Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sistem kewangan S'pura kukuh; mesti terus berhemat dek 'ketidaktentuan' COVID-19

Syarikat, keluarga serta sektor kewangan Singapura harus terus berwaspada dan berhemat di tengah-tengah "ketidaktentuan yang hebat" dari pandemik COVID-19, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Isnin (6 Dis). 

Anggaran Waktu Membaca:
Sistem kewangan S'pura kukuh; mesti terus berhemat dek 'ketidaktentuan' COVID-19

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 06 Dec 2021 03:23PM Dikemas Kini : 06 Dec 2021 03:25PM

SINGAPURA: Syarikat, keluarga serta sektor kewangan Singapura harus terus berwaspada dan berhemat di tengah-tengah "ketidaktentuan yang hebat" dari pandemik COVID-19, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Isnin (6 Dis).

Sejauh ini, sistem kewangan tempatan berdaya tahan kerana penampan sedia ada dan langkah-langkah "luar biasa" pemerintah berhasil menghulurkan "sokongan penting". Pemulihan ekonomi seterusnya dan kedudukan kewangan dalam negeri yang saling menampung satu sama lain turut berhasil membantu meningkatkan daya tahan keseluruhan.

Pandemik ini "akan terus menjadi punca yang menyebabkan ketidaktentuan yang hebat". Meskipun pihak berkuasa menjangkakan ekonomi Singapura akan tumbuh antara 3 hingga 5 peratus pada tahun hadapan, penularan baru COVID-19 di seluruh dunia serta penguatkuasaan semula sekatan pergerakan mungkin akan menghambat kegiatan ekonomi sekali lagi, menurut MAS.

Ini mungkin mengakibatkan kehilangan pekerjaan sekali lagi dan keprihatinan terhadap daya maju syarikat-syarikat.

Peningkatan pada penghindaran risiko sejagat juga boleh menyebabkan kedudukan kewangan domestik diperketatkan, sekali gus mengurangkan aliran kredit kepada ekonomi.

Tekanan ini boleh menjadi lebih buruk jika keadaan kewangan sedunia juga diperketatkan dengan ketara sebagai tindak balas terhadap inflasi yang terus meningkat.

KELUARGA MUDAH TERJEJAS SEMAKIN TERTEKAN

Menyentuh tentang keluarga, MAS menjangkakan persekitaran makroekonomi yang memberi sokongan pada masa hadapan, di tengah-tengah peningkatan pada pasaran buruh. Bagaimanapun, kedudukan kewangan keluarga, khususnya dari segmen amat mudah terjejas, mungkin akan semakin tertekan seandainya kejutan berlaku.

Bank pusat itu turut menarik perhatian penampan sedia ada dan langkah-langkah makro yang berhemat untuk mencegah pengambilan hutang berlebihan sudah membina ketahanan terhadap kejutan. Namun, MAS menggesa keluarga agar mengamalkan sikap berhati-hati ketika menggalas komitmen baru.

Keluarga harus "meneliti sewajarnya keupayaan mereka untuk membayar gadai janji jangka panjang, terutamanya kerana kadar faedah dijangka meningkat secara beransur-ansur", menurut MAS dalam laporannya.

Selain itu, keluarga yang terikat dengan banyak hutang seharusnya menghindari daripada mengambil lebih banyak pinjaman dan berusaha untuk membina penampan kewangan seberapa boleh untuk mengurangkan tekanan akibat kelemahan pada keadaan makroekonomi.

Sejauh ini, indeks kelemahan kedudukan kewangan MAS menunjukkan tahap keterjejasan keluarga tidak berubah berbanding setahun lalu meskipun ia di tahap tinggi sedikit berbanding tempoh sebelum pandemik. Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh risiko hutang lebih tinggi kerana pinjaman perumahan baru yang terus meningkat dek pasaran hartanah yang berdaya tahan.

Bank pusat itu menulis "gabungan faktor" menyokong pasaran hartanah kediaman privet setakat ini. Misalnya, peningkatan kukuh pada permintaan luar, kadar faedah yang rendah berikutan keadaan kewangan sejagat yang menampung pemulihan lebih luas daripada kesan pandemik.

