Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sistem jagaan kesihatan kekal stabil, meski jumlah kes COVID-19 tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
Sistem jagaan kesihatan kekal stabil, meski jumlah kes COVID-19 tinggi

Gambar fail jabatan kecemasan di Hospital Tan Tock Seng.

SINGAPURA: Meskipun jumlah kes harian COVID-19 tinggi, kebanyakan kes jangkitan itu mengalami gejala ringan atau langsung tidak bergejala dan sistem jagaan kesihatan kekal stabil.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (16 Feb). 

Sepanjang minggu lalu, terdapat purata sekitar 11,000 kes harian koronavirus. Pada Selasa (15 Feb), jumlah kes harian melonjak kepada 19,420. 

"Kita sekarang di tengah-tengah gelombang Omicron dan sedang mendaki keluk epidemik. Setakat ini, kebanyakan kes merupakan kes ringan, terutama sekali bagi mereka yang sudah lengkap divaksin," kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong, yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian, semasa sidang media maya yang diadakan hari ini.

Beliau berkata, pihak berkuasa menjangkakan jumlah kes harian mencecah antara 15,000 dengan 20,000, ataupun lebih tinggi lagi. Berdasarkan pengalaman negara-negara lain, jumlah kes diramalkan sampai ke kemuncak dalam masa beberapa minggu lagi sebelum ia mula merosot, kata Encik Gan. 

"Secara keseluruhan, sistem jagaan kesihatan kita kekal stabil dan dapat menangani kes-kes jangkitan COVID-19," katanya. 

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pula berkata bahawa 20,000 kes harian masih dalam jangkaan MOH dan sejajar dengan ramalan para saintis mereka. 

Tambah Encik Ong, jumlah pesakit di unit jagaan rapi (ICU) kekal pada 20 hingga 30 orang, yang merupakan sebahagian daripada katil ICU yang dipenuhi semasa kemuncak gelombang Delta di Singapura. 

"Yang paling kami bimbangkan, iaitu ICU mengalami tekanan luar biasa. Mujur, ia tidak berlaku, dan tiada petanda ia akan berlaku," kata Encik Ong lagi. 

Kini, terdapat 23 pesakit di bawah jagaan ICU dan 140 daripadanya memerlukan bantuan oksigen. Dalam tempoh 28 hari yang lalu, 0.04 peratus jangkitan tempatan memerlukan jagaan ICU, manakala 0.3 peratus memerlukan bantuan oksigen, menurut MOH. 

Kira-kira 1,400 pesakit dirawat di hospital. Daripadanya, sekitar 30 peratus merupakan "kes-kes sampingan", iaitu pesakit-pesakit berkenaan dirawat di hospital disebabkan penyakit-penyakit lain, namun mereka diuji positif COVID-19. 

Sementara itu, hospital-hospital sedang meningkatkan kapasiti katil untuk merawat kes-kes serius COVID-19, sambil memastikan jagaan bagi pesakit-pesakit bukan COVID-19 tidak terjejas, menurut MOH lagi. 

70 KANAK-KANAK BAWAH USIA 12 TAHUN DIRAWAT DI HOSPITAL 

Kira-kira 70 pesakit di hospital merupakan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan kadar jangkitan bagi kanak-kanak bawah usia 12 tahun kini tinggi. 

Bagi kanak-kanak berusia empat tahun dan ke bawah pula, kadar jangkitan berada sekitar 243 bagi setiap 100,000 individu, manakala bagi mereka yang berusia lima hingga 11 tahun, kadar jangkitan berada pada 258 bagi setiap 100,000 individu. 

Mereka yang berusia antara 12 dengan 19 tahun pula kadar jangkitannya adalah kira-kira 269 bagi setiap 100,000 individu. 

"Selain menyediakan lebih banyak katil untuk kanak-kanak di hospital awam dan privet, kami juga sedang berusaha mengadakan katil di Kemudahan Rawatan COVID-19 bagi kanak-kanak dan penjaga mereka," menurut MOH. 

Kadar jangkitan serius COVID-19 dan Sindrom Keradangan Pelbagai Sistem pada kanak-kanak (MIS-C) berhubung kait kes COVID-19 berada sekitar satu bagi setiap 1,000 kes jangkitan pediatrik. 

MOH menyatakan, vaksinasi bagi kanak-kanak akan mengurangkan risiko kejadian sedemikian. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan