Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sistem pemarkahan baru nilai mutu kerja binaan pemaju, kontraktor kondominium

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pembeli rumah yang mahu menilai mutu kerja projek-projek kondominium kini boleh memeriksanya melalui satu sistem ranking baru bagi syarikat pemaju dan kontraktor berdasarkan prestasi masing-masing sejak enam tahun lalu.

Senarai ranking itu adalah berdasarkan Sistem Penilaian Mutu Pembinaan (CONQUAS), iaitu satu rangka kerja pemarkahan yang ditubuhkan pada 1989 untuk menilai mutu kerja pembinaan.

Ia memeriksa sebarang kecacatan teruk termasuk jubin dinding tercabut dan kebocoran air.

"Kebanyakan masa ketika seseorang pembeli rumah mendapatkan unit baru yang sedang dibina, mereka tidak dapat memeriksa mutu sebenar unit itu. Jadi kami berharap menerusi pemarkahan CONQUAS akan membantu pembeli membuat keputusan yang bijak," kata Encik Neo Choon Keoong, timbalan CEO Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA).

Meskipun pemarkahan CONQUAS bagi projek-projek binaan dikeluarkan sebelum ini, sistem baru itu merupakan cara lebih "intuitif" bagi pembeli rumah membuat perbandingan, tambahnya.

Selain itu, pemarkahan tersebut melibatkan pemaju dan kontraktor yang disenaraikan dalam salah satu daripada enam kumpulan.

Syarikat di di bawah Kumpulan 1 dan 2 merujuk kepada mereka yang menyiapkan projek dengan hanya sedikit kecacatan selepas diperiksa BCA.

Pembeli dinasihatkan "berfikir dua kali" apabila ingin membeli projek di bawah pemaju dan kontraktor yang disenaraikan dalam Kumpulan 5 dan 6, kata Encik Neo.

Sejauh ini, 20 pemaju dan 15 kontraktor berada alam senarai Kumpulan 1, termasuk City Developments dan Woh Hup.

Pemeriksaan oleh Mediacorp pada Khamis (25 Mei) di Portal Mutu Perumahan mendapati tiada projek, melibatkan pemaju atau kontraktor disenaraikan di bawah Kumpulan 6, iaitu kumpulan paling teruk.

Namun, terdapat 20 pemaju di dalam Kumpulan 5.

Encik Neo menarik perhatian bahawa 95 peratus unit perumahan adalah projek yang sudah disenaraikan di bawah CONQUAS, namun ia tidak wajib bagi semua.

Buat masa ini, sekitar lima peratus unit, kebanyakannya dari projek kecil, tidak berada di dalam sistem tersebut.

BCA menambah kecacatan besar pada projek-projek perumahan privet sudah merosot sejak beberapa tahun lalu. Encik Neo berkata beliau berharap sistem baru itu akan memacu industri tersebut untuk memperbaiki mutu kerja.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan