Skip to main content

Singapura

Sistem pembayaran digital rentas negara ASEAN, grid kuasa serantau kunci utama di tengah-tengah risiko geopolitik

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Jan 2025 07:39PM Dikemas Kini : 19 Jan 2025 09:45PM
LANGKAWI: Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan berkata sistem pembayaran digital dan grid kuasa yang digunakan semua anggota ASEAN adalah kunci utama dalam mengeratkan lagi hubungan antara blok serantau itu.

Dr Vivian berkata bahawa negara-negara ASEAN sedar bahawa mempertingkatkan usaha penyepaduan sedemikian, menjadi semakin penting.

Ini sedang persaingan kuasa besar dan risiko geopolitik lain semakin meningkat, sekali gus berpotensi menambah tekanan kepada ekonomi luar.

Beliau berkata demikian kepada media di luar Rahat Menteri Luar ASEAN di Langkawi.

Dr Vivian menarik perhatian bahawa ASEAN tidak boleh mengawal agenda kuasa-kuasa besar, atau bahkan, dunia secara meluas.

Namun, apa yang boleh dilakukan, tekan Dr Vivian, adalah untuk memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan ASEAN, dari segi ekonomi dan hubungan antara negara bagi perkumpulan itu.

Perang sengit antara Rusia dengan Ukraine hampir memasuki tahun ketiga. Konflik antara Israel dan Hamas juga berterusan, dengan perjanjian gencatan senjata ditangguhkan pada saat-saat akhir.

Sementara itu, bakal Presiden Donald Trump sedang bersiap sedia untuk memasuki semula Rumah Putih.

Ia sekali gus berpotensi meningkatkan persaingan Sino-Amerika yang sudah meruncing.

Encik Trump mencadangkan tarif menyeluruh ke atas semua barangan import sambil mengeluarkan kenyataan tidak diplomatik tentang kemungkinan mengambil alih Terusan Panama dan memperoleh Greenland.

Rahat Menteri Luar ASEAN adalah mesyuarat peringkat tinggi pertama yang dianjurkan oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, di bawah tema "Inklusiviti dan Kemampanan". Rahat yang berlangsung selama dua hari itu, diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi.

MEMPERDALAM PERPADUAN ASEAN

Dr Balakrishnan menekankan bahawa rahat itu adalah peluang bagi ASEAN untuk membuktikan bahawa ia mempunyai "pendekatan kolektif untuk menghuraikan sesuatu" dan menyebut usahanya untuk menyepadukan sistem pembayaran digital sebagai contoh integrasi dan potensi blok tersebut.

Di bawah Projek Nexus, Singapura, Malaysia, Thailand, Filipina dan India mempunyai kerjasama antara bank pusat mereka untuk mewujudkan rangkaian global bagi pembayaran rentas sempadan segera.

Ini adalah dengan menghubungkan sistem pembayaran digital mereka - PayNow Singapura, DuitNow Malaysia, PromptPay Thailand, InstaPay Filipina dan Unified Payments Interface (UPI) India.

"Hakikatnya, ASEAN memainkan peranan utama dan menjadi perintis dalam usaha menghubungkan sistem pembayaran kami ke Thailand, Malaysia ke India, Indonesia juga memantau perkembangan ini dengan teliti. (Ini) Adalah satu lagi contoh bagaimana perpaduan ASEAN sering menjadi teras dan prototaip kerja masa depan," kata Dr Vivian.

Di bawah ekonomi digital yang meluas, ASEAN sedang berusaha untuk merealisasikan perjanjian seluruh blok, iaitu Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA).

Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN 2025, telah menyeru negara anggota untuk memperkukuh komitmen mereka demi memuktamadkan rundingan DEFA menjelang akhir 2025.

MENYELARASKAN GRID SERANTAU

Selain itu, Dr Vivian menggariskan bahawa negara anggota juga mencapai kemajuan dalam rundingan untuk menubuhkan grid kuasa ASEAN.

Blok itu sedang membincangkan untuk membangunkan rangkaian semasa menjadi sistem grid kuasa Asia Tenggara yang sepenuhnya bersepadu untuk membolehkan perkongsian tenaga dan meningkatkan perdagangan elektrik merentas sempadan.

"Kami semua mempunyai komitmen bersama untuk menjadikan sistem grid elektrik lebih stabil, lebihjimat kos, dan lebih mesra hijau. Dan kami tahu bahawa dalam mereka melakarkan sistem ini, semakin banyak sistem yang berbeza yang boleh anda gabungkan, dengan teliti dan secara berstruktur, dengan lebih baik," katanya.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita