan kanak-kanak?
(Gambar: Facebook/Chan Chun Sing)
SINGAPURA: Mencari sekolah rendah beberapa tahun lebih awal, menjadi sukarelawan di sebuah sekolah untuk meningkatkan peluang kemasukan anak, sehingga sanggup berpindah untuk melayakkan diri berdasarkan kriteria jarak.
Ibu bapa di Singapura sudah melakukan perkara tersebut, malah, lebih dari itu sebagai persediaan untuk proses pendaftaran Darjah 1.
Namun, menurut seorang ahli akademik, sistem pendaftaran Darjah 1 meletakkan terlalu banyak tumpuan kepada hubungan dan usaha oleh ibu bapa.
Kebanyakan kriteria pendaftaran tidak melibatkan kanak-kanak, kata Profesor Madya Jason Tan dari Institut Pendidikan Nasional (NIE).
Sebagai contoh, faktor seperti di mana mereka tinggal, sama ada mereka layak sebagai alumni dan sama ada mereka adalah anggota kakitangan, akan diambil kira, katanya.
Faktor tersebut boleh memberi ibu bapa kelebihan, kerana keutamaan diberikan berdasarkan faktor demikian.
Bagaimanapun, pada masa yang sama, ia sukar untuk menghapuskan kesan pengaruh atau keistimewaan ibu bapa, kata Profesor Madya Tan.
Satu-satunya cara untuk membuat sistem itu benar-benar adil adalah dengan menggunakan loteri rawak berkomputer, tambahnya.
KEPERLUAN BAGI KEPELBAGAIAN
Terdapat "pertikaian" antara sasaran peringkat makro Kementerian Pendidikan (MOE) seperti menggalakkan kepelbagaian kaum atau sosio-ekonomi yang lebih hebat serta keinginan ibu bapa bagi anak mereka, kata Profesor Madya Tan.
Beliau mempersoalkan apakah kadar kepelbagaian yang harus dicapai sekolah, dan idea bahawa sekolah harus menjadi ruang yang diguna pakai murid-murid dari latar belakang berbeza, di mana mereka boleh bertemu dan berhubung adalah keutamaan dalam perbahasan yang sudah lama dibincangkan.
MAKLUM APABILA BUAT KEPUTUSAN
Ibu bapa harus mengambil masa untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang sekolah yang dipertimbangkan, kata Profesor Madya Tan. Namun, selain ciri-ciri sekolah seperti sejarah dan keputusan PSLE, ibu bapa harus mempertimbangkan keperluan anak-anak, tambahnya.
MENGALIHKAN TUMPUAN DARI SEKOLAH TERNAMA
Pemerintah sedang menggalakkan ibu bapa untuk mengalihkan tumpuan mereka dari sekolah ternama, atau sekolah terkemuka, dengan mantan Menteri Pendidikan Heng Swee Keat berkata bahawa "setiap sekolah adalah sekolah yang bagus" dalam caranya sendiri.
Antara perubahan bertujuan untuk menambah baik sistem tersebut adalah menggandakan jumlah tempat diperuntukkan bagi Fasa 2C, bagi kanak-kanak yang tiada hubungan dengan sebuah sekolah.
Ia merupakan fasa paling berdaya saing.
Keutamaan diberikan berdasarkan jarak, dengan peruntukan diberikan kepada rakyat Singapura yang menetap dalam jarak 1 kilometer dari sekolah.
Encik Junda Ong, pengasas SGSchooling.com berkata bahawa sistem itu bertambah baik, dan pertumbuhan tadika MOE di sekitaran yang sama dengan sekolah rendah membantu mengalihkan tumpuan dari sekolah-sekolah ternama.
Sebanyak 60 tadika MOE dijangkakan dibina menjelang 2025.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.