Pada masa yang sama, makroekonomi dalam negeri dan dasar-dasar sektor kewangan, seperti pindahan dana pemerintah dan penyediaan sokongan kecairan industri kewangan, berhasil mengurangkan kesan buruk berlaku risiko kenaikan harga
dalam pasaran hartanah.

Bagaimanapun, ketidaktentuan pandemik masih merupakan risiko utama sedang varian baru koronavirus muncul.

“Berlatarbelakangkan ini, Pemerintah memantau dengan teliti perkembangan dan matlamat berterusan untuk mengukuhkan pasaran hartanah yang stabil dan mampan," tambah MAS.

SYARIKAT HARUS PEKA TERHADAP PEMULIHAN TIDAK RATA

Dalam kalangan syarikat setempat, MAS menyatakan indeks kelemahan kedudukan kewangan menunjukkan kemerosotan pada keterjejasan terhadap kejutan berbanding setahun lalu, sedang pendapatan syarikat meningkat.

Syarikat-syarikat berkemungkinan perlu menerima pertumbuhan tidak rata di seluruh ekonomi pada masa akan datang.

Sektor-sektor yang kurang terjejas oleh pandemik, khususnya pengilangan, akan terus bertahan, menurut MAS. Sementara itu, sektor yang lebih sensitif kepada pandemik mungkin dikenakan sekatan pergerakan tidak berkala, bergantung kepada evolusi koronavirus.

Dengan itu, sokongan bersasar bagi firma berdaya maju yang terjejas buat sementara waktu oleh peningkatan semula jangkitan mungkin masih diperlukan. Ini sekalipun apabila langkah bantuan meluas ditarik balik untuk melindungi risiko kemampanan hutang pada jangka masa pertengahan hingga lebih panjang.

Ini, menurut MAS, menekankan betapa pentingnya pengawasan tepat pada masanya bagi korporat bukan kewangan untuk menilai kelemahannya, memahami sumbangannya terhadap risiko kestabilan kewangan serta memaklumkan bentuk sokongan dasar yang sesuai.

MAS menyatakan ia sedang berusaha untuk meningkatkan rangka kerja pengawasan korporat sedia ada dengan "penunjuk pilihan probabiliti".

BANK HARUS KEKALKAN PIAWAI PENJANA JAMIN YANG BAIK

Bagi sektor kewangan Singapura, MAS menarik perhatian bank perlu mengekalkan mutu aset yang sihat di samping penampan modal serta kecairan yang kukuh.

Sektor bukan bank juga sudah mengharungi tekanan akibat COVID-19 dengan baik, dengan syarikat-syarikat insurans kekal mempunyai modal yang baik serta dana pelaburan yang dapat memenuhi penebusan.

Namun, mutu kredit boleh menjadi buruk jika gangguan baru terhadap kegiatan ekonomi mencetuskan peningkatan pada ketakmampuan membayar oleh perniagaan serta pengangguran, menurut MAS.

PANDANGAN DUNIA DAN KELEMAHAN LAIN

Semakan kestabilan kewangan tahunan membentangkan analisis MAS bagi kedua-dua risiko dunia dan dalam negeri, yang membentuk asas kepada penilaiannya terhadap daya ketahanan sistem kewangan Singapura.

Di peringkat global, sistem kewangan kekal berdaya tahan tahun ini tetapi keterjejasan jangka pertengahan sedang meningkat, "mencerminkan hutang syarikat bukan kewangan dan hutang pemerintah yang meningkat serta menaikkan harga hartanah dan penilaian ekuiti yang meluas," terang MAS.

Keterjejasan ini boleh berinteraksi dengan kejutan yang berpotensi daripada persekitaran makro-kewangan yang berubah dan menimbulkan risiko kepada kestabilan kewangan, terutama bagi ekonomi pasaran baru yang lebih terdedah, tambahnya.

MAS turut menggariskan perubahan iklim dan peningkatan pada penonjolan aset kripto sebagai "keterjejasan baru" terhadap kestabilan kewangan.

Antara lain, ia menyatakan bahawa pertumbuhan kewangan tidak berpusat "berpotensi mewujudkan sistem kewangan bayangan tanpa perlindungan kawal selia yang direka untuk mengurangkan risiko kestabilan kewangan merangkumi seluruh rangkaian khidmat kewangan". 

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa