Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sistem pemadam api baru, latihan VR antara inisiatif baru SCDF

Sistem pemadam api baru untuk mengatasi kebakaran besar dan penggunaan teknologi realiti maya (VR) untuk melatih para kakitangan kecemasan adalah antara inisatif-inisiatif yang didedahkan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) di seminar pelan kerja tahunan pada Khamis (9 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 May 2019 02:46PM Dikemas Kini : 09 May 2019 11:32PM

SINGAPURA: Sistem pemadam api baru untuk mengatasi kebakaran besar dan penggunaan teknologi realiti maya (VR) untuk melatih para kakitangan kecemasan adalah antara inisatif-inisiatif yang didedahkan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) di seminar pelan kerja tahunan pada Khamis (9 Mei).

Mulai tahun depan, pertubuhan itu merancang untuk melaksanakan sistem pemadam kebakaran tangki minyak modular (MOTFS) untuk mempercepatkan usaha memadam kebakaran besar.

Menyebut sebagai contoh kebakaran di Pulau Busing pada 2018 yang mengambil masa enam jam untuk dipadamkan, Pengarah Operasi SCDF, Penolong Pesuruhjaya Daniel Seet berkata MOTFS akan membolehkan SCDF untuk mengawal kebakaran melibatkan banyak atau berbilang tangki minyak dengan lebih baik.

Dua jet air MOTFS boleh mengepam 100,000 liter air seminit, berbanding sistem empat jet air sedia ada yang mengepam 60,000 liter. Ini akan mengurangkan bilangan jet air yang perlu dikerahkan dan mengatasi masalah ruang terhad, menurut SCDF.

MOTFS merangkumi pam, hos dan jet air boleh dipasang dalam bentuk modular dan boleh dipasang dengan cepat dalam pelbagai gabungan, sesuai dengan skala insiden.

Sistem menyimpan hos automatik juga akan mengurangkan keletihan para anggota bomba, menurut SCDF.

MEMADAM API DARI UDARA

Teknologi lain juga diperkenalkan untuk meningkatkan pilihan taktikal bagi operasi memadam kebakaran dan menyelamat dari tingkat tinggi.

Sebagai contoh, Tangga Platform Gabungan (CPL) 60 meter boleh mencecah ketinggian maksimum bangunan 20 tingkat. Ia juga dilengkapi dengan jet air yang boleh mengepam air sederas 3,800 liter seminit dan platform menyelamat yang boleh menampung muatan 500 kilogram.

SCDF sedang menimbangkan untuk memperoleh CPL versi 90 meter.

KENDERAAN SOKONGAN PERUBATAN BARU

SCDF juga mengumumkan peningkatan pada kenderaan sokongan perubatan (MSV) yang membolehkan jagaan perubatan untuk disediakan sebelum pesakit dikejarkan ke hospital dalam suasana aman mahupun apabila berlakunya keadaan darurat negara.

Kenderaan sokongan perubatan SCDF. (Gambar: CNA/Corine Tiah)

Ia membolehkan seorang pegawai SCDF untuk mengangkut individu seberat hingga 380 kilogram dengan mudah.

BEKALAN UDARA TANPA HAD BAGI USAHA MENYELAMAT DALAM AIR

Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (DART) mendedahkan peralatan menyelam baru yang boleh membekalkan udara tanpa had kepada penyelam, lantas membolehkan operasi mencari dan menyelamat dilakukan untuk tempoh lebih lama.

Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (DART) mendedahkan peralatan menyelam baru. (Gambar: CNA/Corine Tiah)

Sebelum ini, para penyelam hanya boleh melakukan operasi bawah air selama 40 minit menggunakan tangki udara, sebelum beliau perlu kembali ke permukaan untuk bernafas.

LATIHAN MENGGUNAKAN REALITI MAYA

SCDF juga melancarkan siri inisiatif untuk menggunakan sains dan realiti maya (VR) untuk memperkasa latihan bagi kakitangan kecemasan seperti paramedik.

Sebagai contoh, kemudahan latihan baru akan disediakan bagi mewujudkan sekitaran latihan realistik bagi khidmat perubatan kecemasan.

SCDF melancarkan siri inisiatif untuk menggunakan sains dan realiti maya (VR) untuk memperkasa latihan. (Gambar: CNA/Corine Tiah)

SCDF sedang mengkaji penggunaan VR untuk melatih para anggota bomba dalam berbilang sekitaran operasi, termasuk dengan paparan model bangunan sedia ada. Ini akan menyediakan penilaian tindakan yang objektif semasa dan selepas latihan untuk mengenal pasti perkara-perkara yang boleh diperbaiki.

MEMORANDUM HASRAT

SCDF juga menandatangani memorandum hasrat dengan Mercy Relief (MR) dan Persatuan Palang Merah Singapura (SRC) pada Rabu (8 Mei) untuk menyediakan peluang-peluang kerja sukarela dengan Civil Defence (CD) Lionhearters dan rakan-rakan sekolah mereka.

"Dengan memanfaatkan kepakaran dan rangkaian MR dan SRC, CD Lionhearters akan meraih lebih pendedahan dan mendapat pengalaman baru," kata Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin.

"Para sukarelawan belia ini penting sebagai sumber inspirasi untuk mendorong rakan-rakan mereka dan juga generasi seterusnya untuk terlibat dalam kesukarelawanan dan respons pertama masyarakat." 

Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan